Israel dengan kem tahanan

Israel dengan kem tahanan

Israel mahu pindahkan 600,000 rakyat Palestin yang tidak ada tempat tinggal ke 'bandar kemanusiaan'. Angka itu permulaan.

Mohsin Abdullah

Saya tidak tahu sama ada Israel (dan sekutunya Amerika Syarikat) tidak faham atau buat-buat tak faham akan istilah ‘humanitarian’ atau ‘kemanusiaan’, umpamanya Gaza Humanitarian Foundation atau GHF yang disokong mereka.

Saya pernah tulis mengenainya oleh itu tidak perlu diulangi. Sekadar mengimbau kenyataan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa GHF is a death trap untuk rakyat Palestin. Indeed there is nothing humanitarian in Gaza Humanitarian Foundation.

Sekarang Israel (baca: Benjamin Netanyahu & Co) mahu pula mendirikan di Gaza apa yang mereka namakan ‘humanitarian city‘ di atas runtuhan bandar Rafah. Rancangan Netanyahu itu diumumkan minggu lalu oleh menteri pertahanannya, Israel Katz.

Menurut rancangan itu, rejim Israel mahu memindahkan tidak kurang daripada 600,000 rakyat Palestin yang tidak ada tempat tinggal ke ‘bandar kemanusiaan’. Mengapa rakyat Palestin tidak ada tempat tinggal? Kerana rumah mereka dimusnahkan oleh Israel kan! Ini dunia dah tahu.

Angka itu permulaan. Israel mahu menempatkan semua dua juta rakyat Palestin di Gaza di ‘humanitarian city‘ itu. Setelah masuk tidak akan dibenarkan keluar. Menurut CNN, “Katz then vowed that Israel would implement a plan, first floated by US President Donald Trump, to allow Palestinians to emigrate from Gaza to other countries“.

Ertinya ‘humanitarian city‘ itu pusat transit sebelum penghuninya berhijrah ke negara lain. Namun kita tahu rakyat Palestin di Gaza mahupun di Tebing Barat dan kawasan lain tidak mahu berganjak dari bumi Palestin. Mereka rela mati di tanah air sendiri. Lalu apa yang akan dilakukan Israel? Paksa mereka pindah? Usir mereka atau buat apa yang Israel amat cekap yakni membunuh?

Kata Katz, tentera Israel sudah diarah menyediakan ‘bandar kemanusiaan’. Jurucakap angkatan bersenjata Israel dilapor berkata tentera bersedia menurut perintah tetapi mengingatkan Tel Aviv akan reaksi negatif masyarakat antarabangsa.

Pihak dalaman juga membantah termasuk bekas perdana menteri Ehud Olmert. Turut membantah ialah parti pembangkang terbesar dan ketuanya Yair Lapid, yang pernah menjadi perdana menteri selama enam bulan pada 2022. Semua melihat ‘humanitarian city‘ tidak lebih daripada concentration camp Israel. Terjemahan ‘concentration camp‘ ialah ‘kem tahanan’ manakala istilah ‘kem penghapusan’ digunakan khusus untuk ‘extermination camp‘ yang dikaitkan dengan Nazi.

Akhbar Times of Israel melaporkan “senior Israeli academics have warned forcing Palestinians into a closed off area would be legally unjustified and constitute crimes against humanity“. Sekali lagi saya nyatakan tidak ada ‘humanitarian‘ di ‘humanitarian city‘. Belum ada perkembangan lanjut semasa artikel ini ditulis tetapi Netanyahu seperti dijangka mempertahankan rancangannya itu.

Saya percaya ini antara langkah ethnic cleansing atau penghapusan bangsa Palestin. Pada hemat saya itulah yang Israel mahu untuk sekian lama dan sedang dilakukan. Insiden 7 Oktober 2023 sekadar memberi alasan.

Sebenarnya selama ini pun Gaza bagai satu kem tahanan besar. Israel sering melakukan sekatan bekalan makanan dan perubatan. Dikatakan ramai pengintip Israel beroperasi di Gaza. Dipercayai ada juga pengawasan kamera. Sekarang drone digunakan.

Di Tebing Barat cengkaman Israel tetap dirasai, apa lagi di kawasan yang diduduki atau occupied territories. Kekejaman dan penindasan ke atas rakyat Palestin berlaku setiap hari. Beberapa bulan lalu penempatan pelarian di Jenin yang sepatutnya ‘kawasan aman’ menjadi sasaran operasi ketenteraan Israel.

Israel sentiasa meluaskan kawasan mereka. Kumpulan peneroka atau settlers digalakkan membuat penempatan baru dengan merampas tanah milik rakyat Palestin. Mereka semenangnya golongan ekstremis serta militan yang disokong dan diberi perlindungan oleh tentera. Jentolak tentera digunakan untuk meroboh rumah rakyat Palestin.

Sasaran tentera Israel mahu pun settlers ialah rakyat Palestin. Tanpa ambil kira agama. Islam atau Kristian akan jadi sasaran asalkan mereka Palestin. Kita pernah ikuti laporan berita Al Jazeera dan CNN gereja dimusnah akibat serangan tentera rejim. Beberapa hari lalu kumpulan settlers memukul hingga mati seorang rakyat Amerika Syarikat keturunan Palestin. Washington sekarang mahu ini disiasat rapi.

Kita tahu jutaan kanak-kanak sudah terkorban. Yang hidup tidak ada peluang untuk belajar. Ini bagi saya satu lagi cara ethnic cleansing yakni memastikan golongan masa depan tidak ada masa depan.

Tidak ada berita gembira yang boleh digunakan bagi menutup penulisan ini.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.