
Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib minggu ini dan ketika rencana ini ditulis, masih belum digantikan, bersama-sama Yang Arif Ahmadi Asnawi dan Yang Arif Zaleha Yusof; mereka mempunyai tempat yang terlalu istimewa di hati saya.
Catatan ini barangkali satu catatan yang amat peribadi, tetapi ingin saya katakan sangat bermakna buat kehidupan saya selaku pengarang, dan seniman. Meski terlalu peribadi, tetapi sangat perlu saya rakamkan di sini, malah munasabah menjadi satu tribut untuk mantan ketua hakim negara.
Antara tahun 2012, sehingga 2016; kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Najib Razak mengharamkan tujuh novel saya. Sayugia diingatkan, pengharaman karya saya bukanlah kerana ajaran komunis atau kerana lucah. Sebaliknya, tujuh buku saya itu dilarang oleh kerajaan terdahulu atas dakwaan mengandungi unsur Syiah, fahaman yang dilabelkan ‘sesat’ oleh pihak berkuasa Islam negara ini. Tentu di luar negara, dakwaan ini menjadi bahan tawa. Tapi ya, ini Malaysia.
Buku-buku tersebut ialah ‘Sebongkah Batu di Kuala Berang’, ‘Karbala’, ‘Tiga Kali Seminggu’, ‘Ingin Jadi Nasrallah’, ‘Perempuan Nan Bercinta’, ‘Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan’ serta ‘Aku ___ maka aku ada!’.
Hari ini, jika kita membaca alasan pengharaman yang ditandatangani oleh Zahid Hamidi selaku menteri dalam negeri tatkala itu, kita akan berasa geli hati. Akan tetapi ketika itu, ia tidak lucu. Pengharaman ini menjadi satu bahan serangan puak Salafi terhadap saya.
Dalam tempoh antara 2012 sehingga 2016 itu saya dihina, diejek, diganggu, dan pernah diancam bunuh. Ada yang dilakukan terang-terangan di media sosial. Nasib baiklah saya tidak dihilangkan secara paksa seperti Amri Che Mat. Atas sebab ancaman dan gangguan itulah saya mengambil langkah melawan pengharaman buku saya di mahkamah.
Saya heret Zahid Hamidi ke mahkamah, dan meminta para hakim yang bijaksana membaca empat buah karya. Karya itu adalah novel ‘Sebongkah Batu di Kuala Berang’, drama pentas ‘Karbala’, kumpulan cerpen ‘Tiga Kali Seminggu’, dan kumpulan puisi ‘Ingin Jadi Nasrallah’. Tiga buah buku lain saya tidak lawan. Ini kerana pertamanya, ketika novel ‘Perempuan Nan Bercinta’ yang mula-mula sekali diharamkan pada tahun 2012, saya betul- betul tidak tahu apa yang harus dilakukan. Rupa-rupanya setelah satu tempoh pewartaan, kita tidak lagi boleh mencabar apa-apa gazet.
Justeru ‘Perempuan Nan Bercinta’ kekal diharamkan dari segi undang-undang selagi belum kiamat. Manakala dua lagi buku tidak saya lawan semata-mata kerana saya betul-betul tiada dana yang cukup untuk melakukannya. Apatah pula ia himpunan rencana-rencana yang sudah diterbitkan secara eceran di kolum atau pojok saya.
Saya telah menyebutkan pengharaman buku-buku di atas telah menjejaskan nama saya sebagai sasterawan, dan dijadikan modal oleh pesaing dan musuh saya dalam industri sastera dan seni. Bila mana kita membaca alasan pengharaman buku-buku saya ini, saya ulang, kita akan berasa geli hati. Akan tetapi ketika itu, ia memang tidak lucu malah mengancam nyawa saya.
Sebagai contoh pengharaman tersebut memetik “antara isi kandungan di dalam empat buku tersebut, pemohon kagum dan berkeinginan menjadi seperti Hassan Nashrullah iaitu pemimpin Hizbullah, gerakan Syiah di Lubanan. Kekaguman terhadap tokoh Syiah ini jelas menampakkan kepercayaan pemohon terhadap Syiah”. Ini adalah untuk merujuk puisi ‘Ingin Jadi Nasrallah’.
Zahid selaku menteri dalam negeri turut berhujah, yang saya, selaku “pemohon juga memburuk-burukkan khalifah kedua Bani Umaiyyah iaitu Yazid anak Saidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan dengan mengatakan Yazid adalah golongan fasik dan menyamakan seperti Zionis dan Hitler. Ungkapan kita tidak boleh mengamalkan ‘politik kotor ala Muawiyah dan Yazid’ jelas menghina sahabat Rasullah dan adalah merupakan ungkapan yang sering digunakan oleh penganut mazhab Syiah”.
Seterusnya, Zahid yang saya percaya dinasihati oleh ustaz tertentu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyatakan yang, “isi kandungan empat buku uku tersebut juga memuatkan ayat provokasi ‘wajib kita tebus kembali’ untuk membangkitkan rasa marah terhadap Saidina Abu Bakar dan para sahabat beliau (dalam peristiwa rampasan Tanah Fadak) dan provokasi sebegini dikhuatiri akan mewujudkan perbalahan antara golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan golongan Syiah seperti yang berlaku di Syria sekarang”.
Zahid memperincikan lagi sebab musabab pengharaman sebagai, “secara keseluruhannya, empat buku tersebut banyak mengandungi idea-idea yang mempropagandakan pegangan Syiah dan perbuatan pemohon mendewa-dewakan ekstrimis Syiah bersenjata, Hizbullah di Lubnan dikhuatiri akan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Pemikiran sebegini boleh membawa kepada kecelaruan antara umat Islam dan seterusnya mencetuskan suasana tidak tenteram di dalam ummah sehingga boleh membawa kepada perpecahan umat Islam yang mana akan memprejudiskan ketenteraman awam sekiranya ia dibiarkan berleluasa”.
Dalam tahun-tahun 2013 sehingga 2016, kerajaan Malaysia sangat mesra Arab Saudi dan negara Teluk dan tertipu hidup-hidup oleh naratif Bashar Assad itu Syiah, dan Sayyid Ali Khamenei dan Sayyid Hassan Nasrallah membunuh orang Sunni di Syria. Apa yang mereka lakukan untuk Palestin tidak berbangkit.
Hari ini, setelah dua tahun kekejaman Zionis di Gaza, Palestin; iaitu selepas naiknya kerajaan boneka Barat pimpinan teroris Ahmad Jolani di Syria; juga melihatkan ketidakberdayaan dan ketidakmaluan negara Arab dan Turki atas kegagalan membantu Palestin; dan terakhir setelah kita semua menyaksikan kesatriaan Hizbullah di Lubnan, Ansarallah di Yemen, dan kehebatan Iran mengaibkan Israel — kita harus bersetuju semua alasan pengharaman di atas tersangat lucu. Bukan sahaja lucu, ia adalah jenaka kelakar.
Bagaimana saya melawan pengharaman buku saya? Tentu dengan susah payah. Saya mendapatkan bantuan Abdullah Abdul Rahman dari firma guaman Cheang & Arif. Beliau adalah peguam yang wibawa, bersama-sama barisan peguam junior beliau. Ia memakan masa beberapa tahun yang mengganggu kesihatan fizikal dan mental saya. Bukan itu sahaja, di Mahkamah Tinggi, hakimnya menolak rayuan saya. Di tempat kerja, ramai yang tumpang sekaki dengan dakwaan itu dan saya dibuli. Banyak hak saya dinafikan dan tertangguh sehingga hari ini.
Apabila kes saya tiba di Mahkamah Rayuan, pada 10 Januari 2018; tiga orang hakim memutuskan untuk mengangkat pengharaman empat buah buku saya. Salah seorangnya adalah Tengku Maimun Tuan Mat, yang tatkala itu belum dilantik sebagai ketua hakim negara. Bahkan, jika dilihat dari tarikh di atas, kerajaan Najib Razak masih belum jatuh; malah Zahid masih menteri dalam negeri ketika itu.
Penghakiman yang ditulis Yang Arif Zaleha Yusof itu secara terang memperolok dan menolak alasan pengharaman yang diada-adakan oleh pihak berkuasa agama negara ini. Antara lain mereka menyebut begini:
“Kami tidak dapat tidak bersetuju dengan hujahan peguam terpelajar bagi pihak perayu dalam hal ini. Seperti yang telah disebut sebelum ini, kami sendiri telah membaca keempat-empat buku tersebut. Kami tidak dapat memahami bagaimana keempat-empat buku itu boleh menimbulkan kekacauan awam atau menjadi ancaman kepada keselamatan. Sebagai contoh dalam buku ‘Tiga Kali Seminggu’, cerpen ‘Rindu Ini Luar Biasa’ adalah mengenai dua orang yang jatuh cinta semasa perjuangan mereka untuk mengangkat penggunaan Bahasa Malaysia dan bagaimana kedudukan, status dan kuasa boleh mengubah pandangan seseorang. Cerpen ‘Bulan Penuh di Saigon’ pula berkisarkan tentang seorang wanita yang bertekad mencari ibu kandungnya setelah mengetahui bahawa dia sebenarnya adalah anak angkat, selepas ibu angkatnya meninggal dunia. Cerpen ‘Cinta Medeni’ pada pandangan kami hanyalah sebuah kisah cinta yang tulus.
“Sekarang kita lihat buku ‘Ingin Jadi Nasrallah’. Puisi ‘Balada Orang Berdosa’ misalnya tidak lain hanyalah luahan rasa bersalah oleh seseorang yang merasakan dirinya telah melakukan terlalu banyak dosa sehingga kini dia telah bertaubat, menunjukkan penyesalan dan memohon keampunan daripada Penciptanya. Puisi ‘Baitullah’ pula tidak lain hanyalah mengenai Baitullah, iaitu Rumah Allah bagi umat Islam.
“Itulah sebahagian contoh yang boleh disebut. Apa yang ingin kami tekankan di sini ialah di manakah bahagian yang boleh menimbulkan kekacauan awam dan mengancam keselamatan negara, kecuali beberapa baris yang disebut sebelum ini, yang mana kami bersetuju dengan peguam terpelajar bagi pihak perayu bahawa itu bukanlah bukti yang menunjukkan berlakunya prasangka terhadap ketenteraman awam dan keselamatan. Sekadar menyatakan bahawa responden hanya mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa pada pandangan kami tidak memadai untuk membuktikan bahawa keempat-empat buku itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan kerana keputusan Jawatankuasa Fatwa itu sendiri tidak menyebut mengenai keempat-empat buku tersebut.
“Untuk mengatakan bahawa pengharaman dibuat atas syor Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran dan atas nasihat pakar dari Jakim tanpa menunjukkan lebih daripada itu juga pada pandangan kami tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa keempat-empat buku itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan. Kenyataan sebegitu hanya menjadi dakwaan kosong apatah lagi apabila pengharaman tersebut sedang dicabar oleh pihak perayu. Kami juga hairan bagaimana buku ‘Karbala’ dan ‘Sebongkah Batu di Kuala Berang’ boleh melanggar Subseksyen 7(1) Akta 301 sedangkan tiada dakwaan khusus yang dinyatakan oleh responden dalam afidavitnya terhadap kedua-dua buku tersebut.”
Ternyata hakim-hakim di Mahkamah Rayuan tersebut benar arif.
Masih ada buku saya yang tidak diangkat pengharamannya. Ini kerana seperti saya nyatakan lebih awal, kerana saya masih jahil tentang undang-undang atau tidak berkemampuan untuk mencabarnya. Novel saya seperti ‘Perempuan Nan Bercinta’ berhak ‘dihalalkan’ kembali dalam era pasca Perang Dua Belas Hari Iran-Zionis 2025.
Beberapa minggu lagi Dewan Rakyat akan bersidang kembali, saya mohon kerajaan reformasi hari ini melakukan sesuatu yang betul iaitu berhenti mengharamkan buku, dan saya rayu mengangkat pengharaman tiga lagi buku saya, khususnya novel ‘Perempuan Nan Bercinta’.
Kembali kepada tribut untuk ketua hakim negara, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga hakim yang nekad dan tulus menjunjung keluhuran berpelembagaan. Ketiga-tiga mereka adalah Yang Amat Arif Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib minggu ini dan tidak dipanjangkan tempoh perkhidmatannya selama enam bulan lagi, bersama-sama Yang Arif Ahmadi Asnawi dan Yang Arif Zaleha Yusof.
Selamat berehat Yang Amat Arif. Kalau Yang Amat Arif membaca nukilan ini, mungkin kita boleh mengopi, dan saya ingin hadiahkan beberapa buah buku saya. Ini kerana saya percaya beliau jenis orang yang membaca. Kalau tidak, masakan alasan penghakiman beliau di Mahkamah Rayuan sedemikian terperinci.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.