Suami bebal, isteri bodoh

Suami bebal, isteri bodoh

Hindarilah toksik di media sosial. Tumpukan haluan sendiri. Tentukan sendiri arah tuju rumah tangga tanpa memberi laluan kepada toksik yang datang mengganggu.

ronasina

Kerap kita lihat di medsos sekarang kandungan cerita sama ada dalam bentuk tulisan ataupun video tentang teruknya pasangan masing-masing. Tentang teruknya perangai lelaki bergelar suami. Ada video dibuat oleh pempengaruh lelaki yang mengutuk lelaki itu sendiri dalam hal tanggungjawab berumah tangga. Untuk mendapat tontonan yang banyak, mereka pilih prowanita. Mereka berikan tip rumah tangga bahagia berkenaan apa yang patut suami buat, apa yang patut tak dibuat. Nak lebih sedap, petik agama – petik kisah nabi. Nabi buat kerja rumah, nabi memasak, cuci baju, cuci pinggan-mangkuk. Isteri duduk berhias sahaja. Suami kena beli pakaian dan barang kemas. Ewah, dia punya labun. Padahal, mereka ini ada yang bujang. Bersila depan jurunikah pun tak pernah.

Situasi ini tak sedikit juga memberi pengaruh negatif kepada perempuan. Kalau kita baca komen, ya ampun! Terus membantai yang lelaki zaman sekarang memang tak berguna. Hampeh! Ada yang tak segan-silu membuat hantaran tentang betapa bodohnya suami dia. Berderetlah kaum sejenis beratur untuk memberi ‘like’. Yang lelaki pun tumpang sekaki.

Yang lelaki pun sama juga. Dedah keburukan isteri. Cakap isteri bebal. Yang tak-tahu menahu hal sebenar pun tumpang sekaki. Rahsia dalam bilik, rahsia atas katil selamba saja dihidang di atas meja medsos untuk diratah oleh manusia maya yang tak pernah jumpa. Berbondong-bondong warganet masuk tumpang sekaki menyibuk hal rumah tangga orang lain, kononnya prihatin. Semuanya ada tauliah dalam bab nasihat-menasihat.

Itulah! Kita sudah pun masuk Tahun Baharu Hijrah 1447. Punyalah lama tapi minda masih tak hijrah-hijrah lagi. Soal siapa masak, siapa kena cuci baju pun masih belum selesai. Macam mana ni?

“Kita sudah masuk zaman moden di mana soal jodoh telah ditentukan sendiri oleh kita. Maksudnya, jika kita lelaki – kita sendiri yang memilih siapa isteri kita. Dan, seorang wanita pun sudah memilih lelaki untuk menjadi suaminya. Erti kata lain, kita yang lelaki ini berkahwin pun kerana isteri kita memilih diri kita ini menjadi suaminya. Bukan macam dulu lagi, perempuan banyak yang diaturkan jodohnya oleh orang tua mereka” kata kawan saya, Ad Samad penulis lirik terkenal tanah air.

Maksudnya, kebanyakan kita hari ini bercinta dahulu. Selepas itu barulah kita dan teman masing-masing bersetuju untuk hidup bersama dalam satu ikatan suami-isteri. Keputusan berkahwin itu kita sendiri yang pilih. Kita nekad untuk hidup sebagai teman kongsi membina keluarga dan menempuh hari mendatang dengan setia. Semuanya atas dasar cinta! Lalu, ‘atas dasar cinta’ itu apa pula sandarannya? Apa kain balutnya? Kita memilih untuk balut cinta itu dengan adat, budaya dan agama. Dengan balutan itulah kita percaya akan menjadi penjaga kerukunan rumah tangga kita. Dengan pegangan itu kita seharusnya belajar memahami prinsip dan tanggungjawabnya. Tapi mengapa masih ada dakwa-dakwi?

Sekarang, mari kita tolak dulu balutan itu. Kita ambil sahaja prinsip asas tadi iaitu atas dasar cinta itu dulu. Bila kita sudah cinta dan berjanji-setia maka tak timbul lagi siapa yang kena memasak, kena basuh pinggan atau basuh kereta, kan? Kita tidak lagi bertaki-berkelahi tentang ini tugas engkau, itu tanggungjawab aku, engkau buat ini dan aku kena buat itu. Kalau sudah cinta, sesiapa sahaja boleh buat sesuatu kerja itu tanpa rasa dipaksa. Atas dasar cinta, masing-masing sewajarnya sedar peranan masing-masing. Itu persediaan paling awal sebelum masuk alam rumah tangga. Mengenali siapa pilihan kita. Kemudian masing-masing sedar peranan. Sudah menerima seadanya kurang dan lebih pasangan masing-masing.

“Tapi suami aku memang pemalas, Ron. Hari minggu dia bantai tidur je. Kerja rumah langsung tak nak buat. Akulah yang menyapu, memasak, mendobi,” rungut Farhanah, kawan saya. “Dia letih, aku pun letih.” Farhanah juga bekerja – sebagai pegawai besar.

“Itulah suami yang kau pilih, Ana,” kata saya. Apa saya boleh buat? Saya bukan kaunselor rumah tangga. Tak beranilah saya nak cadangkan apa-apa.

“Apa kata kau pun jadi malas juga? Tidur juga!” seloroh saya.

“Habis, siapa nak masak? Siapa nak basuh baju? Anak-anak tak makan?” sergah Farhanah.

“Suruh Zali order makan online. Hantar baju ke kedai dobi,” jawab saya.

“Isy!” Farhanah menggeleng kepala. “Tak bolehlah macam tu,” kata dia.

“Jadi, kau buat semua tu kerana terpaksa atau kerana cinta?” saya tanya supaya dia berfikir walaupun saya tahu Zali memang tak patutlah tidur.

“Itulah harga sebuah cinta, Ana. Pengorbanan. Mengalah. Memendam. Tapi itu sedikit sahaja berbanding rasa bahagia-terisi dan puas,” kata saya. “Sesekali kau merajuklah, mogok. Menggelabahlah Zali tu.”

Farhanah mengekek ketawa. “Yalah, Ron. Memanglah Zali kadang-kadang menyampah aku dibuatnya. Tapi dia banyak baiknya. Dia tak kisah aku sesekali nak balik kampung jumpa orang tua aku. Dia izinkan aku kadang-kadang bercuti ikut kawan-kawan bila aku nak ‘me time’. Dia boleh je jaga anak. Dia tak pernah bersungut apa yang aku masak. Dibahamnya je. Aku tak pasti kalau dengan orang lain, aku boleh. Zali banyak baiknya. Agaknya ada juga perangai aku yang dia tak berkenan tapi tak pulak dia komplen.”

Mulalah meleleh air mata Farhanah. Ah! Perempuan.

Tapi sekarang memang begitu. Si isteri hantar video kepada suami tip-tip oleh pakar motivasi atau pempengaruh medsos tentang apa yang perlu suami buat. Suami pula hantar video ustaz yang meminta isteri buat begitu dan begini. Mula-mula okey, lama-kelamaan bangkit persoalan; kenapa kau hantar video hari-hari? Aku tak cukup baguskah? Pergaduhan pun terjadi. Kemudian berlarut-larutan mengungkit sana-sini. Kemana perginya rasa cinta sebelum ini yang sanggup terima kelebihan dan kekurangan masing-masing? Jika cinta disaluti agama atau adat, mengapa tiba-tiba ia jadi retak dengan faktor-faktor agama dan adat itu sendiri?

Takkanlah kita tak sedar bahawa memang dua manusia, apatah lagi berlawanan jantina akan sentiasa tak sama fikirannya. Akan setiap hari bergaduh dan berbeza tetapi saling memerlukan. Fitrahnya, Adam perlukan teman lalu hadirlah Hawa. Di situlah datangnya cinta lalu berkembanglah zuriat. Diajarkan kepada kita apa yang Adam lakukan sebagai lelaki dan apa pula tanggungjawab asas Hawa sebagai perempuan. Saling memenuhi kekurangan antara satu sama lain.

Tapi, yelah! Suami dengan ikhlas dah buat kerja sidai kain, isteri pulak berleter, kain yang disidai tak berseni – kalau baju biarlah sebaris dengan baju, usah campur-aduk dengan seluar. Suami basuh pinggan, isteri bersungut susunan pinggan-mangkuk tak betul. Tapi, apakah itu hal yang serius sehingga mahu diangkat ke medsos sambil mengutuk pasangan masing-masing? Sudah tak waraskah kita? Sudah tak malu agaknya!

Perjalanan rumah tangga bukan setahun dua. Ia panjang dan akan melalui beberapa fasa. Sekarang masih muda, pak dan mak mentua masih sihat. Nanti akan ada konflik jaga mentua pula bila mereka tak sihat, nyanyuk atau tak waras. Apa nak diluahkan di medsos? Apa yang kita mahukan daripada warganet di luar sana? Sokong kita atau hentam ahli keluarga kita sendiri?

Kemudian kita pula semakin berusia. Tak segagah waktu muda. Telinga makin kurang dengar, mata makin rabun, pergerakan tak tangkas lagi. Pasangan kita sakit. Suami kena strok atau si isteri kena kanser. Kacak makin luntur, jelita makin kendur. Aduh! Bagaimana kita perlu hadapi cabaran ini, itulah yang sepatutnya agamawan atau pempengaruh ajar. Tentang cinta, setia dan prinsip. Yang dihebohkan suami kahwin lagi sebab isteri sakit, atau si perempuan berasa hebat berjaya rampas rumah tangga orang.

“Abang ada pengalaman. Berilah saya nasihat sikit,” kata Nizam, pengusaha kedai runcit yang biasa saya berurusan dengannya. Dia kerap bergaduh dengan isterinya. Mereka kahwin suka sama suka ketika usia masih belasan. Hari ini, dalam usia awal 30-an mereka sudah punya anak remaja. Tetapi dek kerana kedua suami-isteri ini masih muda, agaknya tak puas ‘enjoy’, belum SPM sudah kahwin – maka keraplah bergaduh. Nizam masih suka bercampur dengan geng-geng yang masih bujang. Kerap mabuk dan culaslah buka kedai. Si isteri, demi perniagaan terpaksalah ambil alih. Pagi-pagi kena buka kedai. Nizam, tengah hari baru sampai. Kadang-kadang waktu kita membeli pun boleh dengar mereka bertikam lidah.

Sesekali si isteri tak kelihatan. Tiga empat hari baru muncul. “Lari balik rumah mak,” jawab si isteri. Sekali dua pernah saya nampak dahinya lebam.

“Bagilah nasihat sikit, bang. Saya rasa Nina ada pakwe lain. Saya tau!” kata Nizam.

Bagaimana saya mahu menjawab? Sebuah rumah tangga tak sama dengan rumah tangga yang lain. Saya pandang Nizam. Saya terbayang dia kaki khayal dan kaki mabuk. Nizam menunggu jawapan saya dengan matanya yang kuyu.

“Lelaki dan perempuan tak sama sampai bila-bila. Suami-isteri memang akan bertengkar setiap hari. Kita ibarat selipar,” kata saya sambil menunjukkan selipar di kaki saya.

“Selipar kiri tak sama dengan selipar sebelah kanan. Kita tak boleh pakainya terbalik. Kiri kena duduk sebelah kiri. Kanan kena duduk sebelah kanan. Kalau kita pakai kaki kita sakit. Jadi, ia kena duduk di tempatnya tersendiri. Ia memang tak sama tetapi ia melengkapi antara satu sama lain,” ceramah saya. Berfalsafah pulak!

Nizam diam. Isterinya sudah lari hari ini. Tak pasti sama ada dia faham analogi saya. Yang nyata, dia makin sayu. Kegagalan rumah tangga bagi adat dan budaya kita adalah lambang kegagalan dalam kehidupan. Kerana itu ada yang terus bertahan meskipun jiwa menderita.

Cinta ini kompleks. Ada pasangan berpisah bukan sebab bertengkar dan bermusuh tetapi hanya kerana cinta sudah tak ada lagi. Rasa tak sesuai lagi jika bersama dan tidak ada makna untuk terus serumah, malah menyekat pula cita-cita masing-masing. Lalu mereka bersetuju untuk pilih jalan sendiri. Tidak ada pergaduhan hanya kerana perasaan sudah padam. Tetapi, berapa ramai mampu menyelesaikannya sebaik begitu? Ada yang terus telan sengsara dan menghadap sampai mati sebab sayangkan anak dan beberapa faktor lain.

Hindarilah toksik di media sosial. Tumpukan haluan sendiri. Tentukan sendiri arah tuju rumah tangga tanpa memberi laluan kepada toksik-toksik yang datang mengganggu. Percaya diri. Percayakan cinta sendiri. Tak usahlah mengadu di medsos. Mungkin ada yang simpati tapi pasti ramai yang sengaja masuk komen suka-suka untuk hiburan mereka sendiri saja. Di belakang, mereka kata ‘memanglah, suami bebal maka isterinya memanglah bodoh’ .

 

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.