
“Jangan tebuk kapal sendiri,” kata Fuziah Salleh ketika merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR di Johor Bahru pada 22 Mei. Sambungnya dalam ucapan bersemangatnya itu: “Ini parti kita, kita berada dalam kapal (yang sama). Kalau kita bawa agenda peribadi dan kita tebuk kapal ini, maka semua akan tenggelam.”
Berpesan kepada perwakilan supaya mendahulukan kepentingan parti berbanding kelompok dan individu, Fuziah mengingatkan supaya jangan membiarkan apa juga perbezaan membawa kepada perpecahan, apatah lagi pemilihan PKR 2025 diumpamakannya dengan pertandingan antara adik-beradik dan bukannya musuh.
Berdirinya Fuziah di podium pada malam itu secara bidan terjun turut melonjakkan ‘saham’ beliau dalam parti, lebih-lebih lagi beliau baru dilantik selaku setiausaha agung parti menggantikan Saifuddin Nasution Ismail pada 15 Sept tahun lalu.
Memang lazimnya timbalan presiden yang akan merasmikan kongres bersama Pemuda dan Wanita tetapi timbalan presiden Rafizi Ramli menghantar surat rasmi kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan pendiriannya untuk tidak memenuhi undangan itu.
Sebelum itu berlegar ura-ura Rafizi enggan merasmikan kongres itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sokongan semakin meningkat terhadap Nurul Izzah Anwar — lawannya untuk jawatan nombor dua parti — di samping terguris hati dengan PKR Sabah tidak menjemputnya ke pelancaran jentera PRN di Kota Kinabalu yang bertembung dengan Jelajah Hiruk Sabah pada 17 Mei.
Dibandingkan dengan pemimpin lebih kanan seperti Saifuddin, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memilih Fuziah untuk merasmikan persidangan di sebalik pengakuannya bahawa tanggungjawab itu diberikan kepadanya kerana pemimpin utama lain terbabit dalam pemilihan.
Namun, Fuziah sendiri harus tidak menjangka hanya lebih sedikit daripada sebulan selepas ucapannya di Johor Bahru itu, kapal PKR makin berlubang di sana-sini gara-gara rasa tidak puas hati akar-umbi terhadap keputusan pemilihan parti — jauh sekali untuk menerimanya sebagai pertandingan antara adik-beradik.
Banyak aduan dikatakan berkisar kepada beberapa cabang yang didakwa dilanda fenomena ‘badan tanpa kepala’ (ketua cabang kalah dari kumpulan yang memenangi keseluruhan jawatankuasa) semasa pemilihan di peringkat cabang dari 11-20 April lalu.
Ia dianggap menjadi permulaan kepada rasa tidak puas hati sesetengah kumpulan dalam PKR dengan sebahagian daripada mereka mendakwa wujud unsur meragukan semasa pemilihan berlangsung. Bagaimanapun PKR menafikan dakwaan berkenaan.
Kelmarin, Fuziah mendakwa ada usaha pihak tertentu cuba menimbulkan masalah kepada parti dengan menghasut ahli-ahlinya di peringkat cabang ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan pemilihan bulan lalu.
“Saya lihat bahawa ada usaha untuk menghasut cabang-cabang ini supaya buat aduan untuk mengeruhkan keadaan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Meski tidak dinyatakan Fuziah secara khusus, ramai dalam kalangan akar umbi parti membacanya sebagai dttujukan kepada penyokong kem Hiruk yang diketuai Rafizi hingga memungkinkan beliau dikenakan tindakan disiplin parti termasuk dipecat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa pada 17 Mei lalu berkata lebih 280 aduan diterima pihaknya sepanjang proses pemilihan yang melibatkan pelbagai peringkat termasuk semasa pencalonan, kempen dan keputusan cabang yang telah diteliti satu persatu.
Namun, Rafizi sebelumnya mendakwa Dr Zaliha gagal dalam mengendalikan pemilihan parti itu kerana gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan kepincangan yang wujud dalam pemilihan peringkat cabang — didakwanya turut membentuk satu pola pengundian nasional bagi memastikan kekalahannya dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Dr Zaliha bagaimanapun menyifatkan dakwaan Rafizi terhadapnya hanya pandangan peribadi.
Kini sudah wujud semacam satu ‘gelombang’ dalam kalangan ahli akar umbi yang terus menyuarakan rasa tidak puas hati selepas sebulan pemilihan parti selesai.
Pada Rabu, 19 ahli jawatankuasa PKR Cabang Kulim-Bandar Baharu mengemukakan aduan kepada ibu pejabat parti bagi menyatakan pendirian mereka tidak lagi percaya kepada ketuanya Yeo Keng Chuan, yang beberapa tindakannya didakwa melanggar perlembagaan parti.
Antaranya Yeo didakwa melantik orang tertentu sebagai penasihat dan pengerusi jawatankuasa pengurusan tanpa berbincang dengan ahli jawatankuasa — bertentangan dengan fasal 39 perlembagaan parti yang jelas menyatakan kuasa dan tanggungjawab terletak pada jawatankuasa cabang, bukan individu.
Sebelum ini beberapa cabang membuat aduan kepada pucuk pimpinan parti berhubung ketegangan di antara ketua cabang dan ahli jawatankuasa masing-masing, termasuk 14 ahli jawatankuasa Pemuda PKR Selayang yang meletak jawatan selepas hilang percaya kepada ketuanya.
Seramai 17 AJK PKR cabang Puchong turut membuat aduan dengan mendakwa mesyuarat pertama cabang itu sebagai tidak sah manakala pada 15 Mei pula 15 pemimpin PKR yang baru menang dalam pemilihan cabang Masjid Tanah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Jadi, apabila timbul dakwaan Fuziah ada usaha pihak tertentu cuba menimbulkan masalah kepada parti dengan menghasut ahli-ahlinya di peringkat cabang, penyokong kem Hiruk tampil mempertahankan Rafizi yang dikatakan tidak patut dipersalahkan.
“Saya nak menjawab pertanyaan yang sering ditanya kepada saya berkenaan Rafizi. (Soalan yang banyak ditanya) apakah Rafizi akan dipecat selepas ini? Pertanyaan ini banyak berlegar di media sosial. Dalam isu ini saya nak beritahu bahawa Rafizi adalah seorang Ahli Parlimen dan ketua cabang di Pandan.
“Jawapan mudahnya adalah tidak. Kenapa dia tidak akan dipecat kerana ia melibatkan banyak perkara. Jika PKR pecat, maka Rafizi bukan lagi Ahli Parlimen dari parti Keadilan, jadi dia boleh memilih untuk berada di blok pembangkang atau jadi Ahli Parlimen bebas dalam blok kerajaan (di Dewan Rakyat). Jadi, tidak mungkin parti akan memecat Rafizi,” kata ketua cabang Mas Gading, Sarawak, Daniel Jani.
Hujahnya itu menyusuli komentar pensyarah politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat, bahawa Anwar memerlukan asas sokongan besar Rafizi dan kem Hiruk untuk kekal sebagai perdana menteri untuk penggal kedua.
“Satu-satunya cara untuk Anwar mengekalkan sokongan asas kem Hiruk untuk PKR dan PH ialah dengan menginstitusikan kemahuan terhadap reformasi melalui barisan penyokong kerajaan (di Dewan Rakyat),” katanya.
Faizal Rahman yang tewas pemilihan ketua cabang Kuala Selangor sebelum ini menyimpulkan: “Kalaulah Rafizi diambil tindakan, kau tengoklah (pempengaruh) PAS dah boleh gantung akaun (TikTok) masing-masing, senang hidup diorang. Memang sah PKR akan melingkup semua sekali dalam PRU16.”
Apa yang semakin jelas ialah berlawanan dengan harapan Fuziah, kapal PKR sebenarnya dah mula berlubang-lubang dan memerlukan usaha menampalnya segera sebelum kapal berkenaan tenggelam.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.