
Diberitakan Tengku Zafrul Aziz berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji sejurus membuat pengumumannya tiga hari lepas. Maka media tak ada ‘chan’ untuk mendapatkan penjelasan lanjut secara langsung daripada beliau. Begitu juga pemerhati dan penganalisis politik. Kenalannya juga tak dapat. Kenalan maksud saya ialah kawan beliau yang tak rapat dengannya. Kalau rapat, tentulah tahu ‘the full story’, tak begitu? Apa pun, kita doakan beliau selamat beribadah dan memperoleh haji yang mabrur.
Kalau bercakap mengenai Tengku Zafrul, sejak dulu saya tertanya-tanya (kepada diri sendiri), apa ‘keistimewaan’ beliau ada sehingga tiga perdana menteri memilihnya untuk duduk dalam pentadbiran masing masing. Tidak keterlaluan untuk berkata, beliau kerap diangkat melangkaui calon-calon lain yang ada di depan mata ketiga-tiga pemimpin itu.
Pada Mac 2020, Muhyiddin Yassin yang memimpin Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan persekutuan melantik Tengku Zafrul jadi menteri. Oleh kerana beliau bukan Ahli Parlimen, beliau dilantik sebagai senator untuk membolehkannya jadi menteri.
Apabila Muhyiddin tumbang dan Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri, beliau turut lantik Tengku Zafrul jadi menteri. Apabila Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan, beliau pun lantik Tengku Zafrul jadi menteri.
Saya ulangi, saya sering tanya diri sendiri, apa yang ‘special’ sangat Tengku Zafrul ini? Adakah beliau disifatkan bagai nilai tambahan atau ‘added value’ untuk setiap kerajaan yang beliau sertai?
Tetapi pada peringkat pilihan raya, beliau tidak menyerlah. Saya bercakap mengenai PRU15, apabila beliau tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor. Pelbagai pendapat kita dengar tentang mengapa beliau kalah, yang tidak mahu saya ulangi. Tentu Tengku Zafrul sudah buat ‘post mortem’ dan tahu mengapa beliau ditolak pengundi pada 2022.
Sekarang beliau sudah mengumumkan keluar Umno untuk menyertai PKR. Rata-rata pemimpin Umno berang. Antara yang paling lantang ialah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi. Beliau yakin ada perbincangan ‘secara diam-diam’ antara Tengku Zafrul dengan PKR sebelum beliau mengumumkan langkah tinggalkan Umno.
Bab ini Puad agak ketinggalan sebab 1) ura-ura Tengku Zafrul mahu keluar Umno sudah lama kedengaran, dan 2) pada Disember lepas, Presiden PKR Anwar Ibrahim dilapor mengesahkan ada perbincangan dalam kalangan parti mengenai Tengku Zafrul mahu menyertai PKR. Oleh itu, soal bincang ‘diam-diam’ tidak berlaku.
Imbau kembali 10 Feb lalu apabila Tengku Zafrul dipetik media berkata, beliau akan berbincang dengan Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum membuat sebarang keputusan. Reaksi Zahid ketika itu adalah menasihati Tengku Zafrul agar jangan terburu-buru buat keputusan. Lantas beliau memperakui komitmen terhadap Umno dan mahu memberi tumpuan pada tugas sebagai menteri.
Namun tiga hari lalu, yakni 30 Mei, beliau buat pengumumannya ‘and we have what we have now’. Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehingga semalam, Umno belum terima surat rasmi daripada Tengku Zafrul. Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pula memberitahu, pihaknya belum terima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai PKR.
Ketika membuat pengumumannya, Tengku Zafrul berkata, beliau mengambil ‘keputusan yang amat sukar’ itu setelah mendapat pandangan dan nasihat kawan-kawan dalam dan luar Umno termasuk presiden Umno sendiri. Saya sekadar tersenyum .
Dan kata Tengku Zafrul lagi, beliau sudah ‘berkomunikasi’ dengan Anwar dan Fuziah mengenai hasratnya masuk PKR. Sekali lagi saya tersenyum. Berdasarkan apa yang dinyatakan Asyraf, Fuziah dan Zafrul, bolehkah disimpulkan semuanya adalah lisan dan bukan atau belum ‘black and white’ sehingga kini?
Dalam pada itu, Amirudin Shari, naib presiden PKR yang tempoh hari berjaya mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti dipetik Sinar Harian berkata, penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR mampu perkukuh parti. Bagaimana? Tiada perincian diberi.
Perlembagaan parti mengizinkan PKR melantik empat naib presiden untuk bersama empat naib presiden yang menang pemilihan parti. Adakah Zafrul akan diberi jawatan naib presiden yang dilantik? Adakah tindakan itu boleh dilihat sebagai langkah memperkukuh parti atau merenggangkan lagi parti? Umum tahu pada waktu ini, kerenggangan terjadi antara penyokong Rafizi Ramli dan pucuk pimpinan berikutan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden baru-baru ini antara Rafizi dan Nurul Izzah Anwar. Perlukah keadaan yang panas dipanaskan lagi dengan melantik ‘orang baharu’ sebagai salah seorang naib presiden lantikan?
Atau adakah Zafrul yang rekod pilihan rayanya tidak cantik diberi tugas yang selama ini dijalankan oleh Rafizi? Perlu diingat, Rafizi dan bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad masih ada dalam parti walaupun sudah melepaskan jawatan menteri.
Saya tertarik dengan kata-kata penganalisis politik Azmi Hassan yang dilaporkan FMT semalam. Kata Azmi: “Saya tidak fikir beliau (Tengku Zafrul) akan hidup dalam PKR, walaupun ada kemungkinan mendapat dukungan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Beliau tidak dapat hidup dalam politik Umno meskipun disokong Zahid, apatah lagi PKR.”
Pada pandangan beliau, Tengku Zafrul gagal meraih sokongan akar umbi yang kukuh sepanjang berada dalam parti, walaupun menjadi ahli Umno sejak 1997 dan kemudian ahli Majlis Tertinggi.
Jika berpandu kata-kata itu, bukankah elok Umno melepaskan Tengku Zafrul pergi dengan senang hati dan kata-kata ‘good riddance’? Biarlah PKR tanggung beban. Tetapi Umno tetap marah. Kata Asyraf Wajdi, “amat tidak wajar untuk mana mana parti dalam kerajaan perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya. Ini bagi mengelakkan berlaku ketidakharmonian dalam kalangan parti-parti dalam gabungan kerajaan perpaduan.”
Puad pula berkata, “Jangan salahkan Umno jika ahli parti hilang kepercayaan terhadap perdana menteri. Kerjasama kerajaan perpaduan akan rosak binasa.”
Teringat saya peristiwa Februari 2021, apabila tiga Adun Johor daripada Amanah keluar parti dan menyertai PKR. Amanah ketika itu menggesa PKR tidak menerima ketiga-tiga Adun itu ‘atas semangat setiakawan’ komponen Pakatan Harapan. Keadaan panas akhirnya reda, bising jadi senyap.
Mengapa Tengku Zafrul buat apa yang beliau buat? Pada hemat saya, Anwar, Zahid dan juga Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang kata semua orang berhak pilih jalan mereka) tahu apa yang dirancangkan. Persoalannya, ‘is it worth it’?
Kata Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre di Facebook: “Langkah Zafrul, beberapa Langkah lagi akan menyusul.” Ringkas dan singkat.
Nota kaki: Petang semalam, Zahid memberitahu bahawa Umno telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul, yang dihantar kepada Setiausaha Kerja Mohd Sumali Reduan.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.