
Ketika sentimen perkauman terus ditiup, ketika sang politikus terus bermain ‘game’ politik memualkan – mencongak dan merencana – dan ada yang bercakap pasal ‘reset’ dan referendum baru dan ketika ada parti politik mengalami pergolakan dalaman, terjadi di Bangi sesuatu yang saya sifatkan ‘like a breath of fresh air’. Segar dan membawa harapan.
Wakil rakyat DAP dan PAS di Bangi bersetuju untuk bekerjasama bagi meredakan ketegangan politik. Ini bolehlah dilihat sebagai politik matang. Kerjasama juga dijalin untuk membolehkan mereka berdua memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyelesaian masalah penduduk.
Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan dan Adun Sungai Ramal Shafie Ngah daripada PAS baru-baru ini duduk semeja di Bandar Baru Bangi bagi membincang permasalahan rakyat dan apa yang harus dan boleh dilakukan. Pertemuan turut disertai Ketua Amanah Bangi Mazwan Johar.
Perbalahan sengit PAS – DAP diketahui umum. ‘We know what they been saying about each other’. Keadaan begitu panas sehingga bolehlah dikatakan PAS benci DAP yang dituduhnya anti-Islam anti-Melayu. ‘And we know how PAS feels about’ Amanah yang berasal daripadanya. Tak tahu mana yang PAS lebih benci – Amanah atau DAP. Sering juga dilihat lebih benci Amanah daripada DAP.
Oleh itu, apabila Syahredzan, Shafie dan Mazwan duduk semeja, pada hemat saya ia sesuatu yang agak ‘menakjubkan’ (harap istilah itu tidak terlalu besar untuk menggambarkan situasi). Pertemuan pemimpin setempat itu diadakan dalam keadaan harmoni.
Jelas ideologi parti masing-masing diketepikan walau buat seketika. Jelas mereka boleh setuju untuk tidak setuju. Kata Shafie dalam pertemuan itu mereka bersetuju redakan bahang perbezaan politik dan memberi fokus kepada perkara yang semestinya diberi fokus seperti disebut tadi.
Kata Shafie: “Alangkah indahnya bila tangan-tangan yang diberi kuasa bersatu dalam mendukung masyarakat, bukan saling menjatuhkan antara satu sama lain. Orang Bangi tak suka konflik, kita bekerja dan juga berpolitik dengan cara matang dan sejahtera.”
Ada lagi kata beliau: “Waktu berperang hanyalah semasa pilihan raya. Sekarang ni adalah waktu bekerja dan objektif utamanya adalah demi kemenangan rakyat.”
Jujur saya kata ‘that is music to my ears’. Bagi saya kata-kata Shafie itu berbeza dengan apa yang sering disuarakan pemimpin atasan partinya dan Bersatu, sekutu PAS dalam Perikatan Nasional.
Dalam hantarannya di Facebook Syahredzan pula berkata, perbezaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mengeratkan ukhuwah. Saya setuju. ‘Kami bertiga’ kata beliau ‘telah bersetuju mengurangkan kehangatan politik kepartian di DUN Sungai Ramal’.
Bagus walau bukan mudah untuk kurangkan kehangatan politik kepartian pada waktu ini bila mana parti politik seolah-olah wajib menonjolkan diri dengan pelbagai retorik dan berdiam diri seolah-olah menunjukkan kelemahan.
Kata Syahredzan, mereka bertiga telah bersetuju untuk mengurangkan kehangatan politik kepartian di DUN Sungai Ramal untuk memberi fokus kepada isu tempatan dan pembangunan komuniti dalam kawasan.
Sedikit latar belakang kawasan yang beliau rujuk tadi – Bangi. Selain Sungai Ramal, kawasan Parlimen Bangi merangkumi dua lagi DUN (Selangor) iaitu Kajang dan Balakong– kedua dua dipegang Pakatan Harapan.
Pada PRU15 Bangi menjadi salah satu kawasan Parlimen terbesar dengan lebih daripada 300,000 pengundi. Semasa PRN Selangor kerusi DUN Sungai Ramal sahaja mencatatkan pengundi berdaftar seramai 97,415 orang.
Pada PRU15 Syahredzan menang Parlimen Bangi dengan meraih sejumlah 141,568 undi. Majoritinya 69,701 menewaskan calon PN, BN, Pejuang, PRM dan tiga calon bebas. Manakala Shafie pula yang mewakili PN menang Sungai Ramal pada PRN Selangor 2023 dengan menewaskan Mazwan yang mewakili PH. Majoriti 7,767. Walaupun tewas pada 2023, Mazwan menyertai kerjasama Syahredzan dan Shafie. Syabas.
Menerusi teks di WhatsApp kepada saya, Syahredzan memberitahu setakat ini reaksi penduduk DUN Sungai Ramal ‘adalah sangat positif’. Ini kata beliau menunjukkan sememangnya rakyat Malaysia secara amnya mahu supaya suhu politik tanah air diturunkan.
“Saya berharap apa yang kami capai ini di Bangi dapat dibudayakan di seluruh negara,” katanya.
Ya, saya kira begitu jugalah harapan ramai, dan dalam kalangan ramai itu termasuklah saya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.