
Tajuk artikel ini saya ambil daripada satu Facebook posting wartawan veteran A Kadir Jasin semalam. Ia mengenai keputusan satu survey mini yang dijalankan oleh beliau. Dua hari sebelumnya Kadir meminta ‘pembahas’ di lamannya memikirkan sekurang-kurangnya 10 orang yang mereka rasa berpotensi menjadi perdana menteri dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang.
Perlu dinyatakan pembahas yang dimaksudkan ialah pembaca atau Facebook friends beliau yang memberi komen.
Berikut calon-calon popular mengikut bilangan pencalonan atau sebutan yang mereka terima “setelah saya congak sebaik mungkin” kata Kadir:
- Johari Abdul Ghani
- Khairy Jamaluddin
- Rafizi Ramli
- Ahmad Samsuri Mokhtar
- Nurul Izzah Anwar dan Tengku Zafrul Aziz (jumlah undi sama)
- Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Asyraf Wajdi Dusuki
- Shahril Hamdan
- Sanusi Md Nor dan Onn Hafiz Ghazi
- Azmin Ali dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Akmal Saleh
- Nik Nazmi Nik Ahmad dan Hilman Idham
Pencalonan yang diperoleh dalam senarai ini adalah antara dua dan 18. Kadir mengingatkan bahawa interaksi mengenai calon perdana menteri berkenaan adalah santai, tidak formal dan bukan kajian rasmi mahupun akademik. Bak kata beliau “must be taken with a pinch of salt“.
Untuk poll yang beliau gerakkan ini Kadir menetapkan syarat orang yang dicadang mesti dari generasi bukan pasca-Perang Dunia Kedua yang dipanggil ‘baby boomers‘, yakni mereka yang dilahirkan antara 1946 dan 1964.
Beliau sedar bukan semua yang tercalon dalam kalangan yang dilahirkan pada atau selepas 1964. “Bagi kes calon borderline iaitu mereka yang lahir pada penghujung era baby boomers tetapi membesar dalam zaman Generasi X saya senaraikan sebagai layak,” kata Kadir. Namun ada beberapa orang sahaja dalam kategori borderline iaitu mereka yang dalam usia awal 60-an.
Sehingga pagi 17 Mei 2025 kira-kira 40 nama dicalonkan. Tidak disebut berapa ramai pencalon dan tentulah Kadir tidak boleh pastikan umur si pencalon. Namun seorang pencalon yang sebut nama calonnya di ruangan komen Facebook Kadir berusia 70-an. Beliau pilih Johari Ghani, menteri dalam kerajaan perpaduan sekarang. Pada hemat saya pencalon dalam kalangan muda dan ‘tak berapa muda’.
Pada hemat saya juga pencalon buat pencalonan berdasarkan apa yang mereka mahu saksikan, yang mereka mahu terjadi, orang yang mereka suka, dan ada yang menamakan calon tanpa mengambil kira elemen tertentu. Seperti calon mesti datang daripada parti yang menang pilihan raya umum dan syarat utama untuk jadi perdana menteri. Ada seorang pembahas kata “Hannah Yeoh pun bagus”. Memang pemimpin DAP itu bagus tetapi si pembahas tidak pula nyatakan sama ada beliau mencalonkan Yeoh.
Seorang lagi menyebut nama Loke Siew Fook. Tak tahu lah sama ada si pembahas ini berseloroh atau serius tetapi teringat saya laporan Sinar Harian pada Jun 2021 mengenai satu kaji selidik dalam talian yang dijalankan oleh seorang ahli akademik, bertajuk ‘Siapa PM selepas TS Muhyiddin?’
Antara yang meraih undian ramai ialah Loke kerana yang mengambil bahagian rakyat Malaysia berbilang bangsa. Itu kaji selidik formal. Untuk pengetahuan pilihan majoriti responden bandar ialah Khairy, Izzah dan Rafizi.
Ketiga-tiga nama dicalon juga dalam mini survey informal Kadir dan Izzah merupakan calon wanita tunggal. Walaupun ini bukan kajian rasmi dan bukan kajian akademik ia memberi gambaran sedikit sebanyak apa yang bermain di minda (terpendam?) dalam kalangan rakyat. Ramai tak ramai waullahualam. Apa pun terima kasih kepada Kadir kerana dapat menyelami hasrat sekurang-kurangnya kalangan pembahas Facebook beliau.
Seperkara lagi. Ada pembahas memberi komen berbunyi: “Pasai apa tak ada sorang pun talent dari Sabah dan Sarawak dalam senarai tu?”.
Jawab Kadir: “Sahabat dari Sabah dan Sarawak bebas calonkan pemimpin mereka yang lahir antara 1965 dan 1980”.
Iyalah kalau tidak dicalonkan macam mana nama nak muncul, betul tak?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.