
“Dua orang China yang melalui jalan itu dengan menonggang motorsikal telah di-serang dan di-bunuh. Dengan itu bermula-lah rusohan 13hb Mei yang meletuskan kekachauan yang belum pernah berlaku seperti-nya dalam sejarah Malaysia.”
Ini saya petik daripada muka surat 109 buku berjudul ‘Mei 13 sa-belum dan sa-lepas’ tulisan Tunku Abdul Rahman. Buku ini dikeluarkan pada September 1969.
‘Jalan itu’ yang Tunku maksudkan ialah Jalan Raja Muda di Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana letaknya kediaman rasmi menteri besar Selangor. Waktu itu Kuala Lumpur sebahagian daripada Selangor.
Dua orang Cina, yang Tunku tulis ikut ejaan lama, berada di hujung Jalan Raja Abdullah berhadapan stadium TPCA (yang kemudian dinamakan Stadium Raja Muda). Kedua-duanya lelaki. Penunggang dan pembonceng. Mereka berhenti di lampu isyarat yang ketika itu warna merah, menuju ke General Hospital (kini Hospital Kuala Lumpur). Ke kiri ke Chow Kit, manakala ke kanan ialah Jalan Raja Muda yang dirujuk Tunku.
Pada petang itu saya berada di sebelah motosikal yang dinaiki dua lelaki Cina berkenaan. Berhenti sambil tunggu lampu hijau. Kami memandang ke arah kawasan kediaman menteri besar atau ‘Rumah Datuk Harun’ panggilan orang Kampung Baru. Menteri besar Selangor ketika itu ialah Harun Idris.
Yang membuat kami pandang ke arah itu ialah ada kenderaan sedang terbakar. Tidak tahu apa puncanya. Saya masa itu berusia 14 tahun. Naik basikal ronda-ronda keliling kampung setelah memesan mee goreng di gerai berdekatan Sungai Bunus. Bila lampu hijau dua orang Cina itu bergerak ke arah kenderaan terbakar. Entah kenapa saya tidak ikut pergi ke arah itu, sebaliknya memilih kayuh basikal menuju kawasan hospital kerana melihat ramai orang sedang berlari lintang pukang. Tidaklah tahu saya apa yang sedang terjadi dan akan terjadi.
Apabila membaca buku tulisan Tunku terbayang dua orang Cina yang saya lihat di lampu isyarat Jalan Raja Muda sebelum mereka bergerak. Rupanya mereka pergi menemui ajal. Cukup menyedihkan.
Banyak cerita benar yang menyayat hati yang berlaku pada petang itu — 13 Mei 1969 dan hari-hari berikutnya. Tidak perlu saya menghuraikannya pada artikel ini. Yang ingin saya katakan ialah sejak rusuhan itu orang Melayu sering were led to believe mereka menang pertempuran dengan orang Cina.
Walaupun bertahun sudah berlalu ada politikus dan ahli pertubuhan atau kumpulan tertentu yang terpaling Melayu dan mendakwa pejuang dan pembela bangsa sering menggunakan 13 Mei 1969 sebagai modal mencari ‘keuntungan’ demi agenda masing-masing.
Ramai di antara mereka yang eksploitasi kejadian itu tidak melalui peristiwa berdarah itu. Ada yang mungkin masih kecil waktu itu atau belum lahir, dan mungkin dalam kalangan mereka tidak berada di Kuala Lumpur pun pada 1969.
Tapi seperti dikata tadi mereka gemar bercakap pasal 13 Mei.
Kalau bercakap untuk mengingatkan orang ramai supaya memastikan peristiwa itu tidak berulang, baguslah malah dialu-alukan. Tetapi mereka bercakap dengan mesej tertentu.
Banyak perkara dijadikan isu perkauman, dan 13 Mei 1969 digunakan supaya orang Melayu bangga mereka ‘menang’ dan orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina diingatkan akan ‘kekalahan’ mereka. Kesimpulannya ialah mesej yang hendak disampaikan pada hemat saya ialah orang Melayu jangan tunduk dan orang Cina mesti akur apabila timbul sesuatu masalah.
Sentimen perkauman ditiupkan pada hal masalah yang dihadapi bukan soal bangsa mahu pun agama. Ini sering terjadi kebelakangan ini seolah-olah puak ekstremis sedang menjadi-jadi.
Orang Melayu menang pertumpahan darah 13 Mei 1969? Benar ramai orang Cina menjadi mangsa tetapi ramai juga orang Melayu yang turut menjadi mangsa. Begitu juga masyarakat India.
Mukhriz Mahathir, semasa mewakili Umno dan menjadi Ahli Parlimen Jerlun pernah menyifatkan 13 Mei 1969 bagai “a blessing in disguise”. Beliau merujuk Dasar Ekonomi Baru yang beri manfaat kepada orang Melayu diwujudkan selepas atau akibat tercetusnya rusuhan kaum 1969.
Benar DEB wujud berikutan rusuhan kaum untuk mempercepatkan proses penyusunan semula ekonomi negara bagi memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi, tetapi pada pandangan saya apabila nyawa hilang dan harta benda musnah diibarat atau dikaitkan dengan ‘blessing in disguise’ maka itu sesuatu yang amat tidak betul.
Merujuk persoalan siapa menang siapa kalah yang tertera pada tajuk artikel ini. Tidak ada siapa yang menang. Kita rakyat Malaysia — tidak kira bangsa dan agama — sama-sama kalah.
Ayuh berdoa dan berusaha pertumpahan darah antara kaum seperti yang berlaku 56 tahun lalu jangan diizin terjadi lagi. Never again. Ever.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.