
Hari ini anak-anak mula ke sekolah memakai seragam yang memaparkan dengan bangga lencana Jalur Gemilang. Ini berikutan arahan Kementerian Pendidikan yang bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pelajar. Langkah secara peringkat melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru. It could not have come at a better time mengambil kira isu yang timbul membabitkan bendera kebangsaan baru-baru ini.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh rasa cinta terhadap negara dalam kalangan generasi muda sejajar dengan peranan institusi pendidikan dalam memupuk nilai-nilai kebangsaan — inisiatif yang sewajarnya dipuji. Pun begitu sekadar melekatkan lencana Jalur Gemilang di seragam belum mencukupi untuk mencapai matlamat. Pemakai mesti juga diajar mengenai setiap aspek Jalur Gemilang.
Pelajar mesti diberitahu atau diingatkan bendera kebangsaan diberi nama Jalur Gemilang hanya pada 1997 yakni 40 tahun selepas Malaya merdeka. Ertinya sejarah bendera wajib diajar. Penghormatan juga mesti diberi kepada pencipta nama bendera. Besar jasanya yang tidak harus dilupa.
Mesti juga diajar apa makna atau apa yang dilambangkan bahagian segi empat warna biru di sebelah kiri bendera. Apa yang dilambangkan jalur merah dan putih. Begitu juga warna kuning bulan sabit dan bintang. Apa maksud bintang pecah 14. Semua mesti dihuraikan dan diajar satu persatu dengan teliti. Mungkin ini pernah dilakukan tetapi tiba masanya ia diulangi dengan mendalam. Ujian mengenai Jalur Gemilang harus diadakan untuk murid dan pelajar dari masa ke semasa. Ini untuk memastikan apa yang diajar diambil serius. Bukan dengar sambil lewa. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan habis cerita.
Di Indonesia bukan semua sekolah ada seragam berlencana bendera merah putih republik itu tetapi saya berani kata setiap warga yang muda atau tua menghormati bendera kebangsaan dan mencintai negara. Semangat patriot sangat tebal walaupun mungkin tidak senang dengan pemerintah. Mereka boleh membezakan sayang kepada negara dengan sayang kepada pemerintah. Tidak suka pemerintah bukan bererti tidak sayang negara.
Walaupun ada seragam tidak punya lencana bendera merah putih, murid diajar mengenai Pancasila iaitu dasar negara serta falsafah bangsa dan negara Republik Indonesia. Pancasila dimasukkan dalam kurikulum. Anak-anak diajar dari tadika hingga ke sekolah menengah. Setiap peperiksaan ada subjek Pancasila. Jelas langkah ini mencapai matlamat yang dihajati.
Kita ada Rukun Negara yang diilhamkan sedikit sebanyak daripada Pancasila. Ia diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 yang menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia. Di belakang buku latihan sekolah terpampang Rukun Negara. Ada lagi ke sekarang? Saya tidak pasti. Rukun Negara juga dilafazkan semasa perhimpunan sekolah.
Namun itu belum mencukupi. Anak-anak tidak menghayati isi Rukun Negara. Ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Tahun itu saya dalam Tingkatan III. Jujur dan dengan perasaan malu saya katakan sehingga kini saya tidak hafal lima prinsip Rukun Negara. Kerana saya melafaznya tanpa feel. Tak serius. Apa lagi menghayatinya.
Oleh itu untuk mengiring langkah pakai lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah dan institusi pendidikan, saya cadangkan Rukun Negara dijadikan subjek untuk dipelajari murid dan pelajar dan mesti ada peperiksaan mengenainya.
Bukan sekadar hafal lima prinsipnya. Pengajaran mesti meliputi setiap aspek yakni bahagian pertama Rukun Negara yang menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk. Bahagian dua pula menggariskan lima prinsip Rukun Negara. Semua sudah ada. Yang perlu ialah ia ditanamkan ke minda dan jiwa generasi muda walau apa pun agama dan bangsa. Sebenarnya generasi tua pun perlu ‘dirukunkan’ tetapi atas kemahuan sendiri saya kira.
Sekarang bercakap pula tentang isu Jalur Gemilang yang semua sudah tahu. Pendekkan cerita timbul masalah Jalur Gemilang yang tidak lengkap dipaparkan kepada khalayak. Ia membabitkan akhbar Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh serta satu vendor makanan bayi yang berpangkalan di Singapura. Semua sudah mohon maaf. Siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa. Ramai yang terus menerus membuat komen. Harapan saya jangan dihimpun ketiga-tiga kes dalam satu longgok. Treat each case differently — on its own.
Yang banyak diperkatakan ialah kes membabitkan Sin Chew. Akhbar itu mengakui apa yang berlaku atau dilakukan ialah tidak sengaja — kesilapan teknikal kata mereka. Saya setuju dengan pendapat wartawan veteran, Kadir Jasin, bahawa oleh kerana Sin Chew sudah mohon maaf “from the journalistic point of view they had fulfilled their professional obligation“. Namun isunya tidak habis di situ. Panjang huraian Kadir yang tidak akan saya ulangi disini kerana sudah disiar media dengan meluas.
Yang ingin saya ingatkan ialah dua kakitangan Sin Chew yang terlibat secara langsung sudah digantung kerja oleh pengurusan untuk jangka waktu yang tidak ditetapkan. Sehingga kes selesai bermakna tempoh yang lama. Kedua-dua juga sudah ditahan polis dan kini bebas dengan jaminan polis. Maksudnya bukan bebas dalam erti sebenar bebas. Polis sudah serah kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara. Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.
Persoalan penting ialah adakah kesilapan disengajakan. Ada politikus menangguk di air keruh, menyerang dan mengeluar kata-kata yang membawa maksud Sin Chew tidak setia kepada negara. Dengan berkata tiada maaf bagimu mereka mahu hukuman berat diambil. Diakui adalah hak mereka berpendapat demikian. Saya pula ada hak untuk tidak setuju dengan pendapat itu. Bagi saya Sin Chew melakukan an honest mistake.
Dalam berkata demikian bukanlah saya menyarankan tiada tindakan diambil tetapi bak kata Ahli Parlimen Miri Chew Choon Man, bezakan kecuaian editorial dan niat jahat.
Ramai orang awam turut beri komen dan ulasan. Orang Melayu komen, orang bukan Melayu komen. Komen berbaur sentimen ras. Menyedihkan tercetus isu perkauman. Sejak kebelakangan ini banyak perkara dijadikan isu perkauman. Insiden kuil, durian king, insiden peniaga dengan penguatkuasa. Macam-macam. Sekarang reda. Isu bendera juga akan selesai tetapi nanti ada saja isu lain yang akan dijadikan isu perkauman.
Pertanyaan: Adakah itu bagus untuk negara? Tentu kita semua tahu jawapannya.
Sebelum saya undur diri berbalik pasal lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah. Ibu bapa tolong perhati anak-anak memaparnya dengan betul untuk elak sebarang komplikasi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.