
Cabaran melakukan adaptasi, atau mengangkat sesuatu peristiwa benar ke layar perak bukanlah memuatkan apa sahaja yang terjadi agar dapat meruntun hati penonton; sebaliknya cabaran utama adalah untuk memastikan pesan moral insiden yang dipilih itu sampai kepada audien dalam keadaan jitu, tidak berbelah bahagi, dan memuaskan. Pesan moral ini bermaksud menjadikan moral kejadian itu sebagai memori yang kekal dan bertahan lama.
Justeru, naratif filem boleh dimanipulasi baik oleh pihak kita, atau pihak lawan, ya sekiranya mereka ada dana untuk melakukan wacana balas dengan menggunakan wadah filem.
Filem Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada kejadian sebenar yang terjadi semasa Ops Daulat yang pernah menggegarkan negara pada 11 Februari 2013. Peristiwa tragis ini merujuk kepada pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo dan Kampung Air di Lahad Datu, Sabah.
Kejadian ini masih baru berlaku, dan mungkin untuk generasi anak-anak di sekolah mereka tidak pernah mendengar mengenainya. Sasaran moral dan memori kekal filem ini maksudnya adalah mereka di bawah usia 18 tahun, atau mereka yang bakal menjadi pengundi Undi 18 dalam masa tiga tahun lagi.
Di hujung Ops Daulat, seramai 56 pengganas dilaporkan terbunuh bersama enam orang awam. Pertempuran juga menyebabkan 12 orang wira terkorban ketika bertempur demi melindungi kedaulatan tanah air. Inilah pesan moral untuk khalayak remaja, bahawa kedaulatan negara ini tidak boleh ditolak ansurkan.
Bagaimanakah adaptasi boleh dilakukan jika begitu? Iaitu adaptasi yang akan memastikan betapa moral kejadian ini bakal terdorong sebagai memori yang kekal dan bertahan lama dalam benak rakyat.
Pertama, menggubal naratif yang kuat. Jalan cerita yang bukan sahaja meruntun hati dan kalbu tetapi juga akan membangkitkan semangat patriotik. Untuk melakukan ini, pengarang cerita dan lakon layar tidak perlu sampai membubuh semua yang ia tahu di dalam skrip. Pengarang tidak perlu ada rasa terhutang kepada keluarga perajurit untuk menjadikan suami atau abah mereka sebagai wira. Barangkali pihak polis dan tentera yang mungkin menjadi pendana atau tulang belakang naratif kejadian sebenar ini boleh dihargai, tetapi itu pun tidak bermaksud seseorang pengarang filem perlu menyeluruhi sesuatu insiden sebenar itu sepersisnya.
Pengarang misalnya boleh sahaja memilih episod-episod puncak, menjungkir balik kronologi, mendiamkan watak tertentu, dan membelonkan watak lainnya. Yang penting, pesan moral kejadian ini, di samping memori yang kekal bertugu dalam benak penonton.
Inilah hal yang paling utama dalam mengadaptasi peristiwa benar ke layar perak. Apabila pengarang gagal mengutamakan apa yang perlu, dan berusaha memberikan semua sama rata maka akan ada kesan tergesa, kesan menggumpal, kesan menyuguh dan kesan memaksakan. Seolah-olah naratif filem mendesak dan memantak audien agar percaya dan berlaku patriotik. Yakni jika penonton tidak berasa terbangkit maka penonton akan dianggap sebagai lalai, malang, tidak mencintai watan.
Sedihnya inilah yang berlaku kepada Takluk, memandangkan ia tidak benar-benar tahu memposisikan genrenya. Apakah ia filem aksi perang kepolisan? Semacam tidak. Adakah ia drama realisme menunggang elemen thriller? Juga semacam tidak. Makanya, filem arahan Zulkarnain Azhar dengan dengan skrip oleh Zulkarnain dan Peter Toyat ini menjadi lewah dan bercempera.
Untuk mencapai makam filem yang tinggi pesan moralnya bersertakan tusukan memori yang utuh, filem dari kisah benar juga mesti memilih pelakon dan bintang utama yang utuh. Lakonan harus berada di tahap paling meyakinkan. Malah penonton yang kenal watak-watak benar di sebalik peristiwa akan membanding-bandingkan.
Apa yang malang adalah untuk sebuah filem patriotik seperti Takluk, yang nampaknya berkesan betul dengan watak dan perwatakan masing-masing adalah mereka yang berlakon sebagai orang jahat atau pengganas.
Akibatnya, pelakon sehebat Eman Manan sebagai Raja Iskandar (diinspirasikan daripada Raja Agbimuddin Kiram), Nasir Jani sebagai Raja Imran, Abi Madyan sebagai Raja Ilham, anak Raja Iskandar dan Rosdeen Suboh sebagai Mat Zin, komander GMN lebih menyerlah. Malah, penjahat-penjahat ini begitu berkesan sehingga pesan moral filem ini boleh diterbalikkan.
Pelakon mentah dari TV seperti Josiah Hogan sebagai SAC Kamal, Syafiq Kyle sebagai DSP Zamri, ketua Tim Alpha (diinspirasikan daripada ketua Sektor Alpha); Kamal Adli sebagai DSP Jailani “Jai”, ketua Tim Bravo (diinspirasikan daripada ketua Sektor Bravo); Fikry Ibrahim sebagai Inspektor Saiful Zaini, pegawai perisikan IPD Batu Jugar (pegawai perisikan Cawangan Khas) dan Anding Indrawani sebagai DSP Maznan (diinspirasikan daripada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat) semuanya serasa lembik dan kurang maya.
Meskipun mereka berusaha bersungguh-sungguh, tetapi kematangan lakonan memihak kepada pasukan jahat.
Akibatnya, watak wira-wira negara serasa tidak wira, dan seakan menganiaya pula watak-watak benar yang sedia ada dari kejadian ini. Insiden penyembelihan mangsa di Kampung Air oleh penjahat sepatutnya boleh mengakibatkan kita berasa bukan sahaja ngeri tetapi marah. Akan tetapi, naratif dan lakonan yang lemah hanya membuatkan penonton setakat berasa kasihan dan tidak membuak keinginan untuk melakukan sesuatu kepada negara selain setia.
Lebih haru dialog-dialog terbaik nampaknya ada pada watak dari pasukan batil atau jahat ini. Retorika ‘biar liar jangan bacul’ menjadikan watak-watak pengganas ini lebih diingati berbanding perwira negara. Hal ini tentulah melucukan.
Hal-hal lain dalam filem juga nampaknya tidak cukup bergaul dengan formula adaptasi. Mujurlah sinematografi Tan Teck Zee sangat meyakinkan di mana keserabutan hutan estet kelapa sawit dapat diterjemah dengan baik, selain latar Kampung Air ditolak ke tengah dengan cara meyakinkan.
Meskipun Takluk berjaya menakluk pawagam, tetapi ia tidak dapat menakluk audien khusus generasi sasaran yang diperlukan.
Akibatnya filem ini tenggelam dalam pesan moral yang menitik-nitik sahaja munculnya, bersekali dengan harapan memori yang berterabur. Ia menjadi filem yang cepat sekali dilupakan setelah tayangan berakhir.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.