
Ketika hari-hari kami kesepian selepas kehilangan dua anak apatah lagi isteri mengalami sedikit keuzuran, kami pun membuat beberapa aktiviti yang orang sekarang panggil ‘healing’. Kami beli sebuah van Juara dan melakukan pengubahsuaian di bahagian dalamnya menjadikan ia sebuah ‘camper van’. Boleh berbaring dan tidur di bahagian belakang dan ada rak yang boleh menyimpan peralatan memasak.
Dengan Juara itu saya dan isteri pun merayau-rayau. Ada ketikanya kami bermalam di tepi pantai, dari Terengganu sehinggalah ke Negeri Sembilan dan Melaka. Destinasi kami biasanya kampung-kampung di pesisiran pantai walaupun tidak di tapak perkhemahan. Makan masak sendiri. Jimat belanja. Kesempatan ini memberikan peluang untuk saya menulis dan melukis di samping bergaul dengan masyarakat setempat. Ada kampung tepi pantai yang kami singgah kami temui kawan baharu dan mereka bukan sahaja menghantar makanan untuk kami tetapi menjadi teman berbual pada petang hari sampailah waktu tidur.
Sekali itu sedang kami bersiap-siap untuk makan malam, datang seorang pemuda menyapa. Kami pun menyambut dia dengan senang hati dan menghidangkan kopi. Kami bersembang tentang hal-hal biasa pada mulanya tetapi lama-kelamaan topik brader ini menuju ke arah lain macam. Dia mula bercakap tentang puaka, silat, harimau jadian, bunian dan hal-hal yang pelik. Ah sudah. Kacau ni! Sedang dia berbual, dia berhenti dan diam memandang ke satu arah berhampiran semak-samun tidak jauh darinya.
“Diamlah kau! Memekak aja,’ katanya.
Saya bertanya kepadanya dengan siapa dia jeritkan.
“Ini hal sulit,” jawab dia. “Ada suara kat situ sibuk je buat bising.”
Saya memandang ke arah yang dia tunjukkan dengan muncung mulutnya itu. Tiada siapa pun di semak-samun. Nampaknya hanya dia seorang saja yang dengar. Dia kemudiannya menyambung kembali ceritanya sambil menyalakan rokok. Katanya dia juga berkebolehan membaca perangai orang. Kebetulan ada seorang lelaki lalu melintas depan kami, dia kata lelaki tersebut, menurut telekannya sedang mengalami jiwa kacau.
“Celaka, tak senyap senyap lagi?” kata dia sambil memandang ke arah tadi yang bermaksud suara-suara buat bising tadi masih belum diam.
“Kirim salam kat suara tu,” kata saya antara yakin dengan tidak.
“Baiklah, saya sampaikan.” jawab dia acuh tak acuh. Tidak langsung dia menunjukkan rasa hairan dengan kata-kata saya tadi.
Saya ulang lagi, “kirim salam sama dia. Kata kat suara tu aku ajak minum kopi.”
Seperti selambanya dia tadi, dia jawab lagi dengan nada yang sama, “baiklah, saya akan sampaikan salam.”
Huk alah! Saya menyumpah di dalam hati tentang mulut saya yang entah kenapa cabul pula hendak menduga-duga begitu tanpa saya memikirkan ini tempat yang sunyi dan lelaki ini tidak diketahui dari mana datangnya tetapi lebih kurang sepuluh saat kemudiannya tiba-tiba dia berkata, “lega suara tu dah diam.”
Maksudnya bunyi bising yang dia seorang sahaja dengar itu sudahpun hilang. Saya pun menarik nafas lega. Isteri saya tersenyum. Dia memang maklum sangat perangai suaminya ini yang adakalanya gagal mengawal celupar. Ha! Ha! Ha!
Bukan apa, pernah suatu ketika dahulu kawan saya cerita setiap pagi akan ada makhluk halus yang siapkan sarapan pagi untuknya di rumah. Menurut kawan saya itu apabila pagi sahaja tahu-tahu sarapan pagi sudah siap terhidang di atas meja makan. Ini sangat menyeramkan dia. Saya dengan selamba berkata kalau ‘dia’ yang misteri itu ada hidang lagi makanan, tolong sampaikan pesanan saya supaya datang ke rumah saya untuk bantu kemaskan rumah saya. Maklumlah saya dan isteri sibuk mengurus dua anak istimewa kami yang terlantar, memang tak sempat untuk berkemas. Jadi jika ada pembantu walaupun tak nampak dengan mata kasar pun tidak mengapa asalkan beban saya berkurang. Ternyata kawan saya sangat marah. Katanya saya cakap besar. Aduh! Itu yang saya rasa kali ini, dengan brader ini mulut saya masih tak ada insuran macam dulu. Cabul dan celupar padahal saya rasa saya tidak berniat buruk, sekadar hendak berbasa-basi. Mujurlah dengan brader ini semuanya okey, tiada sebarang perkara buruk berlaku.
Brader ini kemudiannya terus sambung bercerita lagi dari satu tajuk ke satu tajuk. Dari harimau kepada ular kemudiannya melarat ke kuda dan berbagai binatang lagi yang katanya semua dia nampak berkepala manusia. Saya hanya mengangguk mengiyakan apa sahaja ceritanya dan apabila sesekali dia ketawa, saya dan isteri ikut ketawa bersamanya. Isteri saya pun sesekali menyampuk juga dengan ‘ye ke?’, ‘isy! Isy! Isy!’ dan sebagainya. Lebih kurang dua jam bersama kami dia pun meminta diri.
Begitulah. Macam-macam ragam manusia. Itu yang dia nampak, itu yang dia dengar dan itu yang dia rasa, siapalah kita nak kata apa yang dia cakap itu tak betul, kan? Ada manusia mendakwa dapat melihat hal-hal yang kita tidak nampak. Ada manusia yang mengaku mengalaminya. Jumpa Hang Tuah, jumpa Puteri Saadong, jumpa Puteri Gunung Ledang dan takjubnya mereka mampu menghuraikan segala rupa paras dan pakaian dengan cukup terperinci. Brader ini – barangkali itu halusinasinya. Otaknya mewujudkan imej-imej dan mengarahkan mata melihat dan telinganya mendengar lalu dia pun percaya apa yang matanya lihat, apa yang telinganya dengar. Agaknyalah! Saya tidak mahir dalam bab ini. Saya hanya melayan sahaja tanpa perlu pertikaikan kebenaran cerita dia sebab dalam dia galak bercerita tentang macam-macam hal mistik itu akhirnya dia kata, “entah kenapa jumpa abang dan akak ni saya berasa seronok betul.”
Hah! Itulah yang saya maksudkan tadi tentang ‘melayan sahaja’. Niat saya hanya menyantuni orang. Kadang-kadang orang datang kepada kita bukan mengharapkan apa-apa. Mereka hanya mahu kita mendengar sahaja luahan kekusutan yang berselirat di dalam kepala. Buat apalah kita hendak membantah atau beria-ia hendak menyelesaikan. Layankan sahaja biar dia rasa yang dia wujud, didengar, dan dihargai. Rasulullah pun ada ketikanya menjawab pertanyaan seseorang itu mengikut tingkat pemahaman mereka. Usah dirumitkan urusan. Berikan ruang untuk orang lain sekejap, apa salahnya menyantuni.
Saya melihat brader itu seorang manusia yang hidup dengan membawa kisahnya tersendiri. Seperti kita juga, itu bahagian dia sebelum perjalanan dia sampai ke penghujung. Perbualan saya dengan brader itu bagi saya bukanlah tentang dia sahaja tetapi ia tentang kami juga. Mungkin brader ini dihantar oleh Yang Maha Pengatur pada malam itu sebagai slot selingan dalam program ‘healing’ kami ketika itu. Kehadiran kami malam itu di situ untuk melayan jiwanya dan tanpa saya sedar kehadiran dia pula untuk melayan jiwa saya dan isteri pula. Brader itu diberi peluang oleh Tuhan untuk melegakan keresahannya dengan meluahkannya kepada kami manakala kami yang kesunyian diisi oleh Tuhan dengan menghantar brader itu.
Kisah dia berbeza dengan kisah kami tetapi malam itu kami dipertemukan untuk menghibur hati antara satu sama lain. Esok cerita kita akan berubah lagi dan bertemu dengan orang lain pula bagi mengisi diari kita. Boleh jadi begitulah agaknya aturan yang dirancang oleh yang Maha Kuasa untuk memberi warna dan makna sepanjang usia kita. Wallahu a’lam bissawab.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.