
Sebetulnya genosid tidak bermula dengan senapang, atau parang. Genosid tidak bermula dengan perkosaan dan pembunuhan. Genosid betul-betul tidak dimulai oleh bom atau mortar. Celakanya, genosid bermula dengan kata-kata. Genosid bermula dengan kebencian. Sebetulnya genosid bermula dengan hasutan.
Kalau ada seseorang melakukan fitnah dan hasutan kebencian terhadap seorang tokoh atau ahli politik adakah ia boleh mencetuskan genosid? Jawapannya – jika tidak berhati-hati – ya, ia boleh membawa kepada genosid.
Ia berlaku di Rwanda, antara 7 April hingga 15 Julai 1994. Peristiwa tersebut menggemparkan seluruh dunia. Ia genosid yang berlaku terang-terangan, dan sedihnya tiada negara berusaha melakukan sesuatu yang bermakna dalam tempoh tersebut. Mangsa genosid di Rwanda, Afrika dibunuh di hadapan rumah, dipangkas di dalam gereja, dikapak di dalam kelas di sekolah, diperkosa di atas katil hospital dan senarai keganasan yang sukar diungkapkan itu sangat panjang. Dalam kebanyakan rakaman sejarah lisan, yang melakukan kekejian itu ialah jiran sebelah rumah, atau rakan sekerja; juga kawan sedarjah atau sekuliah. Adalah dipercayai sekitar 250,000 ke 500,000 wanita Tutsi dan liberal Hutu dirogol oleh orang-orang Hutu. Selepas 100 hari, dipercayai 500,000 ke 662,000 kaum Tutsi dibunuh.
Genosid di Rwanda itu bermula dengan fitnah dan hasutan kebencian dalam ruang politik. Dalam tahun 1990, pasukan Rwandan Patriotic Front (RPF), sebuah kumpulan pemberontak yang terdiri daripada kalangan pelarian Tutsi berpangkalan di Uganda melancarkan serangan ke utara Rwanda lantas mencetuskan Perang Saudara. Perang itu menjadi sangat hodoh dan usaha keamanan nampaknya tidak berhasil. Akhirnya kerajaan Rwanda pimpinan seorang daripada kaum Hutu iaitu Presiden Juvénal Habyarimana memilih untuk menandatangani Perjanjian Arusha dengan gerila RPF pada 4 Ogos 1993. Puak Hutu yang menolak Habyarimana atas alasan perkauman pun bertindak.
Selama beberapa bulan, puak Hutu yang ekstrem telah memfitnah, memburukkan, mencerca, menista, membenci dan menghasut – ya hasutan – sehingga membawa kepada pembunuhan Presiden Habyarimana pada 6 April 1994. Hasutan itu penuh dengan provokasi kaum. Pembunuhan Habyarimana mengakibatkan kehampaan atau kekosongan dari segi kekuasaan politik dan menggagalkan usaha kerajaan perpaduan Rwanda pimpinan beliau. Genosid tidak bermula dengan senapang dan parang. Ia bermula dengan hasutan.
Penjawat awam Rwanda yang majoritinya Hutu termasuk tentera, polis dan militia membunuh kebanyakan politikus daripada puak Tutsi dan turut menyasar kaum Hutu dan puak Twa moderat yang menyokong dan mahu melihat perpaduan.
Semuanya kini kemudian menjadi sejarah pahit Rwanda. Genosid ini membolehkan RPF memulai kembali perang dan kemudian menguasai kerajaan lalu mengusir puak yang melakukan genosid ini untuk melarikan diri ke Zaire.
Kebencian dan hasutan agar ada dalam kalangan kita membenci kaum tertentu – kerana disandarkan kepada parti politik tertentu – boleh memulai genosid. Kebencian dan hasutan agar ada dalam kalangan kita membenci pemimpin tertentu – kerana dihujahkan oleh parti politik tertentu – sebagai alasan-alasan akidah dan keimanan boleh memulai genosid.
Jadi apakah bezanya kritikan pedas biasa terhadap satu-satu parti politik atau pemimpin dengan hasutan? Apakah yang membezakan kritikan dengan hasutan yang boleh membawa kepada genosid? Bagaimana membezakannya, dan bolehkah kebencian dan fitnah ini dikesani segera dengan satu-satu akta dan undang-undang untuk dipadam atau dikawal? Bagaimanakah kita dapat membezakan ia sebagai satu kebencian dan hasutan dan bukannya kebebasan
berekspresi?
Dalam kerangka hak asasi manusia, hal ini dapat dibezakan. Ini telah diungkap menerusi Pelan Tindakan Rabat. Pelan ini menyediakan, pertamanya, polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai “kebebasan bersuara” dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama dan dalam keadaan tertentu kaum, secara kolektif. Ini kerana di beberapa buah negara sesuatu agama itu juga dikaitkan dengan kaum tertentu. Kebencian terhadap agama
secara kolektif melibatkan:
i. Konteks: Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.
ii. Pengucap: Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenal pasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.
iii. Niat: Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.
iv. Kandungan dan bentuk: Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.
v. Keluasan: Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.
vi. Potensi risiko: Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap kumpulan tertentu secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran.
Nah bayangkan senario ini. Seorang agamawan atau negarawan terkenal di atas pentas kempen politik menyasarkan kaum atau agama tertentu. Agamawan atau negarawan ini melakukannya dengan sengaja, terbuka, dan aktif. Kandungannya mungkin berbaur kebencian tanpa mempedulikan ia benar atau tidak benar. Oleh kekuatan media sosial, ucapan atau hasutan agamawan atau negarawan ini pun tersebar dan saiz audien meluas. Ia kemudian tular dan ramai orang terpedaya dan ikut membenci, atau terhasut.
Tidaklah mustahil akan ada daripada kalangan khalayak ini kemudian menggembleng tenaga kebencian itu lalu melakukan perbuatan yang jahat. Memang genosid bermula dengan kebencian. Genosid terlancar dengan kata-kata hasutan. Tidak ada sangkal dan dalih. Atas sebab inilah ada negara memilih untuk menjaga perpaduan dan kestabilan nusa bangsa daripada gugatan begini.
Hasutan bukan kebebasan bersuara. Hasutan boleh melancarkan genosid. Saya ulangi, sialnya genosid ini bermula dengan kata-kata. Genosid cukup bermula dengan kebencian. Sebetulnya genosid terbenih oleh hasutan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.