Bila PRN berlangsung kelak

Bila PRN berlangsung kelak

Ras dan agama akan terus 'disuburkan' dalam kancah politik negara yakni akan terus dijadikan isu untuk mendapat keuntungan politik.

Muhyiddin Yassin yakin Perikatan Nasional boleh meraih sehingga 80% undi terutama daripada pengundi Melayu pada enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, pula dilapor berkata PN yakin membuat kejutan di Negeri Sembilan, Selangor, malah Pulau Pinang – tiga negeri diperintah Pakatan Harapan – di samping mengekal pemerintahan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Bagi Muhyiddin, keyakinan beliau tersimpul hasil kajian PN sendiri yang menunjukkan Bersatu, PAS, dan Gerakan mendahului parti lain dari segi populariti dan kepimpinan. Tidak boleh dinafikan beliau juga pasti terangsang dengan prestasi baik PN pada PRU15. Begitu juga tentunya buat Samsuri yang partinya menang 49 kerusi Parlimen manakala rakan mereka, Bersatu, menang 25. Lantas prestasi baik itu disifatkan ramai sebagai Gelombang Hijau sesuai dengan warna PAS.

Tetapi pada pandangan Mohd Rafiq Mohd Abdullah, ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, sokongan yang diterima pada PRU15 adalah sokongan Melayu kepada PN dan bukan hanya penyokong PAS. Rafiq tidak setuju dengan istilah Gelombang Hijau, yang menurut beliau digunakan untuk menakutkan pengundi bukan Melayu.

Itu cerita lama maka tidak perlu diulas mahu pun diulang tayang. Cerita baharu ialah enam PRN yang PN begitu yakin ‘sapu’, yang mungkin didorong oleh prestasi pada PRU15.

Bagaimanapun menurut Hisommudin Bakar, pengarah eksekutif Ilham Centre, data PRU15 tidak boleh dijadikan asas utama dalam ramalan bagi PRN mendatang kerana terdapat beberapa elemen atau indikator yang boleh mengubah pola pengundian. Beberapa penganalisis politik sependapat dengan beliau.

Kata Hisommudin, antara indikator ialah faktor pertambahan pengundi, dinamik pengundi baharu, peratusan keluar mengundi, dan isu yang diketengahkan mungkin berbeza.

Pertambahan pengundi agak signifikan kerana dengan sistem pengundian automatik, pengundi yang cukup umur akan dimasukkan secara automatik ke dalam daftar pemilih SPR. Semasa PRU15, daftar itu setakat suku kedua 2022 iaitu sehingga Jun tahun lalu.

“Andai kata PRN ini menggunapakai sehingga suku pertama 2023 iaitu Mac, maka pertambahan pengundi selama sembilan bulan perlu dilihat dengan teliti oleh parti yang bertanding,” kata Hisommudin. Ini kerana pertambahan jumlah pengundi baharu yang masuk mungkin mampu mengubah keputusan di kawasan yang dimenangi secara marginal. Tambahan pula pengundi ini tidak dapat dibaca ke arah mana sentimen dan sikap mereka selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

Faktor kedua, kata Hisommudin, dinamik pengundi muda terutama segmen undi 18 tahun hingga 25 tahun yang sangat mudah berubah. Faktor ketiga pula peratusan keluar mengundi. Mengambil kira PRN tidak akan mengubah kerajaan persekutuan, kebiasaannya pengundi kurang teruja untuk keluar mengundi berbanding PRU.

Tetapi PRN ialah untuk mencari menteri besar atau ketua menteri dan pentadbiran negeri. Oleh itu isu setempat akan dimainkan dan memainkan peranan penting dalam pertimbangan pengundi. Maksudnya isu seperti kurang peluang pekerjaan memaksa gologan muda berhijrah. Isu ini lazimnya ditimbulkan di negeri yang ditadbir PAS yang dituduh lawan gagal mengembangkan ekonomi. Begitu juga soal bekalan air bersih dan tekanan air rendah yang masih tidak dapat diatasi kerajaan Kedah dan Kelantan.

Kedah juga dihimpit isu hasil padi tidak menguntungkan pesawah, kos meningkat, dan sebagainya. Kelantan selain isu air dibelenggu masalah kebersihan terutama kutipan sisa pepejal atau sampah tidak terurus di kawasan pihak berkuasa tempatan tertentu.

Di Terengganu, menurut Hisommudin, antara isu ialah tanah ‘diberi’ harga rendah kepada orang politik.

Selangor yang diperintah PH dihantui masalah bekalan air yang kerap terputus. Jaminan banjir tidak akan berulang seperti yang berlaku di Taman Sri Muda dan Hulu Langat pada 2021 akan pasti ditimbulkan. Juga kos sara hidup dan inflasi bagi segmen miskin bandar dan kumpulan B40 di bandar. Bagaimanapun kos sara hidup dan inflasi masalah seluruh negara. Oleh itu isu ini akan diketengahkan di semua negeri.

Namun parti yang berkempen akan mengheret juga isu nasional untuk pengaruhi pengundi. PN akan menggunakan sentimen Islam dan Melayu untuk menambat hati pengundi Melayu-Islam. Lantas sejauh mana PH mampu menangkis?

“Mengikut unjuran semasa, bahan kempen yang digerakkan PN dengan naratif kaum dan agama mungkin terhad ekoran sekatan akan dikenakan oleh pihak kerajaan,” kata Hisommudin. Selain itu, kata beliau, tokoh PN yang didakwa di mahkamah dan akaun parti yang dibekukan sedikit sebanyak memberi kesan kepada PN.

Pun begitu kerajaan perpaduan juga ada masalahnya. Isu utama ialah mereka masih bergelut untuk menyakinkan segmen Melayu yang memberikan sokongan besar kepada PN pada PRU15. Dengan ini, kata Hisommudin, pertarungan PRN lebih kepada kedua pihak berusaha membuktikan parti Melayu mana yang disokong pengundi Melayu. “Natijahnya modal ini akan digunakan, berpanjangan sehinggalah PRU16 nanti,” kata beliau.

Ertinya ras dan agama akan terus ‘disuburkan’ dalam kancah politik negara yakni akan terus dijadikan isu untuk mendapat keuntungan politik. Sesuatu yang pada hemat saya tidak bagus untuk negara. Harapan saya agar tidak terulang ‘aku lebih Melayu, lebih Islam daripada kamu’ yang pernah dilakukan semasa Umno berperang dengan PAS pada 1980-an.

Harapan saya ialah agar harapan tidak tinggal harapan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.