Oh Sang Pelangi

Oh Sang Pelangi

Ramai juga yang tidak senang dengan langkah LGBT mengambil pelangi sebagai lambang mereka.

“Engkau tiba bagaikan pelangi,
Tak bercahaya namun kau berseri,
Tapi cukup menghiburkan hati ini.”

Ini sebahagian lirik “Pelangi Petang”, satu-satunya lagu nyanyian Sudirman yang saya suka.

Dewasa ini heboh orang bercakap mengenai pelangi. Lalu saya bertanya apalah nasib lagu ini. Bolehkah ia terus didengari? “Pelangi Petang” tidak diharamkan. Cuma jalan cerita saya ini serupa dengan satira pelawak terkenal Harith Iskandar.

Menerusi TikTok tempoh hari yang saya kira sudah “viral”, Harith persembahkan kisah lucu tapi pedih, tajam, dan sinis mengenai “music censorship” dengan membawa mesej “tidak boleh pelangi di Malaysia”.

Beliau menampilkan lagu Jazz oleh Ella Fitzgerald yang ada istilah pelangi, kemudian sebuah lagu slow rock, juga ada sebut pelangi, diikuti lagu lama “Somewhere over the rainbow” yang tentulah ada pelangi. Setiap lagu disusuli komen “Rainbow? Tak boleh. Ini Malaysia.”

Seterusnya Harith menyajikan sebahagian daripada “special performance of Rainbow Connection” oleh Kermit the Frog yang mengaju pertanyaan “mengapa ada banyak lagu mengenai pelagi, dan ada apa di sebalik sana? Pelangi adalah visi tetapi ilusi dan pelangi tidak punya apa untuk disembunykan. Begitu kita diberitahu dan ada yang pilih untuk percaya. Aku tahu mereka salah…tunggu dan lihat.”

Kata Harith kita tidak boleh ada “rainbow baju, rainbow flag, rainbow watch”. Beliau tutup persembahan dengan kata-kata “we must keep Malaysia black and white, OK?”.

Terpulang untuk masing-masing mengintepretasi. Namun umum tahu satira Harith dihasilkan sejurus selepas pihak berkuasa menyerbu beberapa butik jam jenama Swatch dan merampas koleksi jam tangan bertema warna pelangi yang dikaitkan dengan komuniti LGBTQ.

Sebenarnya, selain Harith ramai juga yang bersatira. Antaranya memaparkan gambar kueh lapis atau “rainbow pudding” diring amaran “kueh LGBT oleh itu dilarang makan”. Banyak lagi jenaka berunsur perli dihidang untuk dinikmati khalayak.

Semuanya kerana rampasan jam Swatch bertema pelangi. Sehingga Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditanya wartawan mengenai rampasan berkenaan. Inilah keindahan Malaysia. Semua perkara perlu tanya perdana menteri dan beliau pula jawab.

Apa pun dalam hal ini Anwar berkata serbuan pihak berkuasa terhadap kedai Swatch bukanlah mengenai warna jam sebaliknya berkaitan LGBT. OK, isunya LGBT tetapi bukankah warna pelangi dikaitkan dengan komuniti LGBT. Jadi bolehkah dikatakan pihak berkuasa bertindak setelah didorong warna pelangi pada jam tangan yang dirampas?

Kita tahu pula golongan yang mahu konsert Coldplay dibatalkan juga mengaitkan kumpulan itu dengan LGBT kerana antara lain penyanyi utama sering mengibar bendera pelangi semasa persembahan. Desakan mereka tidak berhasil.

Akan tetapi kita juga tahu golongan tertentu itu mengggunakan LGBT sebagai isu khususnya menjelang pilihan raya yang akan diadakan di enam negeri tidak lama lagi. Komuniti LGBT ialah “easy convenient target” dalam taktik golongan berkenaan ‘membuktikan keislaman’ dan menuduh kerajaan ‘tidak Islamik’.

Yang membimbangkan ialah apabila atau jika kerajaan pula terikut-ikut dengan rentak itu untuk membuktikan mereka bukan seperti dituduh. Lantas teringat zaman Umno pimpinan Mahathir Mohamad berperang dengan PAS dulu. Masing-masing bertindak ambil langkah ‘keterlaluan’ untuk menonjolkan ‘aku lebih Islam daripada kamu’. Harapan saya ini tidak berulang.

Komuniti LGBT pun satu hal. Dulu mereka sudah ada “inverted pink triangle” sebagai simbol walaupun ia dicipta regim Nazi bagi mengkelaskan dan menghina LGBT. Maka mereka mengambil atau “adopt” pelangi sejak 1978.

Ramai juga yang tidak senang dengan langkah LGBT mengambil pelangi sebagai lambang mereka. Pelbagai protes dijalankan. Ada juga yang berlebihan sehingga melucukan. Umpamanya Januari lalu apabila kumpulan rock terkenal Pink Floyd menerbitkan package set CD khas bagi menyambut ulang tahun ke-50 album mereka yang disifatkan sebagai paling berjaya, iaitu “Dark Side of The Moon”.

Hanya kerana dalam angka 50 atau lebih tepat angka kosong dimuatkan warga pelangi, protes dilancarkan kumpulan anti-LGBT. Semua peminat muzik tahu album Dark Side of The Moon diterbitkan pada 1973 dan kulit album memaparkan cahaya menembusi prisma melahirkan pelangi.

Yang menarik ialah setelah 50 tahun baru kini kumpulan anti-LGBT membantah pelangi Pink Floyd. Pada hal kumpulan ini tidak ada kena mengena dengan apa-apa promosi LGBT.

Masa saya kecil-kecil dulu di tadika saya dan kawan-kawan apabila melukis rumah pasti ada pelangi di langit. Jangan pula anak-anak tadika sekarang tidak boleh melukis pelangi.

Saya setuju dengan kata-kata pelawak AS, mendiang Ralphie May: “I want my rainbow back”. Meskipun saya akui saya ada dalam kalangan kawan saya anggota komuniti LGBT dan “I don’t have anything against them”.

Berbalik satira Harith yang diceritakan tadi. Secara sinis beliau berkata, “Ini Malaysia, let’s keep it black and white”.

Teringat pula ketika hancurnya sistem apartheid di Afrika Selatan dan Nelson Mandela sebagai presiden menubuhkan kerajaan campuran hasil pilihan raya demokratik pertama di negara itu.

Archbishop Desmond Tutu antara aktivis hak asasi manusia dan anti-apartheid yang rapat dengan Mandela mencipta istilah “Rainbow nation” atau negara pelangi bagi memperlihatkan kepelbagaian Afrika Selatan. Pelbagai kaum, budaya, dan agama. Bukan hitam putih. Bukan LGBT .

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.