
Saya percaya sebaik sahaja anda membaca tulisan ini berlegar di ruang maya mahupun di dada akhbar serta kaca televisyen ulasan tentang Belanjawan 2023 yang dibentang oleh menteri kewangan pada Jumaat lalu.
Baik penganalisis ekonomi yang dilihat pro-kerajaan atau yang mengkritik seperti pembangkang, malah yang ‘neutral’ juga telah menghujahkan pandangan menurut sisi mereka.
Sama ada belanjawan ini baik untuk rakyat dalam menghadapi getir turun-naik ekonomi tahun hadapan atau belanjawan ini memang dirancang sebagai gula-gula pilihan raya ternyata kita tidak boleh kesampingkan idea-idea pakar ekonomi.
Kita harus melihat dari segenap sisi pro dan kontra idea ini supaya kita harus lebih bersedia. Bak kata orang, ketika kemarau kita memang mengharapkan hujan akan tetapi kita tetap tidak dapat menolak selut dan becaknya sekali. Ini datang dengan pakejnya. Semua ini wajar diambil kira. Payung mesti kita sedia.
Pembentangan belanjawan oleh kerajaan ini merupakan acara tahunan negara untuk kita segenap lapisan rakyat perhatikan, tidak kiralah sama ada mereka itu benar-benar memahami keseluruhan isi pembentangan ataupun mereka hanya menanti insentif-insentif yang bakal mereka nikmati sahaja.
Di sinilah terbahagi dua antara kita sebagai rakyat. Satu golongan pembayar cukai yang berasa banyak menyumbang tetapi kurang dapat balasan manakala satu lagi golongan berpendapatan kecil yang menerima banyak manfaat. Inilah pergeseran yang harus ditangani oleh kerajaan melalui dasar-dasar mereka. Berpendapatan tinggi di bandar tetap perit berbanding berpendapatan sederhana di kampung yang kos sara hidupnya masih rendah sebab tidak terlibat dengan bebanan ‘mesti tempuh’ di bandar seperti kos sewa rumah, tol, parkir, yuran pusat penjagaan anak, dan sebagainya.
Walaupun begitu di kampung ada dilemanya juga terutama musim tengkujuh di mana hasil pencarian petani, penoreh getah, dan nelayan terjejas. Skim bantuan dan insentif yang dinaikkan masih tidak membantu kerana harga barang juga turut naik akibat kesan kejatuhan nilai matawang yang amat buruk mutakhir ini. Ibarat kita menuang air yang banyak di tempayan tetapi bawah tempayan ada lubang yang besar. Air yang keluar pun sama laju.
Itulah maksud selut, becak, dan payung yang saya khabarkan awal tadi. Dalam kita mengkritik belanjawan kerajaan, lihat pula diri kita sendiri. Apakah kita ada belanjawan bulanan atau tahunan untuk rumah kita sendiri? Berdisiplinkah kita dalam berbelanja? Apakah kita ikut belanjawan yang kita rangka atau tidak? Entah-entah kita tak pernah buat belanjawan pun bila dapat gaji. Selesai bayar bil bulanan dan hutang, kita belanja ikut suka sahaja tanpa perancangan.
Belanjawan bulanan sekolah anak bukan hanya belanja makan di kantin tetapi beberapa keperluan lagi terutama anak-anak remaja lelaki dan perempuan yang berbeza keperluan. Ini termasuklah belanja internet untuk telefon pintar mereka yang sudah dianggap satu keperluan. Belanja barangan dapur sudah semakin meningkat malah keperluan bilik air seperti sabun, syampu, ubat gigi sahaja cukup merabakkan saku.
Kita menteri kewangan kepada diri kita sendiri dan ahli keluarga. Tanpa disiplin merancang, belanjawan rumah akan gagal. Apabila gagal mulalah kita berhutang untuk menampung perbelanjaan. Makanya kita telah gagal menjadi menteri kewangan dalam rumah.
Andai gagal kita sebagai menteri kewangan dalam rumah maka gagal jugalah ‘kerajaan’ kita. Kegagalan kerajaan dalam inilah paling bahaya dan mesti kita elak dari berlaku!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.