PH masih buntu peralihan kuasa Anwar-Dr M

PH masih buntu peralihan kuasa Anwar-Dr M

Di dalam ketiga-tiga episod kegagalan Anwar menjadi PM, jika Anwar adalah watak utama sebuah filem, maka Mahathir boleh dianggap watak utama ke-2 yang selalu muncul dalam adegan sedih melibatkan Anwar.

Kegagalan Dr Mahathir Mohamad memberi tarikh peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim pada awal tahun adalah kebuntuan terbesar Pakatan Harapan sehingga menyebabkannya kehilangan kuasa.

Keengganan Anwar dan PKR bersetuju dengan peralihan kuasa daripada Mahathir kepadanya untuk kali ke-2 sekiranya PH berkuasa semula, kini menjadi kebuntuan terbesar PH sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam gabungan pembangkang itu seperti yang berlaku pada zaman Pakatan Rakyat.

PKR tahu sebab sebenar Anwar, yang diwar-warkan sebagai bakal PM ke-8, gagal menjadi PM ke-8.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bukan punca Anwar gagal menjadi PM. Bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali juga bukan punca utama Anwar gagal menjadi PM.

Bahkan punca kegagalan Anwar menjadi PM ke-5, PM ke-7 juga berkait dengan kegagalan beliau menjadi PM ke-8.

Ketika jawatan PM ke-5 semakin menghampirinya, Anwar dijatuhkan secara aib atas salah laku jenayah pada 1998 ketika Mahathir ialah PM.

Ketika Anwar cuba menjadi PM ke-7 pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Mahathir memilih berkempen kuat untuk Barisan Nasional bagi mengekalkan Najib Razak sebagai PM.

Apabila PKR cuba mendesak Mahathir menyatakan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar untuk dilantik sebagai PM ke-8, “Langkah Sheraton” berlaku dan Mahathir memilih melepaskan jawatan PM, diikuti keputusan PPBM meninggalkan PH.

Di dalam ketiga-tiga episod kegagalan Anwar menjadi PM, jika Anwar adalah watak utama sebuah filem, maka Mahathir boleh dianggap watak utama ke-2 yang selalu muncul dalam adegan sedih melibatkan Anwar.

Oleh itu, sesiapa yang berada di dalam kasut Anwar dan PKR akan memahami betapa susahnya bagi beliau dan PKR menerima Mahathir sebagai PM semula. Sebesar mana jiwa seseorang manusia, ia bukanlah infiniti, tetapi ada hadnya.

Kelemahan utama Anwar di dalam dunia politik ialah keinginan beliau menjadi PM. Keinginan ini menyebabkan musuh beliau mudah mengatur langkah kerana mereka tahu Anwar tidak akan berani melakukan apa-apa yang menjejaskan peluangnya menjadi PM.

Oleh itu, keputusan Anwar dan PKR kali ini tidak menyokong Mahathir dilantik semula sebagai PM sekiranya PH kembali berkuasa adalah keputusan yang mengejutkan kawan dan musuhnya.

Ini kerana ini ialah kali pertama Anwar melakukan sesuatu yang menjauhkan beliau daripada kerusi PM. Apakah kali ini akan ada kesudahan lebih baik untuk Anwar? Mari kita tunggu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.