
Selepas kelonggaran terpaksa diberikan bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat, barisan panjang menghurungi kedai pajak gadai terlihat di merata tempat. Covid-19 bakal dan sedang membinasa perlahan. Golongan marhaen dan proletariat menggelupur kelemasan, dicekik dan menanti masa keras kejang.
Meskipun pandemik masih mengintai penuh ghairah di celah jari-jemari rakyat, keadaan ekonomi yang rusuh membuatkan pemerintah tiada pilihan lain. Yakni melepaskan rakyat untuk keluar semula dari kediaman masing-masing, dengan pesanan keras – patuhi norma baru – atau korban tidak terhitung mengganasi kita semua. Demikian senario negara jiran.
Presiden Badang, penguasa ke-4 Republik Hujung Manani memanggil penasihat ekonominya, sambil menyatakan; “ketua pengarang Hujung Manani Tribune memberi ‘headline’ besar – Bahtera Berbeza, Rakyat Perlu Dibenarkan Keluar Bekerja – dan ia amat mengganggu saya.”
Penasihat ekonomi datang, menenangkan “Orang terlupa yang bahtera mungkin berbeza, yakni ada kecil dan besar, tetapi badai taufan yang datang melanda itu sama. Dan ombak besar kalau siap menelan; akan menggulung yang agam mahupun kerdil.”
“Saya mahukan penyelesaian. Saya tidak mahu menjadi seperti negara jiran yang tidak mempunyai rencana kemas. Rakyat mereka dilanda susah. Negara jiran kita gopoh, dan terkeluar dari garis demokrasi yang sihat. Mereka bukan teladan baik. Ekonomi mampu dipulihkan meski makan tahun. Tetapi rakyat dan nyawa tidak dapat diganti.”
Presiden Badang tidak dapat membayangkan rakyatnya beratur di depan pajak gadai, sedang pemimpin beratur merembat posisi syarikat milik negara atau GLC. Dia tidak dapat membayangkan sebuah negara yang pemodal jaga pemodal, atau “banker” jaga “banker”.
Penasihat ekonomi menjawab dengan 3 patah kata; “Universal Basic Income”.
Itu bukan pertama kali Presiden Badang mendengarnya.
“Penyokong UBI datang daripada pelbagai suara, baik mereka yang progresif mahupun konservatif. Ia pernah diutarakan oleh hartawan seperti Mark Zuckerberg menjalar kepada ahli ekonomi libertarian, Milton Friedman. Pada hujung 2019, calon presiden Parti Demokrat di Amerika Syarikat bernama Andrew Yang mempopularkan idea ini. Kita boleh melaksanakan idea tersebut dengan sedikit perubahan.”
Hanya beberapa hari lepas, Presiden Badang ditelefoni Ketua Menteri Scotland, Nicola Sturgeon, yang percaya penyelesaian sementara kepada krisis ekonomi yang melanda dunia ekoran Covid 19 ialah dengan jalan mempraktikkan UBI.
Akan tetapi apakah itu “Universal Basic Income”? Apakah ada negara yang pernah melakukannya, dan adakah ia berjaya?
Secara mudahnya, ia satu pendekatan di mana kerajaan memberikan wang tunai kepada rakyat, dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan mereka. Mungkin terdapat keperluan minimum untuk mereka memperolehi wang tersebut. Sama ada UBI ini menggantikan bantuan kebajikan sedia ada, atau tidak akan sangat bergantung kepada pemerintah.
Sarah Fisher dalam sebuah tulisan berjudul “How Universal Basic Income (UBI) Would Work” untuk Smart Asset memberikan beberapa kebaikan oleh dasar ini.
Pertama, untuk Mak Cik Kiah yang bergelut membayar bil bulanannya ekoran kesan pandemik Covid-19, 1,000 ringgit sebulan yang diberikan oleh pemerintah akan membolehkannya membayar sewa, meletakkan makanan di atas meja dan pelbagai keperluan lain.
Untuk Kak Kiah yang memang mampu membahyar sewa dan bil pula, 1,000 ringgit sebulan itu dapat menjadi lebihan yang bermakna untuk disimpan atau dibelanjakan (disposable income).
Kedua, pemberian 1,000 setiap bulan itu satu bentuk dana kecemasan buat rakyat. Bukanlah rahsia, ekoran keadaan ekonomi yang menggawat, simpanan rakyat untuk digunakan di saat kecemasan selalu santak. Jumlah tabungan individu rakyat kadang sangat lara dan syahdu angkanya. Pemberian UBI akan membolehkan oksigen dihirup di kala jerubu kewangan melanda.
Ketiga, ia berperanan sebagai pendapatan lebihan. Yang mana untuk mereka yang sedikit berkemampuan ia boleh dibelanjakan dan membantu ekonomi mengalir. Manakala untuk mereka yang memilih untuk menyimpan, ia memberikan semacam satu ketenangan. Rakyat yang tenang adalah rakyat yang akan menjadikan negara bahagia. Justeru kemakmuran harus dikongsikan sebaiknya oleh sebuah negara.
Keempat, UBI selalu dapat membantu mangsa dera keluar dari cengkaman pendera. Ini kerana mangsa seringnya amat bergantung kepada pendera. Pemberian wang kepada setiap individu membantu mereka yang dipasung oleh katakan; suami yang jahat, untuk menjadi merdeka dan menolong sang isteri keluar dari hempukan keiblisan.
Penasihat ekonomi kepada Presiden Badang seterusnya menghuraikan, “UBI boleh menjuarai penyelesaian kepada masalah kemiskinan melampau, satu pilihan kepada upah minimum untuk buruh, dan juga keselamatan untuk perubahan lanskap pekerjaan ekoran pandemik ini.”
“UBI akan memberdayakan rakyat kita untuk menjadi usahawan, mencambah bakat rakyat, membolehkan mereka mencari pekerjaan yang lebih baik dalam jangka masa panjang; atau untuk lebih relaks dalam hidup – jika itu pilihan mereka.
“Rakyat yang tenang dan tiada pergolakan memberikan kemakmuran untuk negara. Untuk puak kanan, ia juga satu yang diraikan kerana ia satu pembaikan kepada aspek kebajikan rakyat yang memang menjadi tanggungjawab pemerintah. Ia malah mengurangkan birokrasi dan korupsi apabila ada ahli politik yang sengaja menjadikan bakul makanan dan bantuan sebagai tebusan demi sokongan politik kepartian. Rakyat dimerdekakan dari menjadi hamba politikus khianat mahupun golongan feudal yang bermain makar.”
Presiden Badang angguk. Fikirannya melayang kepada beberapa negara atau kerajaan yang pernah menguji UBI ini.
Misalnya Alaska. Sejak 1982 ia memberikan setiap warganya cek tahunan oleh keuntungan industri minyak dan gas. Alaska memberikan 2,000 dollar seorang setiap tahun apabila harga minyak mentah tinggi, dan 1,000 dollar jika harga minyak rendah atau terganggu.
Pendek kata, nikmat hasil bumi tanahair dapat dirasai oleh semua. Ia dilakukan menerusi Alaska Permanent Fund, sebuah syarikat milik kerajaan yang beroleh pendapatan dari sumber minyak.
Presiden yang bijak itu juga pernah membaca betapa pada 2014 sehingga 2019 di Jerman, sebuah syarikat danaan awam Mein-Grundeinkommen memberikan pendapatan asas untuk 500 orang. Mereka diberi 1,100 Euro setiap bulan selama setahun. Ternyata 500 orang itu menggunakannya untuk menyambung pengajian dan pendidikan.
Oleh fikiran yang lebih damai, risiko masalah jiwa dalam kalangan masyarakat juga menurun selain memberikan mereka motivasi dalam hidup.
UBI bukan sahaja dilaksanakan di Barat tetapi bahkan di Afrika. Agensi separa kerajaan di Kenya untuk sektor kebajikan negara itu, bernama GiveDirectly, memberikan lebih 20,000 warga dari 245 buah kampung pedalaman sejumlah wang. Sejak 2016, mereka yang terpilih dalam kalangan orang dewasa diberi 75 sen sehari, secara bulanan selama 12 tahun.
Di Namibia pula antara 2008 dan 2009, mereka yang bawah usia 60 tahun di negeri Otjivero-Omitara menerima pendapatan asas 100 Namibian dollar setiap individu untuk setiap bulan. Mereka tidak ditanyai atau diberi sebarang syarat dan tidak diendahkan status sosio-ekonomi masing-masing. Dana itu datang dari golongan lebih berada dan penaja dermawan.
Di negara-negara Afrika tersebut, kesan positif UBI sangat ketara. Malnutrisi misalnya jatuh berguguran, kemasukan ke sekolah dan institusi pendidikan naik bercanakan. Paling penting jenayah ekoran dari kemelaratan hidup seperti ragut, dan pencurian di jalanan berkurangan secara signifikan.
Ia malah memberikan kehidupan kepada gelandangan, anak yatim, dan pekerja seks. Masalah sosial segera pulih.
Penasihat ekonomi memandang presiden Republik Hujung Manani, “Ini adalah dunia penuh makmur yang ingin dicapai oleh Imam Mahdi satu masa nanti, di mana rakyat biasa mengecapi juga hasil mahsul kekayaan bumi dan bukan hanya dibolot oleh sebilangan kumpulan terdiri daripada mereka yang bangsawan atau borjuis.”
Penasihat terus menyambung, “Selain UBI tersebut, negara kita boleh pergi setapak lebih. Kita laksanakan UBA atau ‘Universal Basic Assets’. Kita berdayakan rakyat bukan sahaja dengan wang tunai, tetapi dengan aset.”
“Apakah aset yang diperlukan setiap warga? Ia adalah keselamatan kewangan, kediaman, kesihatan, dan pendidikan. Maka selain wang, kita juga boleh memberikan warga kita tanah dan rumah. Itu aset peribadi.
“Kita juga bangunkan aset awam untuk warga dengan meneguhkan prasarana dan khidmat dalam sektor pendidikan, kesihatan serta utiliti awam; akhir sekali kita sediakan aset digital yang terbuka dan dapat dicipta, diteguhkan, dimanfaatkan oleh semua sepertinya laman Wikipedia.”
Cadangan penasihat ekonomi itu bukan baru kerana ada dikemukakan oleh Marina Gorbis, dari Institute for the Future.
Ia tidak mustahil dilakukan jika negara memiliki negarawan, dan bukan pengkhianat. Ia bukan idea utopia.
Presiden Badang menitiskan air mata, “Kamu penasihat yang baik. Syukur saya mempunyai penasihat yang nalurinya bukan merompak atau bernafsu materi yang buas.”
Sebagai presiden Republik Hujunga Manani, dia mahu melakukannya, yakni melaksanakan UBI. Dia mahu berucap ke seluruh negara menerusi televisyen. Sebagai ketua negara, beliau seorang abah, atau seorang tok ayah. Dia bertanggungjawab kepada semua tanpa mengira bangsa dan keturunan, mahupun kepercayaan.
Sebagai pemimpin, doa tidak memadai. Dia memerlukan lebih dari itu. Dia memerlukan tekad dan nekad.
Presiden Badang akan melakukannya. Meskipun beliau seorang presiden yang bukan beragama Islam, dan rakyatnya lebih ramai Islam. Kerana ya, kepercayaan apa pun landasannya tetap sama iaitu redha Tuhan sangat mustahak untuk hidup berjaya di akhirat kelak.
Ucapannya akan berbunyi; “Penyelesaian Nestapa Ekonomi Ekoran Pandemik Covid-19: Berikan Wang dan Aset Kepada Rakyat Tanpa Syarat.”
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.