Bagaimana Salafi naik ke langit?

Bagaimana Salafi naik ke langit?

Nyatalah, kepekatan suhu Islam hari ini bukan sangat terjadi kerana Syiahisme atau Revolusi Islam Iran.

Sudah menjadi satu kebiasaan kita mendengar hujah kebangkitan Islam di Malaysia pada 1980-an terjadi kerana pengaruh Revolusi Islam Iran pada 1979.

Antara mereka yang menjaja naratif lemah ini adalah Jomo Kwame Sundaram dan Ahmad Shabery Cheek dalam kertas mereka pada 1988 yang berjudul “The Politics of Malaysia’s Islamic Resurgence”.

Mereka melihat sedikit sebanyak bagaimana revolusi tersebut mencipta keghairahan terhadap babak “political Islam” di Malaysia.

Kekeliruan yang sama terjadi dalam kalangan ahli politik, termasuklah Liew Chin Tong yang menulis pada 2015 untuk Malaysiakini sebuah nota bertajuk “The evolution of political Islam in Malaysia”.

Beliau turut menyalahkan kebangkitan Islam di Malaysia kepada Revolusi Islam Iran; “The Iranian Revolution in 1979 inspired Muslims around the world to put their faith in using radical means to obtain victory”.

Tiada seorang antara mereka, atau antara kita yang bertanya jika benar Revolusi Islam Iran pada 1979 memainkan peranan penting dalam kebangkitan Islam, mengapakah pula mazhab Syiah ditolak dengan ganas sejak 1980-an lagi? Mengapa misalnya umat Islam terbanyak di negara ini tidak berasa terhutang budi kepada gerakan Syiah?

Ini kerana apa yang terjadi di Iran itu tidak dapat diaplikasikan pun di dunia Islam kita. Apa yang berlaku di Iran itu adalah satu babak dalam perkembangan mazhab Syiah dan tiada kena-mengena dengan kita yang Sunni.

Untuk menyalahkan Syiah atau Iran adalah tidak waras. Bahkan jika kita benar-benar belajar dan cuba memahami Syiahisme, kita akan dapati mazhab ini memiliki kompleksiti yang tidak mungkin dicerna umat Islam negara ini yang coraknya begitu superfisial, berselera rendah, begitu transparen dan senang diperbodohkan.

Wacana dalam ajaran Syiah baik mengenai sistem marjaiyyat mereka atau pembangunan gagasan wilayatul faqih dan doktrin falsafah seperti hikmah mutaaliyah tidak mudah dimamah orang Sunni Malaysia.

Secara ringkasnya, jika Revolusi Islam Iran itu yang menjadi faktor kepada kebangkitan konservatisme di Malaysia pada 1980-an, kita tidak akan melihat kebencian melampau terhadap Syiah seperti hari ini, sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka diculik atau dihilangkan secara paksa tanpa belas kasihan.

Jika begitu, apakah puncanya umat Islam di Malaysia menjadi begitu konservatif secara tiba-tiba?

Saya berpandangan, pertamanya amalan Islam di negara ini menjadi ketat secara berperingkat dan tanpa disedari sejak 100 tahun lalu. Penginstitusian Islam pada 1917 dengan penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebagai contoh patut dilihat dengan lebih tekun.

William R Roff dalam “The Origin and Early Years of the Majlis Agama” memandang “Islam Kelantan” yang muncul oleh penubuhan majlis tersebut sangat cepat melenting dan melatah terhadap budaya luar dan gangguan sosial. Cara mereka menangani semua itu adalah mengetatkan hukuman atau undang-undang syariah.

Bukan saja “Islam Kelantan”, kita juga memiliki “Islam Perlis” yang sudah mendapat tenaga dan momentum di utara pada 1920-an apabila sekumpulan ulama Saudi hinggap di Perlis.

Mereka antara lain Sheikh Hassan dan Sheikh Nur al-Surur yang lebih dikenali sebagai Tuan Guru Ismail Muhammad. Sheikh Nur al-Surur berasal dari asuhan Wahhabi atau lebih tepat Dar al-Hadith di Madinah.

Pengaruh Wahhabi ini menyebabkan wujud dorongan untuk memusnahkan makam-makam wali terdahulu, seperti pusara Muhammad Salleh, Tok Sheikh Muda, Tok Lebai Salim dan Tok Jernih.

Keduanya, limpahan karya Qutb dan ikon Ikhwanul Muslimin yang lain telah diterima jauh sebelum 1979, tetapi tidak disedari ramai. Antara yang memperkenalkan “Qutbist Literature” ini adalah tokoh PAS yang mempunyai hubungan langsung dengan Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb pada 1940-an dan 1950-an.

Zulkifly Abdul Malek dalam sebuah tesis bertajuk “From Cairo To Kuala Lumpur: The Influence of The Egyptian Muslim Brotherhood on The Muslim Youth Movement Of Malaysia (Abim)” merungkai bagaimana Sheikh Taqiyuddin Qandil, setiausaha Ikhwanul Muslimin cawangan Kaherah melarikan diri ke Tanah Malaya dan menyebarkan idea Ikhwan di Kedah.

Salah seorang muridnya adalah bekas ketua Pemuda PAS, Jaiz Anwar. Bukan itu saja, anggota Ikhwanul Muslimin Syria turut melarikan diri ke Malaysia pada 1960-an dan ada yang sempat mengajar di Universiti Malaya seperti Nabil al-Tawil.

Manakala bekas presiden PAS seperti Zulkifli Muhammad (1963-1964) dan Yusof Rawa (1982-1988) turut belajar terus daripada tokoh Ikhwan.

Terdapat dakwaan misalnya pada 1940-an, Zulkifli yang sedang menuntut di Mesir, berusrah di ibu pejabat Ikhwan dan mengikuti kuliah Hadith al-Thulatha yang disampaikan Hassan dan setelah kematiannya pada 1949, kuliah-kuliah ini disampaikan pula oleh Sayyid.

Idea-idea dalam kuliah inilah yang menjadi asas kepada tafsir Fi Zilal al-Quran yang mana Qutb menolak sekularisme dan ideologi seperti nasionalisme, sosialisme dan kapitalisme dengan melabelkan semua itu sebagai ideologi sesat.

Penting untuk difahami yang gagasan Qutb ini kemudian bertemu titiknya dengan Wahhabisme apabila kebanyakan anggota Ikhwanul Muslimin melarikan diri ke Arab Saudi dan menjadi ahli akademik atau guru di negara tersebut.

Ketiganya, semarak konservatisme Islam di Malaysia dibakar oleh wacana mengenai hudud. Kita masih ingat bagaimana hasil kajian oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM pada 2012 mendapati 62 peratus umat Islam tempatan menyokong idea pelaksanaan hudud.

Siapakah yang mempelopori idea untuk menegakkan hudud?

Ia mula diperkenalkan dengan gigih oleh Haron Din pada 1970-an yang berpengaruh dalam bidang pendidikan. Beliau juga tersohor di sebalik latar kebangkitan Islam dan kuliah-kuliah dakwah. Beliau menamakan hudud sebagai “ubat kepada jenayah”.

Pada April 1978, Haron dalam sebuah seminar (pembentangan itu kemudian diterbitkan Dewan Masyarakat pada 15 Julai 1978) menyatakan secara keras mereka yang menolak hudud adalah musuh Islam dan mengabaikan hudud meletakkan umat Islam dalam keadaan berdosa:

Hukum hudud tidak mendapat tempat dalam undang-undang negara ataupun undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di Malaysia. Mereka menuduh hukum hudud ini sebagai mundur, balik ke belakang, kejam, tidak sesuai dengan zaman dan lain-lain lagi, termasuk ulasan lucu dan lukisan karikatur yang motifnya semata-mata untuk menggagalkan cita-cita pelaksanaan hukum ini. Semua ini sebagai fitnah besar yang mesti dikutuk sebab mereka yang terlibat merupakan orang jahil yang diperalatkan musuh Islam untuk menghina Islam.

Sekiranya hukum hudud ini tidak dapat dijalankan sepenuhnya mengikut kehendak Allah, maka umat Islamlah yang akan menanggung dosa khususnya para pemerintah dan ulama yang mengetahui dan bertanggungjawab terhadap umat Islam di negara ini.

Seruan Haron di atas berlaku setahun sebelum Revolusi Islam. Barang diingat revolusi tersebut lebih mengenai nekad rakyat Iran menolak amalan rasuah Dinasti Shah dan hasrat memerangi imperialisme Barat.

Revolusi Islam Iran bukan mengenai hudud sangat. Jikapun niat Ayatollah Khomeini sebagai tokoh revolusi itu adalah negara Islam, ia tidak harus membuatkan umat Islam di sini pula perasan.

Bahkan tidak logik jika dihujahkan Malaysia yang agak dominan dengan Sunnisme tiba-tiba ingin mengadoptasi kerangka dan hasil Revolusi Islam Iran yang pekat Syiahnya.

Malah, falsafah di sebalik revolusi itu sendiri adalah perjuangan Saidina Hussein di Karbala, sedangkan orang Islam di Malaysia sekadar mengenali Hussein sebagai cucu Nabi Muhammad yang tatkala anak-anak suka mengacau Rasulullah ketika sembahyang. Sunni Malaysia jahil mengenai keluarga nabi, jadi terdapat perbezaan ketara.

Seruan Haron sejajar atau disahut hangat ramai tokoh Islam di Malaysia pada waktu itu. Antara lain bekas hakim Mahkamah Tinggi dan bekas setiausaha agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Syed Agil Syed Hassan Barakbah mencadangkan proses menaik taraf undang-undang syariah setara dengan undang-undang sivil:

Saya syorkan sebagai langkah pertama untuk sementara waktu supaya kerajaan persekutuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah supaya seimbang dengan kuasa yang diberikan kepada hakim Mahkamah Tengah (untuk kadi besar) dan Majistret Kelas I (untuk kadi-kadi). Sekiranya berjaya, maka bukanlah saja bidang kuasa hukum Mahkamah Syariah seimbang dengan bidang kuasa Mahkamah Sesyen dan Majistret, bahkan memasuki hukuman sebat juga.

Sementara Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah, Sheikh Abdul Majid memandang orang bukan Islam di Malaysia bukan satu masalah di negara ini. Cukup satu gerakan penerangan yang baik, golongan bukan Islam pasti akan menerima. Pandangan simplistik dan enteng sebegini adalah perangai sebahagian besar umat Islam hari ini:

Orang-orang bukan Islam pun, saya rasa jika diberi fahaman yang betul akan dapat menerima konsep undang-undang Islam ini, setidak-tidaknya mereka tidak menentang. Setakat ini, sebenarnya banyak orang termasuk orang Islam sendiri yang tersalah faham.

Nyatalah, kepekatan suhu Islam hari ini bukan sangat terjadi kerana Syiahisme atau Revolusi Islam Iran.

Sangkaan bahawa konservatisme dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia terjadi kerana revolusi mengakibatkan pihak berkuasa waktu itu memantau pergerakan komuniti Syiah dan mula menekan mereka.

Tokoh-tokoh Syiah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala aktivis Wahhabi diizinkan melela. Pada 1980-an, kita tertipu dengan gerakan Wahhabisme.

Oleh sebab kita gagal mengenal punca masalah sebenar, maka kita pun mengawal pihak yang tiada kena-mengena. Kecuaian ini mengakibatkan petaka besar hari ini, iaitu berlakunya salafisasi undang-undang Islam atau iklim keagamaan di negara kita.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.