Cawangan Khas tak siasat dakwaan kaitan Syiah Amri, mahkamah diberitahu

Cawangan Khas tak siasat dakwaan kaitan Syiah Amri, mahkamah diberitahu

Bekas penolong pengarah Cawangan Khas, Awaludin Jadid turut menafikan pegawai bertindak atas arahannya untuk 'menculik' aktivis Amri Che Mat lapan tahun lalu.

Norhayati Ariffin menyaman kerajaan, polis dan beberapa pihak lain atas kehilangan suaminya Amri Che Mat pada 2016.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bahagiannya tidak ditugaskan untuk menyiasat dakwaan kaitan dengan Syiah aktivis hilang, Amri Che Mat.

Awaludin Jadid, yang sebelum ini mengetuai bahagian pelampau sosial Cawangan Khas, berkata unitnya hanya ditugaskan untuk “memantau, mengumpul dan menyebarkan” maklumat risikan berhubung aktiviti ekstremisme dalam negara kepada agensi berkaitan.

Beliau berkata tiada seorang pun pegawai di bahagiannya, yang dikenali E2, menyertai operasi penahanan.

“Saya tidak terima maklumat khusus mengenai Amri daripada (pegawai polis) Razman Ramli, hanya maklumat keselamatan am di Perlis,” kata Awaludin dalam keterangannya.

Beliau memberi keterangan dalam saman difailkan isteri Amri, Norhayati Ariffin, terhadap polis, kerajaan dan beberapa pihak lain, termasuk dirinya berhubung siasatan pihak berkuasa ke atas kehilangan Amri.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, bekas menteri dalam negeri Zahid Hamidi dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar serta Fuzi Harun.

Norhayati mendakwa pihak berkuasa melanggar undang-undang dan kewajipan berkanun mereka, salah laku dalam jawatan awam dan kecuaian menjalankan siasatan.

Awaludin turut menafikan pegawai Cawangan Khas bertindak atas arahannya untuk “menculik” Amri lapan tahun lalu.

Pemeriksaan balas peguam Norhayati, Surendra Ananth mengenai asas polis mengkategorikan ajaran Syiah sebagai “melampau”, Awaludin berkata ia dilakukan pengarah Cawangan Khas, yang enggan dinamakannya.

“Ia termasuk dalam piagam (Cawangan Khas). Piagam itu menjelaskan maksud ‘ekstremisme’ dan membahagikan tugas kepada setiap bahagian (berkaitan cara ekstremisme dikendalikan).

“Kami turut melihat contoh (beberapa) jabatan agama negeri lain yang mengatakan (ajaran) Syiah tidak boleh disebarkan.”

Mengenai keterangannya sebelum ini dalam inkuiri Suhakam di mana beliau berkata “penyebaran ajaran Syiah boleh membawa kepada ancaman keselamatan negara”, Awaludin berkata polis ketika itu memantau ajaran dari negara lain dan fatwa dikeluarkan beberapa negeri yang mengharamkan mazhab berkenaan.

“Nota prosiding (yang diambil semasa inkuiri Suhakam) tidak adil kepada kami (polis). Tiada seorang pun dari AGC (Jabatan Peguam Negara) mempertahankan kami. (Mereka) sepatutnya menjadi peguam kami.”

Amri meninggalkan rumahnya di Kangar kira-kira 11.30 malam 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di tapak pembinaan Sekolah Sukan Bukit Cabang awal pagi keesokannya.

Suhakam mengadakan inkuiri awam mengenai kehilangannya antara 2017 dan 2019. Pada 2021, inkuiri itu menyimpulkan Amri adalah mangsa kehilangan paksa oleh kerajaan, khasnya Cawangan Khas.

Perbicaraan di depan Hakim Su Tiang Joo bersambung 13 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.