
Oleh Azeem Abu Bakar
Kelmarin, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesyorkan kajian semula dasar automotif negara. Beliau bercadang untuk memperkenalkan kembali polisi mengekang kemasukan kereta import demi memperkasa Proton dan industri automobil tempatan.
Ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia akan meningkatkan harga kereta di negara ini.
Sebenarnya, kita perlu faham ini bukan soal menyelamatkan Proton semata-mata, tetapi mengembangkan sektor perindustrian berat berteknologi tinggi, di mana Malaysia jauh ketinggalan walaupun berhasrat mencapai negara maju menjelang 2020.
Pendapatan per kapita negara hari ini sekitar AS$9,766 setahun. Kita perlu mengecapi pendapatan per kapita sekurang-kurangnya AS$25,000 untuk diiktiraf sebagai negara berpendapatan tinggi dengan selesa dan setaraf negara maju yang lain.
Namun, agak sukar untuk kita sampai ke tahap itu, selagi industri teknologi tinggi kita tidak berkembang dengan pesat.
Jika dibandingkan Korea Selatan yang mencapai kemerdekaan 9 tahun lebih awal daripada Malaysia pada 1948, pendapatan per kapitanya hari ini sebanyak AS$35,000 dan sudah dinobatkan negara maju.
Hal ini kerana negara tersebut mempunyai banyak syarikat gergasi berteknologi tinggi seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia yang menjadi pemacu kemajuan ekonomi negara mereka.
Jika kita kaji sebahagian besar negara maju di dunia seperti Jerman, Perancis, Amerika Syarikat dan Korea Selatan, terdapat satu persamaan di antara mereka, iaitu sektor perindustrian berteknologi tinggi yang pesat.
Industri-industri ini mampu meningkatkan produktiviti sesebuah negara dengan ketara, di mana rantaian bekalan, daripada pengeluar sehingga pengguna sangat luas. Setiap peringkat dalam rantaian bekalan ini mempunyai nilai tambah yang boleh ditawarkan beribu-ribu industri kecil.
Sebagai contoh, sebuah industri automobil dari peringkat pengeluaran, memerlukan kontraktor perkilangan, barang kilang, seterusnya komponen enjin, komponen pintu, tayar, rekaan dalaman dan bermacam-macam lagi.
Terdapat berpuluh-puluh ribu komponen di dalam sebuah kereta, sekaligus membuka peluang kepada beribu-ribu industri kecil.
Secara langsung juga, sektor perkhidmatan turut dapat berkembang untuk memberi sokongan dari segi perundangan, kewangan, rekaan dan bermacam-macam lagi.
Ini baru sektor automobil. Bayangkan sekiranya negara kita mempunyai sektor-sektor lain seperti komputer, kenderaan berat, barang elektronik dan lain-lain.
Semua ini membuka jaringan rantaian bekalan yang sangat luas dan mencipta puluhan, malahan ratusan ribu peluang pekerjaan mahir berpendapatan tinggi!
Namun, di Malaysia, satu-satunya industri berat buatan Malaysia yang kita ada adalah Proton. Kebanyakan barang elektronik, mesin berteknologi tinggi, komputer dan telefon pintar masih diimport.
Inilah sebabnya kita terlepas peluang untuk membina sumber ekonomi yang boleh menjana pendapatan tinggi.
Suatu ketika dahulu, Malaysia pernah melalui revolusi perindustrian di era 1980-an hingga awal 2000.
Bagaimanapun, bermula pertengahan 2000, Malaysia beralih semula kepada sektor pertanian di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala di bawah Datuk Seri Najib Razak, sektor perkhidmatan yang mendapat penekanan.
Dasar automobil nasional mula dilonggarkan dan telah mengakibatkan penguncupan industri berat negara. Ya, memang Malaysia ada menjalankan pemasangan kereta import, namun tidak sama dengan Proton, di mana kereta dibuat oleh anak tempatan dari peringkat rekaan, pembinaan enjin, hingga ke peringkat jualan.
Jadi, apakah yang perlu dilakukan Malaysia untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi?
Pertama, kita perlu mengembalikan penekanan terhadap pendidikan Sains dan Matematik. Para pelajar perlu diberikan dorongan supaya menceburi bidang kejuruteraan, khususnya.
Dana kajian di universiti perlu ditingkatkan, di mana keutamaan diberikan kepada bidang teknologi tinggi, bukannya bidang psudo sains atau ghaib seperti alat pengesan jin yang dilakukan di Universiti Malaysia Kelantan dan kit menghalau makhluk halus oleh Universiti Malaysia Pahang.
Bukan sahaja kajian-kajian seperti ini suatu penipuan, malah ianya membazir lagi memalukan negara.
Ke-2, kerajaan perlu memperkenalkan polisi perindustrian menyeluruh dan bukan mengkhususkan sektor automotif sahaja. Sumber dan sokongan perlu diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk mengembangkan teknologi penghasilan mereka.
Selain itu, kerajaan perlu menarik lebih ramai pelabur asing untuk bertapak di Malaysia bagi menghasilkan jentera, mesin, automobil dan barangan elektronik berteknologi tinggi.
Sebagai contoh Airbus, syarikat pembuatan pesawat gergasi Eropah baru-baru ini telah bersetuju mempertimbangkan pembukaan kilang pemasangan kapal terbang di Negeri Sembilan. Perlu ada lebih banyak lagi inisiatif seperti ini.
Ke-3, untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat-syarikat tempatan bertaraf antarabangsa dalam industri berat teknologi tinggi.
Justeru, kita perlu memberi peluang dan dorongan kepada anak tempatan untuk berkecimpung dalam bidang industri berat berteknologi tinggi, walaupun ini bermaksud kita terpaksa mengetatkan syarat kemasukan produk berteknologi import.
Kita harus menyokong sebarang inisiatif untuk memperkasa industri tempatan kerana kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kita terperangkap di peringkat negara berpendapatan sederhana.
Pilihan di tangan kita, sama ada kita secara serius mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi atau tidak.
Azeem Abu Bakar adalah ahli pengasas Organisation for National Empowerment (ONE).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.