‘Napoleon kecil’ masih belum dipancung kepala

‘Napoleon kecil’ masih belum dipancung kepala

Kerajaan PH tidak akan dapat menonjolkan reformasi dan perubahan yang mereka inginkan selagi tidak turut mencantas kepala 'Napoleon Kecil' di peringkat bawah.

Saya masih ingat, dalam tahun 2006, waktu itu saya belum menyertai perkhidmatan awam, terdapat satu ucapan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menarik perhatian. Beliau berbicara mengenai “Napoleon Kecil”.

Istilah “Napoleon Kecil” satu ungkapan mengejek dan mengeji yang bermaksud diktator kecil. Secara kesimpulannya ia bermakna “kuku besi di peringkat bawah”.

Menurut Pak Lah ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 14 April 2006, “Napoleon Kecil” ini tidak boleh ditegur, cenderung menghukum dengan niat untuk “kononnya memberi pengajaran kepada staf bawahnya” dan mengkesampingkan atau teguran dan aduan orang ramai.

Pak Lah seterusnya menegaskan, tiada siapa yang tidak boleh ditegur hatta diri beliau sendiri.

Ucapan Pak Lah itu seperti berikut: “Tak perlulah tunjuk kuasa dengan melengah-lengahkan sesuatu. Ada yang tahan fail, ada yang tahan keputusan. Kita tak nak ada ‘little Napoleon’ dalam perkhidmatan awam, yang menunjukkan kuasa umpamanya, hanya sebagai satu pengajaran kepada seseorang. Jangan apabila ada orang tegur kita, kita anggap orang itu banyak cakap dan kita perlu ajar dia dengan tunjuk kuasa kita pula. Jangan ada orang yang tidak boleh ditegur. Saya sendiri pun perlu ditegur.”

Dr Goh Ban Lee, felo di Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (SERI) yang kurang bersetuju dengan terma ini digunakan untuk memburukkan penjawat awam, bagaimanapun tetap menghuraikan maksud “Napoleon Kecil”.

Menurut beliau ia memberi gambaran kepada bos peringkat bawah yang “tidak efektif, pembuli, sukar bekerjasama dan berperangai buruk”.

Masalah dengan “Napoleon Kecil” ini ialah ia bukan sahaja satu peribahasa yang muncul di Barat, tetapi di tempat kita; ia sangat berakar umbi. Dalam kerangka akal badi Melayu (iaitu perangai Melayu yang buruk), “Napoleon Kecil” ini bukan sahaja tidak dikecam oleh pemimpin atas. Sebaliknya pemimpin bawah yang semberono, dan pembuli ini disanjung dan diberi perhatian malah diangkat pula pangkatnya.

Bendahara paling masyhur dalam Kesultanan Melayu Melaka, Tun Perak dipilih menjawat kedudukan perdana menteri setelah secara sengaja mengujakan Raja dengan tidak mengendahkan kritikan, rungutan dan permintaan orang awam.

Dalam konteks ini rungutan itu datang dari seorang Orang Asli di Kelang. Bukan sahaja ia dilayani, sebaliknya ia dipermainkan. Apabila lelaki itu mengadukan hal kepada Raja, bukannya Raja mengambil tahu rintihan rakyat, sebaliknya Tun Perak dilihat sebagai “cekap” dan “bagus”.

Penolakan dan tidak endahnya Tun Perak terhadap aduan awam itu dilihat sebagai kualiti setia yang boleh melindungi Raja dari sebarang kritikan kelak.

Dalam Sejarah Melayu, dinukilkan insiden itu begini: “Akan tuan hamba dijadikan duli Yang Dipertuan bentara, dianugerahi pedang sebilah itu juga tuan hamba peliharakan; baik-baik asami jangan diberi makan karat; akan pekerjaan kami orang memegang negeri di mana tuan hamba tahu. Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya; baik juga pada kami maka kami kerjakan, kerana duli Yang Dipertuan tahu akan baiknya juga pada kami, tiada tahu akan jahatnya; tetapi jikalau duli Yang Dipertuan akan membicarakan hamba dengan dia, pecatlah hamba dahulu, maka bicarakanlah hamba dengan dia. Jikalau hamba belum dipecat, bagaimana hamba dibicarakan dengan sakai hamba?”

Rungutan orang awam mengenai penganiayaan Tun Perak tersebut bukan sahaja tidak disiasat, malah Tun Perak mencabar supaya dirinya dipecat.

Sebagai hadiah kepada ketegasan Tun Perak menafikan hak “sakai” tersebut, beliau telah dinaikkan pangkat dan menjawat kedudukan sebagai Bendahara. Dalam erti kata lain budaya mengancam oleh “Napoleon Kecil” sudah berakar umbi.

‘Pemancungan kepala’

Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada pagi 10 Mei lalu menjanjikan satu perubahan dan reformasi besar untuk rakyat, dan orang awam. Perdana menteri malah menjanjikan betapa ramainya orang atas yang akan menerima iktibar kerana kelakuan mereka selama ini. Beliau menggunakan istilah “heads will roll”.

Namun demikian, pemancungan kepala di peringkat atas sebagai janji reformasi ini tidak banyak memberi kesan kepada orang bawah, atau orang awam secara langsung dan segera. Mengapa?

Ini kerana, gergasi, atau “Napoleon Kecil” di peringkat bawah, seperti pengarah atau bos tertentu di peringkat jabatan, institut, pejabat dan agensi sedia ada masih berkuasa.

Mereka malah kadangkala bertukar kulit dengan segera, dari bukan penyokong Pakatan Harapan (PH), kini mereka tiba-tiba adalah sebahagian daripada Ashabul Doyok. Staf bawah yang ketahuan berasa meluat dan jijik tetapi mereka tidak dapat bersuara, menegur, mengadu kerana laluan dan jalan tidak ada.

Oleh sebab itu mereka merasakan sesak nafas, sesal, kecewa, dan tidak berpuas hati lantaran reformasi yang diharap dan dijanjikan tidak tiba ke bawah.

Hal ini bukan main-main kerana orang awam atau staf bawah lebih terkesan dengan segera dengan tingkah laku “Napoleon Kecil” berbanding ketua-ketua pengarah yang mengalami pemancungan kepala. Bahkan buat mereka, kepala orang atas yang berguliran itu tidak ada apa-apa erti jika kepala bos mereka sendiri tidak ikut terkulai.

Salah satu budaya aneh dalam kalangan penjawat awam melibatkan “Napoleon Kecil” ini ialah mereka sering menggunakan aplikasi media sosial untuk menggunjing staf bawah.
Sekali lagi pada 2006, Pak Lah sudah pun menamakan kepelikan ini. Pada waktu itu, aplikasi yang ada belum secanggih hari ini dengan aplikasi Telegram atau Whatssap. beliau menegur penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang beliau gambarkan sebagai “alat paling banyak disalahgunakan” di Malaysia, khusus oleh para “Napoleon Kecil” di pejabat-pejabat kerajaan.

Pada 2016, Senator Datuk Mariany Mohammad Yit pernah menyebut dalam Dewan Negara mengenai rungutan kelompok penjawat awam yang tertekan ekoran penggunaan aplikasi sosial oleh “Napoleon Kecil”. Beliau turut menegur berleluasanya penggunaan aplikasi media sosial seperti grup WhatsApp sebagai saluran komunikasi di jabatan kerajaan yang menjejaskan kualiti masa bersama keluarga.

Kerajaan PH tidak akan dapat menonjolkan reformasi dan perubahan yang mereka inginkan selagi “pemancungan kepala” ini tidak turut mencantas kepala “Napoleon Kecil” di peringkat bawah.

Orang bawah yang dibuli oleh “Napoleon Kecil” ini terus dilemaskan dan tidak dapat bergerak untuk membantu perubahan. Pemimpin PH di atas pula perasan reformasi dan perubahan yang mereka janjikan sudah berlaku kerana di peringkat atas memang sudah banyak kepala bergolekan.

Malang, budaya Tun Perak menolak aduan sakai akan kekal berterusan. “Napoleon Kecil” akan terus menjadi gergasi dan berkuku besi untuk beberapa tahun lagi. Tiada masalah dapat diselesaikan. Tiada perubahan dimajukan. Tiada pergerakan berlaku dan terjadi.

Hari ini kita melihat “Napoleon Kecil” sedang tertawa besar di bilik-bilik mereka yang berpenghawa dingin dan suara tawa itu tersebar merata-rata menggigit rasa dan jiwa para staf bawah.

Semuanya akan seperti dulu. Sementara keresahan, kesedihan dan kemarahan terkumpul di bawah meledak kembali. Mungkin ketika itu perasaan menggelegak yang melahar di bawah akan disedari. Harapnya detik itu belum terlewat.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.