
Salah satu ungkapan yang sering dimajukan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah, “Anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, anak Dayak anak kita, anak Kadazan anak kita.”
Tentu, ia boleh dilihat sebagai slogan politik. Barangkali benar, ia memang melambangkan keluhuran beliau – Anwar – bahawa Malaysia memang sedang memilih untuk memberi kesetaraan kepada semua kaum. Bahawa, kita semua secara politiknya adalah anak nusa bangsa Malaysia. Bahawa identiti Melayu, Cina, India, Dayak, dan Kadazan itu adalah identiti kebudayaan dan tidak harus ada yang saling mengatasi.
Akan tetapi ungkapan itu, sekiranya direnung di keliling kita tidak memberi apa-apa erti (lagi atau belum lagi).
Di sekolah kebangsaan, anak Cina sudah tidak begitu kelihatan. Di waktu saya bersekolah rendah dalam tahun 1980an, kawan-kawan sepermainan saya adalah anak-anak Cina dan India, serta ada juga Singh.
Jika kita melemparkan pandangan ke sekeliling, kita juga mendapati ungkapan ini jika ditukarkan kepada identiti keagamaan, sebagai “Yang Islam anak kita, Yang Buddha anak kita, Yang Hindu anak kita, Yang Kristian anak kita, Yang Syiah anak kita”, akan cepat mengundang kejengkelan dan kecaman.
Ungkapan ini akan dianggap pluralisme agama, atau lebih tergesa dituduh menyamakan semua agama. Lemparan perkataan sesat, terpesong dan kafir berkesiuran sesama kita.
Padahal dalam tahun-tahun 1980an, ketika saya masih bersekolah rendah, saya masih ingat kawan sedarjah yang duduk di belakang saya itu beragama Bahai dan seorang teman lain di kelas lebih tinggi adalah penganut Syiah Bohra. Itu kami ketahui kerana dia sendiri mengaku dan selalu terserempakkan bapanya yang berkopiah Kufi. Sementara ibunya yang datang mengambil kad laporan markah sering mengenakan Rida (telekung bersulam cantik).
Hari ini penganut Bahai mungkin sangat kurang diketahui umum, sementara anak-anak penganut Syiah baik Bohra atau Imamiyah mengalami penderaan mental yang hebat.
Mana tidaknya, silibus dalam sistem pendidikan menyatakan Islam versi Malaysia sahaja yang benar selurus-lurusnya. Sementara anak-anak Kristian dan Hindu mengikut peredaran musim sering dilihat sebagai ancaman.
Malaysia baru?
Benarkah kita akan membina Malaysia baru selepas 9 Mei? Apakah kita menjatuhkan Barisan Nasional (BN) semata-mata kerana kita menyampah Rosmah, atau sakithatikan GST, atau geramkan ketidakpedulian Khairy Jamaludin dan kesemberonoan Ahmad Maslan?
Adakah amuk 9 Mei sehingga menerbitkan “revolusi aman” itu kita lakukan semata-mata kerana satu dua isu yang kurang fundamental? Bahawa kita mengundi “mata” kerana kita ingin melihat beg tangan Birkin disorong keluar masuk dari Black Maria?
Adakah “show” itu yang kita “bayar” pada 9 Mei lalu?
Apakah Jawatankuasa Reformasi Institusi yang dibentuk 2 hari lalu, antara lain dianggotai KC Vohrah (bekas hakim Mahkamah Rayuan) dan Mah Weng Kwai (bekas hakim mahkamah rayuan dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) akan menimbangkan betapa untuk mengembalikan anak Cina ke sekolah, dan menjamin anak Kristian dan Ahmadi di sekolah kebangsaan memerlukan keberanian yang luar biasa.
Keluarbiasaan yang bagaimanakah yang diperlukan? Adakah akan ada magik yang menyatakan di dalam perlembagaan bahawa meskipun hak bumiputera dipelihara tetapi hak-hak anak Cina kita, anak India kita, anak Dayak kita, anak Kadazan kita, bahkan anak Orang Asli kita akan terjamin dengan peruntukan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berasa terpinggir lagi?
Itu belum lagi memasukkan anak-anak istimewa kerana kurang upaya pendengaran dan penglihatan.
Saya masih ingat ketika bersekolah di Jalan Dato Palembang, Melaka terdapat sebuah blok khas untuk anak-anak bisu pekak. Meskipun kami tidak pernah bermain bersama, kewujudan mereka dirasai sewaktu rehat dan mereka dibawa bergaul dengan kami pada waktu tertentu sehingga tidaklah terasa anak-anak itu terlalu asing.
Pupusnya Cina
Bagaimanakah pula kita mengharmonikan anak-anak berlainan agama seperti mana yang pernah saya kecapi saat bersekolah di dalam tahun 1980an itu?
Apakah yang mencabut anak Cina dari sekolah kita? Apakah yang mengakibatkan anak-anak lain agama dari agama Islam misalnya berasa terperuk?
Saya tahu apa puncanya. Ini pandangan saya. Ia bermula pada tahun 1997, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditubuhkan. Sewaktu itu saya sudah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan sedang di bawah seliaan Profesor Shahnon Ahmad di Universiti Sains Malaysia untuk Sarjana saya.
Dalam 10 tahun kemudian, antara 1998 ke tahun 2008, saya melihat kepupusan anak-anak Cina dari sekolah. Saya membaca wacana anti Kristian dan anti kepelbagaian di merata tempat.
Apabila masuk tahun 2010, anak Syiah mengalami pemomokan yang sangat dahsyat. Menjelang 2018, segala macam kerosakan telah pun terjadi. Jabatan agama, fakulti pengajian Islam, madrasah dan pusat tahfiz sedang diisi oleh mereka yang melihat Islam sebagai eksklusif, dan bahawa apa sahaja yang lain dari Islam kepercayaan mereka itu boleh dijenayahkan.
Saya tidak membantah pemerkasaan Islam, tetapi kita tidak boleh menekan yang lain dari yang kita imani dalam proses itu.
Dalam tahun 1997 sehingga 2018 itu juga kita melihat dana asing mencurah masuk untuk program agama. Wang Saudi berlipatkali ganda di negara ini. Wang ini harus dicurigai kerana Saudi itu sendiri ditubuhkan atas gagasan mencegah kemungkaran. Sebarang usaha mencegah kemungkaran ala Hanbali tidak sesuai di sini.
Dana asing, sekiranya ada, untuk acara keagamaan juga tidak boleh datang dari Iran untuk pengikut Syiah di sini. Demikian juga dana asing, sekiranya betul ada, untuk golongan Evangelis. Kita perlu mengekang semua dana luar atas nama agama.
Cukai yang dikenakan terhadap anak Cina, India, Dayak, dan Kadazan tidak wajar hanya dibelanjakan dalam bajet untuk penganut beragama Islam. Perlu ada perubahan agar rukun “Kepercayaan Kepada Tuhan” itu dipelihara dengan harmonisnya. Untuk itu, badan eksklusif seperti Jakim tidak boleh di atas yang lain. Sementara badan antara agama pula sekadar menjadi perhiasan.
Tiada kawan bangsa lain
Saya ingin kembali kepada tahun 1980an. Saya mahu anak-anak saya punya kawan-kawan pelbagai bangsa.
Hari ini, anak saya tidak ada teman seperti Chai Yin, Mark Teh, Alvin, Harjit atau Damien di sekolahnya. Sayang sekali dia tidak mengenal kebudayaan lain, dan hanya membacanya dari buku. Dia tidak punya teman yang datang ke rumah kami mengenakan telekung Rida seperti Sukainah.
Entah apa jadi kepada kawan bernama Sukainah itu, entah dia pernah ditahan oleh penguatkuasa agama semata-mata kerana membaca Sahifah Sajadiyyah. Mungkin dia sudah menjadi doktor pakar dan berhijrah ke Kanada kerana rimas dengan kegilaan Salafi dan kegiatannya di negara ini.
Antara 1997 dan 2018, anak-anak Melayu menjadi anak-anak yang tidak lagi bercampur. Ia ditokok dengan wacana-wacana konservatif yang diadoptasi oleh ibu-bapa mereka, iaitu mereka yang dulu bersekolah rendah dalam suasana seperti yang saya alami.
Apakah yang terisi 2 dekad itu sehingga Malaysia sebegini kesasar dan merapu?
Saya berpendapat kita perlu kembali kepada era sebelum 1997. Era ketika Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) berperanan seadanya. Inilah keluarbiasaan yang saya sebutkan di awal tadi.
Ini adalah persimpangan yang menuntut pilihan yang betul. 60 hari untuk membuat keputusan yang benar.
Kita tidak mahu rentetan ayat Anwar Ibrahim “Anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, anak Dayak anak kita, anak Kadazan anak kita” itu hanya sekadar satu lagi slogan ala 1Malaysia.
Ia langsung ditenggelami oleh seruan palsu seorang dua Salafi menyamar progresif, dan ucapan tahniah Yusuf al-Qaradawi. Padahal ulama yang sama ini dimanipulasi oleh Najib untuk sokongan massa dalam tahun 2011.
Bukan ini yang dipilih oleh anak Cina, anak India, anak Dayak, anak Kadazan atau barangkali anak Kristian, anak Hindu, anak Bohra, anak Orang Asli dan anak Kurang Upaya pada 9 Mei lalu. Demokrasi yang sihat adalah apabila golongan majoriti melindungi yang minoriti. Bukan menunggang apatah menindas mereka.
Buktikan kalian, pemimpin Pakatan yang dipilih oleh majoriti rakyat Malaysia pada 9 Mei lalu lebih baik daripada Azalina Othman Said, lebih baik daripada Bung Moktar Radin dan Khairy Jamaluddin.
Juga, saya mengucapkan selamat bersidang kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.