
Oleh Chandra Muzaffar
Di tengah keriuhan pilihan raya, ada dimensi tentang proses pilihan raya yang kritikal, tidak mendapat perhatian sewajarnya, baik dalam kalangan ahli politik mahupun rakyat umumnya, iaitu pembiayaan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Siapa membiayai Barisan Nasional (BN)? Siapa pula membiayai Pakatan Harapan? Dari mana PAS dapat dananya? Apakah lebih banyak syarikat perniagaan terlibat dalam membiayai pilihan raya berbanding rakyat secara individu? Apakah juga ada penglibatan unsur asing?
Hanya sedikit kita tahu tentang pembiayaan pilihan raya di Malaysia kerana undang-undang mengenainya tidak memadai.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang amalan rasuah dan menyeleweng semasa kempen pilihan raya serta menetapkan had perbelanjaan kempen bagi setiap calon, RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi negeri. Bagaimanapun, akta berkenaan tidak meliputi perbelanjaan parti politik sebagai sebuah entiti.
Parti politik yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1960 dikehendaki menyerahkan penyata kewangan yang diaudit kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, tetapi mereka tidak perlu mendedahkan sumber sumbangan diterima.
Kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam soal sumbangan derma dan pembiayaan politik secara menyeluruh, sejak bertahun ada syak wasangka tentang pengaruh wang dalam pilihan raya.
Sekiranya dasar awam condong memihak golongan atasan dalam masyarakat, adakah ia kerana syarikat besar menyumbang dana kepada parti politik tertentu?
Sekiranya keuntungan pemaju yang berhubungan baik dengan kerajaan kelihatan mengatasi kebajikan rakyat miskin atau kesejahteraan alam sekitar, adakah ia kerana dana mereka salurkan kepada parti politik dan ahli politik?
Sekiranya ahli politik tertentu meraih lebih sokongan berbanding lawannya dalam pemilihan parti, adakah kerana beliau membeli undi daripada ahli parti? Bukankah politik wang menjadikan sesetengah ahli politik terdedah kepada manipulasi entiti dan agensi asing yang memperjuangkan agenda mereka berbanding agenda negara?
Sejak tahun-tahun awal selepas merdeka, kesan buruk wang ke atas politik dan kuasa sudah dibangkitkan pelbagai kumpulan dan individu di Malaysia.
Pada 1950-an dan 1960-an, parti pembangkang seperti Parti Negara, Parti Rakyat Malaysia, Parti Buruh dan PAS mengkritik apa yang mereka anggap sebagai salah guna wang oleh Perikatan untuk menang pilihan raya dan kaitannya dengan perniagaan.
Sejak 1970-an dan seterusnya, parti seperti DAP, Pekemas, PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus-menerus mengecam BN atas dakwaan parti itu tunduk kepada kepentingan modal dan dana.
Tetapi, isu pembiayaan politik bukan keutamaan mereka. Hak dan kepentingan kaum, kebebasan politik, jurang ekonomi dan isu lain sebaliknya menjadi fokus mereka.
Pada 1970-an dan 1980-an, hanya terdapat sedikit kumpulan masyarakat awam dan cara parti politik membiayai gerakan mereka bukan antara keutamaan pertubuhan.
Tetapi, tidak bagi kumpulan reformasi sosial, Aliran Kesedaran Negara (Aliran) saya ketuai pada tahun-tahun itu yang cuba menanam kesedaran tentang hubung kait politik dan wang melalui kempen sederhana menyeru calon pada PRU 1978 mengisytihar harta kepada rakyat.
Hanya 2 pemimpin politik, seorang dari PAS dan seorang dari DAP, menyahut usaha itu dengan positif.
Beberapa tahun kemudian, saya dan 4 penggerak hak asasi manusia menubuhkan “Pemantau Pilihan Raya” yang cuba memantau perjalanan PRU 1990. Antara tumpuan adalah melihat bagaimana wang berperanan dalam pilihan raya.
Hari ini, kumpulan yang komited mendedahkan hubung kait wang dan politik sudah berkembang. Perkembangan ini ditambah pula dengan berleluasanya amalan politik wang yang meyakinkan pemerintah menangani isu ini dengan tuntas.
Pada 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan pembaharuan dalam sistem pembiayaan politik Malaysia. Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan yang antara lain mencadangkan kemungkinan dana awam diwujudkan bagi membiayai pilihan raya.
Laporan jawatankuasa itu diterima Parlimen pada 2012. Tiga tahun kemudian pada Ogos 2015, Jawatankuasa Perundingan Pembiayaan Politik dibentuk terdiri daripada wakil pelbagai sektor masyarakat dengan matlamat mengukuhkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti dalam pembiayaan politik.
Jawatankuasa itu mengemukakan beberapa cadangan pada Ogos 2016, termasuk usul menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA), yang mana akta itu akan memperkenalkan seorang pengawal untuk memantau sumbangan dan perbelanjaan “tanpa gentar atau memihak”.
Sebuah lembaga terdiri daripada “tokoh berwibawa dan dipercayai, dan tidak disertai ahli politik aktif” akan memantau pengawal. Selain itu, jawatan perunding mencadangkan Jawatankuasa Tetap Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan dan memeriksa tugas-tugas pengawal.
Ia hendaklah dipengerusikan seorang wakil pembangkang. Sebuah badan masyarakat sivil, G25, juga mengutarakan beberapa usul bernas bagi mengukuhkan ketelusan dan kebertanggungjawaban pembiayaan politik.
Selain menggubal Akta Parti Politik, ia mencadangkan had sumbangan dan perbelanjaan untuk melindungi autonomi dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya, menyediakan akses saksama ke atas dana awam bagi parti politik dan calon pilihan raya, serta mengawal pembiayaan politik oleh pihak swasta.
Menjelang PRU14, rakyat harus bentuk kumpulan masing-masing untuk membincangkan hal ini dan cadangan lain. Rakyat harus melakukan lebih daripada itu.
Sebagai pengundi, mereka wajar meminta semua calon Parlimen, tanpa mengira latar belakang parti, menyatakan secara bertulis adakah mereka bersedia untuk menyokong PDEA.
Tidak sukar untuk berhubung dengan calon di kawasan pilihan raya masing-masing. Dengan pelbagai wadah komunikasi, setiap pengundi atau kumpulan pengundi boleh bertanyakan soalan mudah tentang PDEA kepada calon yang mahu meraih sokongan mereka.
Kita sebagai pengundi dan rakyat mahu wakil rakyat dipilih meluluskan cadangan PDEA menjadi undang-undang kerana yakin ia berperanan besar dalam mengukuhkan akauntabiliti dan memastikan integriti menjadi ciri negara ini.
Dr Chandra Muzaffar ialah pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.