
Poligami menjadi isu panas yang tak sudah-sudah hanya kerana situasi ini menjadi idaman lelaki Melayu.
Satu langkah yang menimbulkan kemarahan kaum wanita ialah lelaki Islam tidak perlu mendapat keizinan isteri pertama sebelum mengambil isteri kedua.
Situasi ini memang teruk. tetapi apa yang menjadikannya lebih teruk lagi ialah agamawan seperti Kazim Elias yang dengan terang-benderang menyuruh si suami supaya “buat dulu, minta ampun kemudian”!
Amalan berpoligami dalam Islam sememangnya menjadi pengetahuan umum tetapi ia bukan unik kepada umat Islam sahaja.
Jika kita membaca kisah bangsa Cina yang berhijrah ke Malaysia lebih 100 tahun yang lampau, kita dapati lelaki Cina yang kaya-raya boleh berpoligami walaupun mereka memanggil isteri baru sebagai gundik.
Begitu juga dengan sesetengah mazhab Kristian di Amerika seperti golongan Mormon di Utah. Mereka sebenarnya melawan undang-undang sivil apabila berbuat demikian.
Di United Kingdom pula, orang Islam mengamalkan poligami tanpa pengiktirafan undang-undang. Banyak masalah yang timbul apabila hak isteri dituntut oleh wanita yang terlibat dan dipertikaikan pula oleh suami mereka. Akhirnya wanita dan anak-anak mereka menjadi “homeless” dan terpaksa dijaga kerajaan.
Sekarang pula, muncul pendekatan kepada poligami yang nampaknya lucu lagi tidak serius. Sebuah laman Facebook tertera “Kelab Ilmu Poligami (KIP) It Up” iaitu satu nama jolokan yang bermaksudkan “teruskan kerja itu”, atau mempunyai konotasi seksual juga.
Dalam grup ini, banyak dipaparkan nasihat-nasihat tentang alam perkahwinan yang bagus, dan juga profil wanita yang kononnya menggalakkan berpoligami. Jika kita melihat profil itu, ia tidak nampak asli jadi mungkin juga lelaki yang menyamar supaya wanita lain mendapat persepsi yang wanita suka kepada poligami.
Saya juga terserempak sebuah klip video ceramah Datuk Kazim Elias bertarikh 30 December 2017.
Dalam video itu, Kazim berdepan isu meminta kebenaran isteri untuk berkahwin seorang lagi. Apa yang mengejutkan ialah apa yang diberitahu oleh Kazim, iaitu “lebih mudah untuk minta ampun daripada minta izin”!
Kazim menyuruh orang melakukan poligami dan dan memberitahu isteri hanya selepas itu. Akibatnya, isteri tersebut akan tiada pilihan lain kecuali menerima saja takdirnya dan jika dia mahu bertaruh nasib di mahkamah syariah, akan cukup susah hidupnya!
Kenyataan ini tidak bertanggungjawab. Ramai orang Islam yang tidak mampu berfikir sendiri akan mengambil nasihat Kazim sebagai kebenaran. Dengan nasihat yang diberi Kazim, mungkin beratus atau beribu-ribu isteri dan anak akan dimangsakan.
Suami pula akan menyangka yang dia berbuat demikian di atas syariat islam padahal dia hanya menyebabkan azab sengsara kepada keluarga.
Inilah masalahnya apabila syariah dirumuskan kaum lelaki tanpa merujuk kepada wanita. Jika wanita turut serta merumuskan syariah, akan menjadi cukup susah bagi lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu.
Cuba kita teliti rang undang-undang di Selangor. Menurut laman web Majlis Agama Islam Selangor, kebenaran berpoligami daripada isteri yang sedia ada bukan satu syarat utama dalam meluluskan permohonan seseorang lelaki untuk berpoligami.
Walau bagaimanapun, berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 23 (3) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor No. 4/1984 (pin.) 1988, pihak suami perlu menyatakan sama ada beliau telah mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada atau sebaliknya untuk berpoligami.
Keizinan isteri bukan merupakan syarat utama? Ini amat mengejutkan kerana orang yang akan menerima kesan daripada poligami ialah isteri pertama.
Bagaimana agamawan kita boleh membuat rumusan ini?
Sepatutnya, jika isteri pertama menolak kemahuan suami, ia perlu dibatalkan. Mengapa saya berkata begitu? Kerana dialah orang yang akan menerima akibat tindakan suaminya itu.
Bukan itu sahaja, seorang isteri dikhianati. Tak ada suami yang akan buat pengakuan yang dia berniat untuk berkahwin ramai apabila dia mula bercinta dengan bakal isterinya dan tak ada wanita yang akan menerima lelaki seperti itu jika dia tahu.
Perbuatan begini adalah satu penipuan dan satu pengkhianatan kepada kontrak perkahwinan.
Umat Islam sering memetik potongan ayat daripada Surah An-Nisa, ayat 3, yang berbunyi “kahwinilah mereka, dua, tiga atau empat” tetapi lupa akan ayat selebihnya, di mana “mereka” ini adalah yatim (iaitu sebatang kara, tiada keluarga) dan juga, jika lelaki itu takut tidak mampu berlaku adil, kahwin hanya satu.
Berapa ramai lelaki Melayu Islam sekarang yang mengamalkn poligami dengan tujuan seperti dalam ayat ini dan berapa ramai mampu berlaku adil?
Mereka berkahwin hanya untuk memuaskan nafsu sebenarnya, bukan kerana memenuhi tanggungjawab sosial.
Sebenarnya, agamawan seperti Kazim yang bercakap secara jahil dan tidak mampu untuk memikirkan tentang akibat kata-katanya sendiri amatlah berbahaya kepada masyarakat. Dia pula diangkat sebagai ulama tersohor, maka fikirkanlah apa nasib Melayu Islam!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.