Kes Indira: Apakah Allah hanya adil kepada orang Islam?

Kes Indira: Apakah Allah hanya adil kepada orang Islam?

Bagaimanakah kita boleh mengharapkan keluarga Indira Gandhi untuk mempunyai perasaan positif terhadap Islam?

indira

Alhamdulillah, setelah hampir 10 tahun, Mahkamah Persekutuan memihak kepada Indira Gandhi.

Isnin lalu, mahkamah memutuskan bahawa perbuatan menukar agama oleh salah seorang ibu atau bapa tanpa persetujuan pasangan mereka, adalah tidak sah.

Keputusan ini, pada pendapat saya, walaupun mungkin tidak nampak begitu pada zahirnya, amatlah bertepatan dengan nilai Islam.

Mengapa saya berkata begitu?

Mari menyingkap kembali cerita Puan Indira. Dia seorang wanita Hindu yang berkahwin dengan lelaki Hindu, K. Pathmanaban dan beranak 3 pada 2009 (Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, 11 bulan).

Perkahwinan mereka tidak kekal dan mereka bercerai. Pathmanaban meninggalkan rumah mereka dengan anak bongsu, Prasana.

Selepas penceraian itu, barulah bekas suami Indira memeluk Islam dan mengambil nama Muhammad Riduan. Dia kemudiannya menukar agama anak mereka pada tahun itu juga. Dengan ini, dia melibatkan mahkamah syariah ke dalam konflik ini.

Oleh kerana anak mereka dikira sebagai orang Islam, maka keputusan hak penjagaan anak tertakluk kepada mereka kerana ia hal kekeluargaan. Seperti yang dijangkakan, mahkamah syariah telah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu kepada Pathmanaban.

Niat Pathmanaban

Di sini kita wajar bertanya, adakah Pathmanaban memeluk agama Islam supaya dapat melibatkan mahkamah syariah yang sememangnya telah berpihak kepada dirinya sendiri? Soalan ini tidak boleh diketahui jawapannya kerana niat Pathmanaban adalah perkara dalaman.

Mungkin niatnya baik, iaitu dia betul-betul beriman dan ingin melihat anak-anaknya berbuat sepertinya. Mungkin juga niatnya kurang baik iaitu menggunakan undang-undang Islam untuk kepentingannya sendiri.

Walau bagaimanapun, strategi yang dipakainya adalah salah. Dia tidak seharusnya menggunakan liuk-lentur undang-undang Malaysia sebegitu untuk mendapatkan keputusan yang berpihak kepadanya. Dengan berbuat demikian dia membawa implikasi negatif ke dalam kes ini.

Hampir 10 tahun kemudian, Prasana yang kini berusia 10 tahun masih belum menjelma. Bayangkan hati ibunya, Indira Gandhi yang tidak bersua muka dengan anak sendiri sudah sekian lama. Bolehkah kita menyalahkan Indira jika dia menyimpan perasaan negatif terhadap Islam?

Pada saya, saya tidak dapat menyalahkan dia kerana pada zahirnya, Islamlah yang telah memberi kuasa kepada bekas suaminya dengan memberikan hak penjagaan. Anak-anak yang tinggal dengannya pun, Tevi and Karan, terpaksa bersusah-payah untuk mendapat keputusan yang pemelukan Islam mereka tidak sah.

Jika keputusan Isnin lepas tidak memihak kepada mereka, maka mereka akan menghadapi banyak kesusahan apabila ingin berkahwin dan berkeluarga pada masa hadapan.

Imej Islam

Bagaimanakah kita boleh mengharapkan keluarga ini boleh ada perasaan positif terhadap Islam?

Bukan itu sahaja, kini selepas mahkamah tertinggi Malaysia memberi keputusan muktamad, ada pula agamawan Melayu masih tidak berpuas hati. Dua mufti menyatakan perasaan tidak puas hati mereka.

Seorang berkata hak penjagaan sepatutnya diberi kepada ibu atau bapa yang memeluk Islam, dan seorang pula bimbang yang anak Indira tidak mendapat bimbingan Islam!

Yang menghairankan, sebuah badan mewakili peguam Islam menyatakan yang mereka percaya bahawa kes ini patut dibicarakan di mahkamah syariah. Menurutnya, undang-undang perlu dipinda untuk membolehkan orang bukan Islam hadir di mahkamah syariah. Mereka pun boleh mendapat keadilan di mahkamah syariah, menurutnya lagi.

Jika kita membandingkan semua kenyataan ini, kita boleh nampak tipu helah mereka. Mufti terang-terang mengatakan hak penjagaan akan diberi kepada ibu atau bapa yang Islam. Manakala badan peguam itu pula mahu orang Islam menyerahkan takdir mereka kepada mahkamah yang sememangnya tidak akan memberikan mereka hak yang sepatutnya!

Keadilan hanya untuk orang Islam?

Di manakah keadilan bagi mereka? Adakah Allah hanya memberi “keadilan” kepada orang Islam sahaja?

Menurut Al-Quran, keadilan mestilah setara untuk semua lapisan manusia (Surah An-Nisa, Ayat 58). Kita tidak boleh mendiskriminasi terhadap sesuatu pihak kerana mereka mempunyai agama lain.

Memaksa kanak-kanak memeluk mana-mana agama hanya dengan mendaftarkan mereka juga satu perkara yang sememangnya tiada dalam Al-Quran. Penyertaan individu dalam sesuatu agama itu adalah dengan kerelaan hatinya dan jika dia mengubah fikiran, maka Tuhan sendiri memberi haknya untuk berbuat demikian (10:99-100).

Apakah kesudahan episod ini? Sekali lagi, Islam dinampakkan sebagai agama yang menindas orang yang tidak berdaya. Ia memaksa anak yang belum boleh membuat keputusan sendiri untuk menyertai umatnya dan tidak menghiraukan kemahuan ibu mereka sendiri.

Orang bukan Islam sekarang tahu yang syariah tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja. Mereka yang kononnya mewakili Islam pula tidak menerima keputusan yang adil ini.

Itulah masalah umat Islam: kita terlalu dankgal, memikirkan kuantiti dan bukan kualiti.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.