Cukup dengan pondan dan gambaran salah terhadap transgender

Cukup dengan pondan dan gambaran salah terhadap transgender

Penyunting berita dan wartawan harus lebih bertimbang rasa dalam melaporkan isu transgender kerana perkataan yang kita gunakan amat penting.

eric-paulsen-pondan-malaysia-drag
Oleh Eric Paulsen

Dalam perkembangan terbaharu saga Nur Sajat, usahawan kosmetik yang terkenal tersebut menyuarakan kerunsingan beliau terhadap keasyikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan orang awam terhadap identiti jantinanya.

“Issues jantina ini…ibarat issues masalah besar dalam negara,” tulisnya dalam Facebook beliau. Beliau bersambung: “Tetapi patut ker issues Nur Sajat jadi perbualan masalah negara? Fikirkanlah!”

Walaupun dimalukan secara terbuka, perhatian terhadap cerita Nur Sajat ini membuka peluang untuk dialog yang lama terpendam.

Golongan transgender di Malaysia seringkali diperlekehkan dengan gambaran salah oleh media berita.

Kebanyakan laporan yang dikeluarkan oleh media, terutamanya media Bahasa Melayu (berbanding media Bahasa Inggeris), menggunakan kata nama salah ataupun istilah menghina apabila merujuk golongan transgender.

Tambahan pula, laporan yang dikeluarkan selalunya memberi fokus kepada identiti jantina, subjek yang selalunya tiada kena-mengena dengan peristiwa yang sepatutnya dilaporkan.

Istilah dalam laporan berita

Adalah menjadi kebiasaan untuk laporan berita menggunakan istilah salah atau menghina apabila melaporkan golongan transgender.

Istilah seperti “pondan”, “lelaki berpakaian wanita” dan “transvestite” sering digunakan berbanding istilah yang lebih diterima seperti “Mak Nyah” ataupun hanya merujuk mereka menggunakan kata nama jantina yang mereka pilih.

Penyalahgunaan ini mengukuhkan lagi persepsi yang identiti golongan transgender merupakan sesuatu yang boleh dirawat atau diubah, dan seseorang itu boleh diyakinkan untuk berhenti menjadi transgender.

Dalam analisa media yang dibuat Justice for Sisters (NGO tempatan menyokong hak Mak Nyah), selepas tragedi pembunuhan seorang wanita transgender yang tidak dinamakan pada Mac 2016, daripada 25 laporan berita yang dikeluarkan, hanya satu laporan Malaysiakini merujuk mangsa sebagai transwanita, laporan lain semuanya gagal menggunakan kata nama yang betul.

Isu ini kemudiannya disensasikan dengan tajuk seperti “Pondan mati ditolak dari kondo” oleh Kosmo dan “Mayat pondan dalam bungkusan dicampak dari tingkat tiga kondominium” oleh Astro Awani – yang memberikan fokus berlebihan terhadap pakaian, penampilan serta identiti mangsa.

Malahan, Kosmo menerbitkan satu gambar mangsa yang tidak pernah disahkan, kononnya gambar beliau sebelum transisi, manakala The Malaysian Digest menggunakan gambar seorang transwanita dengan dadanya dikaburi piksel.

Menurut Justice for Sisters, walaupun terdapat sedikit penambahbaikan sewaktu laporan pembunuhan Sameera Krishnan setahun kemudian, terdapat sekurang-kurangnya 6 laporan berita melaporkan jantina asal mangsa sewaktu kelahirannya dan transisi beliau selepas itu.

Perlu diingatkan juga, laporan berita Bernama dalam kedua-dua kejadian tersebut merujuk 2 mangsa itu sebagai “lelaki berpakaian seperti wanita” dan “transgender berpakaian seperti wanita”.

Oleh kerana banyak pihak media menggunakan Bernama sebagai sumber laporan mereka, ini menunjukkan agensi berita nasional tersebut memainkan peranan penting dalam menentukan istilah untuk laporan lanjutan.

Liputan berita tidak seimbang

Liputan isu transgender banyak dipengaruhi sudut pandangan konservatif yang diketengahkan pihak media, sama ada melalui laporan mereka atau artikel pendapat.

Golongan transgender yang dikelompokkan dengan golongan terpinggir LGBTQ lain, sering dipersalahkan untuk pelbagai masalah masyarakat seperti penyebaran HIV/AIDS dan digambarkan sebagai musuh nilai tradisional dan Islam.

Liputan positif yang diberikan kepada komuniti transgender terlampau sedikit, hanya dengan beberapa penerbitan komen atau kenyataan aktivis atau organisasi transgender di dalam portal berita Bahasa Inggeris.

Sebaliknya, laporan berita Bahasa Melayu lebih fokus kepada menggalakkan kebencian terhadap komuniti transgender, dan pada masa sama juga mengetengahkan kejayaan rehabilitasi golongan transgender melalui agama.

Contoh terbaik yang boleh dilihat adalah liputan media pada April 2016 kepada Sofea Ilias, seorang wanita transgender dan usahawan yang sudah transisi semula menjadi “lelaki” dan mengumumkan hasratnya bertindak sebagai figura rehabilitasi wanita transgender yang lain.

Tindakan ini menarik perhatian Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengetuai hal ehwal Islam, dan juga media arus perdana. Cerita “kejayaan” Sofea digunakan untuk memberi tekanan kepada wanita transgender lain untuk “berubah”, termasuklah rakan usahawan Nur Sajat.

Bagaimanapun, Sofea menarik balik keputusan beliau pada September tahun sama, namun keputusan ini tidak menerima liputan meluas di media.

Pada masa kini pula, blogger yang terkenal dengan buruk lakunya, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga dikenali sebagai Papagomo, berulang kali mendakwa Nur Sajat sebagai seorang transwanita yang mengakibatkan Jakim mengambil langkah untuk menentukan jantinanya.

Sebaliknya, kisah kejayaan dan pencapaian golongan transgender jarang mendapat perhatian media.

Gambaran salah golongan transgender

Faktor kurangnya laporan baik serta penekanan nilai konservatif oleh media banyak menyumbang kepada persekitaran berbahaya terhadap komuniti transgender di Malaysia.

Akibat yang paling ketara adalah komuniti transgender akan kurang menonjolkan diri dan ini memberi akibat buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka.

Kekeliruan yang didorong laporan tidak telus tentang kejayaan rehabilitasi hanya akan memberi kesan buruk kepada “gender dysphoria” seperti di dalam kes Sofea Ilias.

Lebih penting, implikasi identiti transgender adalah tidak natural dan melanggar nilai konservatif (dan juga Islamik) membolehkan pembulian dan jenayah kebencian terhadap golongan transgender.

Persekitaran toksik digalakkan media

Bahasa Melayu dan stigma serta gangguan yang diterima golongan transgender daripada pihak berkuasa pastinya akan mengakibatkan jenayah terhadap mereka tidak dilaporkan, maka memberi peluang kepada pelaku untuk meneruskan tindakan mereka tanpa apa-apa hukuman.

Penyunting berita dan wartawan harus lebih bertimbang rasa dalam melaporkan isu transgender dan perlu juga memberi liputan lebih banyak berkenaan kejayaan komuniti transgender. Ini akan menguatkan posisi komuniti mereka.

Sehingga perkara ini dilaksanakan, komuniti transgender akan terus diserang dan disalahgambarkan.

Sesungguhnya, komuniti transgender hanya ingin hidup seperti orang lain, dan diberi hak sama seperti yang kita nikmati, menjalani kehidupan mereka, bekerja, mempunyai kehidupan peribadi dan melakukan aktiviti harian tanpa perlu bimbang tentang diskriminasi dan gangguan.

Komuniti transgender adalah antara komuniti di Malaysia yang paling terdedah kepada gangguan – fahami dan berilah mereka sokongan daripada hanya mengherdik dan merendah-rendahkan mereka.

Perkataan yang kita gunakan amat penting buat komuniti ini. Janganlah lagi kita menggunakan istilah menghina dan juga mensensasikan laporan berkenaan transgender, gunakan perkataan yang memberi anjakan paradigma positif terhadap persepsi rakyat Malaysia kepada komuniti transgender – bukan sebagai “pondan” atau “lelaki berpakaian seperti wanita” yang perlukan rehabilitasi – tetapi sebagai manusia yang juga layak dilayan secara hormat dan bermaruah seperti insan lain juga.

Eric Paulsen ialah pengarah eksekutif Lawyers for Liberty.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.