Pedoman daripada politik AS

Pedoman daripada politik AS

Mood sejumlah pengundi AS seperti biasa menyatakan tiada beza antara parti gajah dan parti keldai (Republikan dan Demokrat), maka pilihan ke-3 lebih mencuri hati mereka.

Ralph-Nader-us
Oleh Matyie Abahaydar

Aktivis Ralph Nader (Green Party) pernah memenangkan Presiden George Bush dan mengalahkan Al Gore pada pilihan raya presiden 2000 dengan lebih 500 undi.

Seketika, saya digamit sejarah politik pada 2000 ketika Presiden Bush mengalahkan calon Demokrat Al Gore. Saya yang naif politik ini cubalah memahami apa yang berlaku ketika itu.

Seperti biasa, di Amerika Syarikat (AS) memang diketahui negeri Demokrat dan Republikan. Dan pertandingan biasanya adalah meraih sokongan di “swing states” seperti Florida yang selalu beralih undi setiap kali pilihan raya.

Pada tahun itu, Florida memang medan penentuan antara kemenangan 2 calon presiden tersebut.

Mood sejumlah pengundi AS seperti biasa menyatakan tiada beza antara parti gajah dan parti keldai (Republikan dan Demokrat), maka pilihan ke-3 lebih mencuri hati mereka.

Lantas, Nader datang pada waktu tepat dengan Green Party – bukan dengan keyakinan mendapat kemenangan nasional, tetapi menunjukkan kuasa pilihan rakyat boleh memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya.

Maka, Green Party memperoleh jumlah kecil sebanyak 97,488 undi dan berjaya mengalihkan undi serta membuat Al Gore tewas dengan 537 undi sahaja! (48.838% berbanding 48.847% diraih Bush)

Siapa Ralph Nader?

Nader bukan tokoh picisan, beliau adalah susuk hebat. Beliau adalah seorang aktivis hebat yang menjuarai suara perlindungan pengguna, isu alam sekitar dan memperjuangkan reformasi badan dan polisi kerajaan AS.

Sejak 1960-an, beliau berpengaruh dalam kritikannya terhadap pengeluar kenderaan yang tidak mahu membelanjakan dana untuk ciri keselamatan kenderaan seperti tali pinggang keledar.

Daripada sedikit pengenalan saya mengenai beliau, saya mengagumi beliau – seperti juga saya mengagumi kugiran rock, Rage Against The Machine yang berkempen mengecam Al Gore dan membuat “kenyataan politik” dengan mengadakan konsert di luar bangunan, di mana konvensyen Demokrat diadakan.

Pilihan pengundi Nader

Satu kaji selidik diadakan bagi mengetahui pilihan mereka yang mengundi Nader bagi mengetahui jika Green Party tidak hadir dalam pilihan raya tersebut, siapakah yang mereka pilih di antara Al Gore dan Bush.

Keputusan menunjukkan Al Gore mendapat 47%, Bush 21% dan tidak mengundi 32%.

Tidak dinafikan juga antara sebab kekalahan Al Gore adalah penipuan pilihan raya Florida. (Adik Presiden Bush, Jeb Bush merupakan gabenor Florida ketika itu menafikan ribuan warga kulit hitam dan Hispanic kebenaran untuk mengundi dengan sebab tak munasabah.)

Aktivisme

Antara mereka yang kuat berkempen untuk Nader waktu itu adalah Michael Moore. Anda mungkin pernah dengar mengenai beliau melalui buku dan dokudrama popular.

Dan saya sendiri secara peribadi meminati beliau. (Bagi saya dia aktivis yang “cool” dalam dunia idealisme utopia saya dulu – dan saya masih meminatinya – dibuktikan jumlah buku dan dokudrama yang beliau hasilkan yang menjadi bacaan dan tontonan saya)

Di dalam buku “Stupid White Man”, dia mengakui dituduh memenangkan Bush dengan kempennya.

Seperti aktivis yang “cool” dan bagus, dia kemudiannya adalah suara sinis dalam komedi sindirannya membadutkan Bush dalam bukunya “Dude, Where’s My Country” dan filem dokudramanya “Farenheit 9/11”. Tetapi, peperangan ala filem komedi hitam “Wag The Dog” menyelamatkan Presiden Bush untuk penggal ke-2.

Matyie Abahaydar ialah pendidik dan penulis novel.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.