Dr M dan kebimbangan masuk mulut buaya

Dr M dan kebimbangan masuk mulut buaya

Bagaimana mengawal Dr Mahathir ketika berkuasa, jika menahan beliau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan PH sahaja sudah tidak mampu?

mahathir-mohamad-next-pm-1
Oleh Rahman Imuda

Teka-teki terhangat sejak beberapa bulan lepas telah terjawab, Tun Dr Mahathir Mohamad tokoh yang dipilih oleh Pakatan Harapan memimpin Malaysia. Tun Mahathir akan didampingi oleh Dr Wan Azizah sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang kelak, gandingan 2 doktor.

Pengumuman ini disertai dengan pembahagian kerusi Pakatan Harapan yang menyaksikan PPBM memiliki bilangan kerusi terbanyak diikuti oleh PPBM, DAP dan Amanah. Dua perkara yang paling menjadi perbualan pemain dan pemerhati adalah “Tun Mahathir sebagai calon PM” dan “bilangan kerusi Amanah yang sedikit”.

Dr M pemain politik terhandal

Sebelum Dr Mahathir menubuhkan PPBM, siapa yang dapat menjangka bekas perdana menteri ini akhirnya menjadi calon perdana menteri blok pembangkang? Kehebatan beliau menyusun strategi berjaya membawa beliau diangkat menjadi pengerusi Pakatan Harapan. Ramai dalam kalangan ahli politik dan aktivis berkompromi dengan apa yang mereka perjuangkan demi mendapatkan “pengaruh” Dr Mahathir yang dipercayai mampu menjadi elemen penting pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).

Apabila kita ingin menilai tokoh politik, wajib kita melihat “kerosakan” yang pernah dilaluinya berbanding hanya melihat jasa sahaja. Saya percaya kita semua setuju Dr Mahathir telah memberi sumbangan yang besar terhadap negara ketika berkhidmat selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

Atas faktor “kenang jasa” ramai yang berfikiran Dr Mahathir harus diberikan peluang kedua untuk memimpin negara. Ramai juga yang menyebutkan pada waktu Dr Mahathir menjadi orang nombor 1 negara kos sara diri lebih murah dan kehidupan lebih mudah, mereka percaya dan inginkan masa-masa ini dikembalikan.

Untuk berlaku adil, saya fikir elok jika kita melihat kepada beberapa isu meragukan yang pernah ditimbulkan semasa beliau memerintah. Antaranya isu salahguna Akta Keselamatan Dalam Negeri, Operasi Lalang dan Peristiwa Memali. Sekiranya kita menimbang dengan adil dan melakukan pembacaan lanjut, kita bakal menemui beberapa lagi elemen buruk yang pernah dikaitkan dengan mantan perdana menteri ini.

Saya turut bimbang kebebasan bersuara dan berekspresi akan semakin tertutup sekiranya Dr Mahathir menjadi perdana menteri kelak. Bukankah kita sudah tahu bagaimana nasib penentang kerajaan ketika zaman Dr Mahathir berkuasa?

Namun itu bukanlah hujah utama untuk menolak beliau kerana pada hari ini sukar untuk kita menyebutkan nama ahli politik yang tidak terlibat dengan “kekotoran”. Saya berpandangan isu utama yang perlu dilihat oleh Pakatan Harapan sebelum memutuskan Tun Mahathir sebagai perdana menteri adalah bagaimana untuk mengawal dominasi beliau dalam gabungan politik PH?

Dr M terlalu berkuasa dalam PH

Walaupun beberapa pemimpin daripada Pakatan Harapan mengatakan mereka mampu mengurangkan kuasa perdana menteri kelak, saya tetap ragu. Lihat sahaja apabila Pakatan Harapan menawarkan belanjawan yang meletakkan “tol percuma”, Tun Mahathir tetap bertegas bahawa tol di Malaysia antara yang termurah.

Bagaimana mungkin mereka boleh mengawal Dr Mahathir ketika berkuasa, jika menahan beliau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian PH sahaja sudah tidak mampu?

Saya melihat Pakatan Harapan cuba menjadikan PPBM sebagai Umno 2.0 dalam gabungan politik mereka dengan memberikan PPBM kerusi terbanyak sebagai simbolik “kuasa Melayu” dan membuang imej PH dikuasai DAP. Saya berpandangan hal ini bertujuan untuk memastikan undi Melayu berpihak kepada PH, terutamanya kepada mereka yang sebelum ini mengundi Umno.

Sifir ini sebenarnya agak bahaya. Sekiranya ditakdirkan Pakatan Harapan menang dengan kerusi terbanyak dimenangi oleh PPBM, maka “kuasa” Dr Mahathir akan memuncak. Bukan sahaja beliau perdana menteri, tetapi parti beliau memiliki bilangan kerusi terbanyak di Parlimen. Ini bermaksud parti-parti lain akan berada dalam tekanan untuk mematuhi permintaan-permintaan yang datang daripada Dr Mahathir.

Sebagai pemegang kerusi terbanyak, ancaman seperti “bertukar pakatan” bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijadikan modal supaya parti-parti lain bersetuju dengan apa-apa keputusan yang menguntungkan parti dominan.
Lebih-lebih lagi saya percaya objektif utama Dr Mahathir adalah untuk menjatuhkan DS Najib Razak. Jika objektif beliau telah tercapai, saya bimbang berlaku “tsunami politik” selepas itu.

Mulut harimau, mulut buaya

Kebanyakan rakyat pada hari ini hidup dengan tekanan, terutamanya dalam isu kos sara hidup, pengangguran dan pemilikan rumah. Oleh itu, kelompok ini berfikiran menukar kerajaan mungkin mampu untuk membebaskan mereka daripada tekanan-tekanan yang wujud.

Bagi saya meletakkan Dr Mahathir pada usia 92 tahun sebagai calon perdana menteri bukanlah satu langkah ke arah “pembebasan” tersebut.

Walaupun dikatakan sementara, saya tidak melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pengganti beliau kelak. Untuk menjadi perdana menteri, Anwar perlu menjadi ahli Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jika pada masa itu Tun Mahathir menjadi perdana menteri, disokong kerusi terbesar milik PPBM, saya amat ragu jawatan itu akan diberikan kepada orang dari luar PPBM.

Rahman Imuda adalah aktivis mahasiswa.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.