
Oleh Rahman Imuda
Minggu lepas saya meluncurkan buku sulung saya yang bertajuk Mahasiswa Bukan Macai, Pendidikan Bukan Politik terbitan Dubook Press. Ketika majlis pelancaran itu berlangsung, saya memegang erat prinsip bahawa politik kampus bukanlah politik “anak-anak” yang boleh diketawakan oleh para hadirin.
Saya tegas menyatakan politik nasional adalah politik yang membosankan, tetapi politik kampus akan menjadi faktor yang besar kepada landskap politik kita pada masa hadapan. Kebanyakan hadirin yang datang ketika itu melemparkan senyuman sinis ketika saya berkata sedemikian, bahkan saya turut menambah kepedasan hujah saya dengan ayat” “mahasiswa tidak mahu dengar cakap politikus, kami mahu politikus yang dengar cakap kami!”
Saya melihat ramai pemerhati politik kampus melihat mahasiswa ini sebagai kanak-kanak yang tidak boleh berbuat apa-apa, sehingga mereka terlupa betapa ramainya tokoh politik yang bobrok hari ini lahir daripada politik kampus. Melentur bulu biarlah dari rebungnya, kalau di kampus sudah mula menjadi pengampu dan penindas, maka perangai ini akan diteruskan sehingga menjadi wakil rakyat!
Resolusi baharu
Ketika peluncuran buku tersebut, saya terkilan kerana kebanyakan aktivis mahasiswa yang saya kenali tidak hadir, rupa-rupanya saya terlupa hakikat mahasiswa terlalu sombong untuk bersolidariti. Mujurlah rasa terkilan itu terubat dengan kemunculan beberapa sahabat aktivis mahasiswa. Usai peluncuran buku, kami melakukan diskusi seputar isu Pilihan Raya Kampus (PRK) terutamanya universiti-universiti yang belum menerima kunjungan pesta demokrasi kampus ini. Saya melemparkan soalan kepada seorang aktivis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memandangkan PRK mereka akan berlangsung pada minggu ini. Soalan saya: “apakah yang boleh dibantu untuk PRK kali ini?”
Aktivis dari UIAM itu menjawab secara sinikal; tidak ada kumpulan mahasiswa di UIAM yang boleh diberikan harapan untuk membela mahasiswa. Oleh sebab itu mereka bercadang untuk menjalankan kempen mengundi dengan bijak. Saya berpandangan apa yang ingin dilakukan oleh kolektif mahasiswa UIAM ini merupakan 1 langkah yang bijak.
Selama ini kebanyakan kolektif mahasiswa sibuk “menggoda” mahasiswa untuk menyertai mereka, dan sesekali kaedah politik kotor diambil. Kalau pun ada program-program yang memberi kesedaran dan ilmu politik kampus, selalunya program tersebut akan disertai dengan propaganda menyertai pasukan penganjur.
Kewujudan 1 pasukan bebas yang memberi pencerahan tentang kepentingan memilih wakil mahasiswa yang betul adalah penting untuk memastikan mahasiswa mengundi menggunakan “otak” bukan sekadar mata dan telinga semata-mata.
Undi mahasiswa
Beberapa hari lepas, sebuah fanpage Facebook mesra Barisan Nasional mengeluarkan sebuah poster yang bagi saya ditafsir secara salah berkenaan sokongan mahasiswa terhadap parti itu berdasarkan keputusan PRK. Mereka telah menafsirkan apa sahaja kumpulan yang tidak lantang mengkritik pemerintah atau universiti, merupakan pasukan yang menyokong Barisan Nasional. Ini merupakan hujah falasi. Pagi ini, saya bersarapankan sebuah tulisan berkenaan undi anak muda yang ditulis oleh Nome Nazwir. Saya tertarik dengan idea perbezaan generasi yang dibangkitkan.
Jika kita mengimbau semula kenangan berkenaan momentum yang ada ketika negara kita menghampiri PRU13, ia cukup memukau. Ramai anak muda ketika itu betul-betul merasakan kerosakan yang banyak sedang berlaku di negara ini, dan pemerintah harus ditukar untuk menjamin masa hadapan negara. Aksi-aksi mahasiswa ketika itu juga kelihatan lebih rancak, lebih-lebih ia merupakan kali pertama AUKU membenarkan keterlibatan mahasiswa dalam pentas politik.
Paling penting, koalisi politik di pihak pembangkang juga kelihatan begitu ampuh dan mampu memberi sinar harapan kepada rakyat Malaysia. Itu adalah zaman anak muda dan mahasiswa merasakan wujud harapan pada politik negara, seterusnya menjadi pemangkin untuk mereka turut serta dalam gelombang perubahan.
Walaupun zaman gelombang perubahan ini baru beberapa tahun berlalu, tapi melihat kepada kondisi politik tanah air ketika ini, saya berpandangan zaman itu sepertinya sudah berlalu pergi. Kebanyakan anak muda dan mahasiswa telah menghidap sindrom “political fatigue” akibat terlalu muak dengan permainan politikus di negara ini. Mereka sudah tidak kisah apa yang berlaku dengan politik negara kerana pemain-pemain politik negara tidak mampu memberi keyakinan kepada golongan ini. Pemerintah atau pembangkang, kedua-dua pasukan gemar menimbulkan isu yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat.
Melihat pada senario politik negara ketika ini, saya berpandangan mahasiswa mempunyai tugas yang berat menjelang PRU14. Tugas tersebut adalah memberi didikan politik kepada para pengundi untuk memilih wakil yang betul dan berkaliber. Tugas ini lebih sukar berbanding meyakinkan rakan-rakan di kampus kerana mahasiswa sering dilihat sebagai kumpulan yang masih “mentah” lagi, terutamanya untuk berbicara tentang hal-hal politik. Bermula di kampus sehinggalah di kampung-kampung terpinggir, mahasiswa dengan kerjasama pelbagai pihak harus memberi pencerahan kepada para pengundi untuk turun mengundi dan mengundi dengan betul jika mahu tempoh 4 hingga 5 tahun akan datang “punya wakil” di Parlimen.
Jika mengundi dengan salah, maka keghaiban wakil rakyat di Parlimen akan menyebabkan hak-hak pengundi terabai. Jika sudah tidak percaya pada politikus, maka percayalah memberi kepintaran kepada rakyat akan melahirkan kerajaan yang lebih baik. Hal ini kerana rakyat yang pintar tidak akan membiarkan pemerintah melakukan aksi-aksi yang merugikan rakyat.
Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa dan pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.