Longgar syarat lulus BM risiko buka ‘pintu belakang’

Longgar syarat lulus BM risiko buka ‘pintu belakang’

Keputusan melonggarkan syarat lulus BM hanya akan memburukkan masalah lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu dari 3 hingga 6 bulan untuk mendapat penempatan latihan.

shahril-umno

Oleh Shahril Hamdan

Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada hari ini berkenaan kelonggaran kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diberikan kepada graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak.

Kenyataan beliau itu tidak menjelaskan rasional di sebalik keputusan kelonggaran yang diberikan. Kelonggaran ini dikhuatiri seolah-olah menghantar mesej bahawa BM bukan menjadi keutamaan kepada graduan perubatan khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Sewajarnya keputusan yang melibatkan kepentingan awam ini dijelaskan rasionalnya kerana kedudukan BM di Malaysia sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan yang dibuat oleh Dr Noo Hisham, berbanding skim perkhidmatan yang lain yang meletakkan syarat yang lebih tinggi iaitu kredit BM sebagai syarat lantikan, calon yang memohon lantikan secara tetap pegawai kesihatan di Kementerian Kesihatan hanya perlu lulus BM di peringkat SPM.

Kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan hanya akan memberi gambaran bahawa BM boleh dipandang enteng oleh rakyat Malaysia.

Umum sedia maklum bahawa berlaku lambakan graduan perubatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Setiap tahun hampir 5,000 pelajar di dalam bidang perubatan tamat pengajian tetapi hospital latihan hanya dapat menampung kira-kira 3,000 doktor pelatih setiap tahun.

Keputusan melonggarkan syarat lulus BM ini hanya akan menambah dan memburukkan masalah lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu dari 3 hingga 6 bulan untuk mendapat penempatan di hospital latihan.

Benar, Kementerian Kesihatan menyebut bahawa kelonggaran ini hanya untuk lantikan secara kontrak untuk latihan pegawai perubatan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib selama 2 tahun. Tetapi apa jaminan Kementerian Kesihatan bahawa ini tidak akan membawa kepada langkah pintu belakang bagi doktor pelatih hari ini kelak juga diberi kelonggaran menjadi pegawai perubatan tanpa mendapat kelulusan BM di bawah alasan “lantikan kontrak”?

Bagaimanakah seorang doktor boleh memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah komunikasi di mana pesakit tidak mempunyai penguasaan yang baik di dalam bahasa selain daripada BM? Terdapat juga risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit.

BM bukan semata-mata subjek wajib lulus di peringkat sekolah tetapi adalah teras kepada perpaduan dan integriti nasional. Penghayatan bahasa kebangsaan adalah penting lebih-lebih lagi kepada penjawat awam yang bakal berkhidmat kepada segenap lapisan rakyat Malaysia.

KP Kesihatan: Lulus BM keperluan asas lantikan tetap sektor awam

Shahril Hamdan adalah Exco Pemuda Umno Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.