Mangsa buli kerana identiti anda tidak disenangi

Mangsa buli kerana identiti anda tidak disenangi

Anda mengalami identiti terancam apabila mana-mana kualiti, kepercayaan atau keinginan anda itu dinafikan dan diugut sehingga anda tidak dapat menyerlahkan dan menzahirkan apa yang anda berasa bangga dengannya.

nude-photos,-Facebook,-sexual-grooming,-blackmailed

Beberapa bulan lalu, ketika melakukan kajian ilmiah tentang minoriti agama, seorang pemuda mendatangi saya dan memberitahu bekas teman sekolahnya sedang melakukan pembulian identiti beliau.

Pemuda tersebut menganut fahaman yang diisytiharkan sesat oleh pihak berkuasa agama meskipun di negara luar fahaman tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan jenayah, malah dianggap sebahagian Islam.

Identiti pemuda itu didedahkan oleh teman sekolahnya. Malah lebih dahsyat dan bacul, teman sekolah itu menjejerkan nama adik beradiknya, ibu bapanya, bahkan mengaitkan seorang dua teman lain dengan pemuda tersebut.

Niat pembuli adalah untuk memalukan, mensasarkan pemuda tersebut, dan jika boleh agar masyarakat memulau, dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadapnya.

Paling malang, identiti tunang pemuda tersebut juga dihebahkan, berserta foto di status Facebook yang menyebabkan berlaku konflik, kemurungan dan marginalisasi. Pemuda tersebut dan keluarganya mengalami stigmatisasi atau pemomokan ekoran pembulian bekas teman sekolahnya.

Ini merupakan satu dari beberapa kes pembulian identiti di internet yang perlu ditangani dan dibawa ke perhatian badan hak asasi manusia peringkat antarabangsa. Satu dua kes ini menggambarkan keseluruhan keadaan masyarakat kita hari ini.

Identiti peribadi seseorang adalah satu set kualiti, kepercayaan, keinginan, atau prinsip tindakan yang menurut seseorang itu akan membezakannya secara relevan dalam aspek sosial yang mana a) ia berasa bangga dengannya; b) berasa tidak bangga dengannya yang mana sangat mempengaruhi dan membentuk tingkah lakunya yang mana menentukan apa yang ia lakukan, dan apa harus dilakukan bila tanpanya; atau c) seseorang merasakan ia tidak dapat berubah meskipun ia ingin melakukannya.

Dalam banyak keadaan, kualiti seseorang itulah yang akan membentuk pula maruah dan kehormatannya, yang mana ia berasa bangga dengannya secara langsung atau tidak langsung.

Terdapat juga identiti sosial yang mana ia ditentukan oleh peraturan tertentu dan kriteria (yang didakwa) terjangka ada padanya.

Identiti dunia maya

Dalam era terorisme oleh IS yang mensasarkan kelompok umat Islam tertentu sebagai kafir, bersepadu nada pula dengan fatwa keras pihak berkuasa agama, pemuda tersebut boleh menjadi sasaran mudah pengganas gila di luar sana.

Tindakan memomokkan dan memalukan atau mencabul identiti seseorang di internet bukanlah suatu yang boleh dipandang mudah.

Di dunia maya, identiti senang terdedah kerana sesuatu identiti yang mungkin ingin disembunyikan kerana khuatir didiskriminasi atau dikhianati akan mudah menjadi perhatian. Ia juga akan menjadi tular dengan cepat sekali.

Menurut sosiologis Bauman dalam bukunya “Freedom”, hari ini identiti yang terbentuk, teracu, dan terjelma di dalam dunia mayatermuat sebagai satu hubungan sementara yang memiliki komponen lampau, lani, dan masa akan datang.

Hubungan lampau, lani dan masa hadapan ini adalah identiti yang akan mencadangkan siapa diri kita, apa yang kita lakukan sehari-hari dan apa yang akan berlaku seterusnya dan ia akan berubah-ubah sepanjang berlakunya perubahan hidup.

Justeru identiti itu sendiri rapuh – “fragile” dan “unstable” – sehingga tiba ke satu titik yang mana ia tak dapat dicapai.

Membentuk identiti adalah satu takdir kemanusiaan yang manusia tidak dapat melarikan diri darinya. Manusia, atau individu memerlukan identiti. Tanpa identiti seseorang itu akan hilang arah dan gila.

Oleh demikian, saya memberitahu pemuda itu bahawa kehdiupan beliau sedang dicabul, dan hak asasi manusia beliau sedang diceroboh kerana memiliki dan memilih identiti adalah hak asasi setiap manusia.

Beliau ingin membuat laporan kepada pihak berkuasa undang-undang tetapi tidak percaya ia dapat menyelesaikan masalah kerana sebab-sebab yang kita sama-sama ketahui.

Bagaimanakah identiti terancam?

Katakanlah anda seorang pengikut Ahmadiyyah yang dibuli di internet. Ada pihak yang mendedahkan identiti anda sebagai seorang Muslim Ahmadi yang mana anda diejek sebagai Qadiani, diburukkan, keberadaan diri anda dan keluarga anda dihebahkan di media sosial.

Anda sedang mengalami identiti terancam apabila mana-mana dari set kualiti, kepercayaan, atau keinginan anda itu dinafikan, dihalang, dilarang, diugut, dan diancam sehingga anda tidak dapat menyerlahkan, meluah, dan menzahirkan apa yang anda berasa bangga dengannya; atau apa yang anda berasa tidak bangga dengannya; atau lebih dahsyat anda dipaksa berubah.

Justeru seseorang itu tidak lagi dapat menggunapakai kualiti dirinya yang mana kualiti itulah yang membentuk maruah dan kehormatannya, yang mana ia berasa bangga dengannya secara langsung atau tidak langsung.

Ia juga berlaku apabila seseorang yang ingin masuk atau keluar dari identiti sosial yang mana ia ditentukan oleh peraturan tertentu dan kriteria (yang didakwa) terjangka ada padanya tetapi dinafikan, dihalang, dilarang, diugut, diancam sehingga ia tidak dapat menyerlahkan, meluah, dan menzahirkan apa yang ia percaya.

Saya mengenali paling kurang 2 orang aktivis hak asasi manusia bagi golongan LGBT yang mengalami ancaman identiti di internet sehingga terpaksa menyembunyikan diri mereka di luar negara.

Ini adalah satu contoh kesan pembulian internet yang mana diletuskan oleh kumpulan ekstrimis dan dibantu oleh kaum agamawan langsung dan tidak langsung. Juga terdapat seorang lagi aktivis yang seringdiberi ancaman bunuh tetapi menjadi tidak kuasa untuk melaporkan ugutan yang beliau perolehi.

Agamawan dan pembulian

Terdapat banyak contoh kes pembulian identiti di internet.

Beberapa minggu lalu, terdapat seorang mufti yang membuat penghinaan minoriti lain agama yang boleh membawa kepada jenayah kebencian. Agamawan mengaku progresif ini turut sering melakukan penghinaan minoriti sama agama yang membawa kepada jenayah kebencian.

Bagaimana kiranya sesuatu ceramah agama di Youtube yang menghina fahaman lain dengan alasan dakwah dan kebenaran ini, jika tidak dibendung nantinya dapat mendorong pembuli identiti seperti yang berlaku kepada pemuda di awal tulisan ini?

Adakah pemuda ini dan keluarganya akan mendapat perlindungan khas pihak berkuasa anti terorisme?

Apakah agamawan yang melakukan pemomokan dan mencetuskan pembulian identiti itu akan ditangkap atau diperhatikan?

Malangnya dalam negara dengan dokongan dan pelaksanaan hak asasi manusia lemah, seseorang pembuli identiti itu akan mudah terlepas.

Timbul pula persoalan, adakah seseorang pembuli itu boleh dikenal pasti? Katakan jika anda, seorang Muslim lain jurus dan sedang mengalami pembulian di internet, bagaimana anda menentukan ia pembulian yang boleh mendorong jenayah kebencian?

Bagaimanakah kita dapat membezakan ia sebagai satu kebencian dan hasutan dan bukannya kebebasan berekspresi?

Pelan Tindakan Rabat

Saya ingin menyarankan Pelan Tindakan Rabat yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana ia telah menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif.

Akan tetapi meskipun Pelan Tindakan Rabat menyatakan mengenai kebencian terhadap agama secara kolektif, ia juga dapat menjadi panduan kepada pembulian identiti di internet.

Jika anda dibuli dan identiti anda sedang terancam perhatikan aspek-aspek berikut:

i. konteks, apakah sesuatu status Facebook atau Twitter itu misalnya dapat ditentukan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan atau identiti sasaran;

ii. kedudukan individu pembuli adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pembuli itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat. Katakan, adakah pembuli itu seseorang yang penting seperti pendakwah berpengaruh di Youtube.

iii. aspek niat juga penting diperhatikan dan pembuli boleh ditentukan ia tidak lalai atau tidak sengaja. Ini kerana sesuatu buli itu boleh diserlahkan elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak;

iv. dalam pada itu analisis kandungan dan bentuk status Facebook, atau komen di instagram juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak. Jika seseorang pembuli itu secara jelas mengajak melakukan pembunuhan di blognya sebagai contoh, atau menyatakan ‘jangan tolak ansur lagi, kita sudah fed up, maka mari lakukan sesuatu’, ini bermakna undang-undang diambil di tangan sendiri;

v. seterusnya keluasan ucapan atau siaran media sosial juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah pembulian tersebut dilakukan secara publik, juga saiz dan target audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah audien media sosial lain mempunyai akses kepada pembulian identiti terbabit;

vi. akhir sekali setiap pemomokon dan pembulian akan menanam kebencian terhadap identiti mangsa dan ia mempunyai potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran pembulian tersebut. Dalam hal ini status kebencian seseorang selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran. Dalam banyak keadaan, mereka yang dibuli akan mengalami trauma, diketepikan masyarakat dan terpaksa berlindung.

Pemuda yang saya sebutkan di dalam artikel ini, dan 2 aktivis hak asasi manusia yang sedang bersembunyi, adalah mangsa pembulian identiti di internet.

Ia menjadi petanda kepada paling kurang 2 perkara. Pertama, sikap masyarakat yang semakin tidak bertolak ansur, percaya diri benar, menghukum dan membuli atas nama agama.

Kedua, lemahnya penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran hak asasi manusia sehingga mereka memilih untuk bertahan dan menerima sahaja akibat buruk yang mendatang. Ia perkara malang di sebuah negara yang pemimpinnya meneriak-neriakkan kesederhanaan.

Hal ini iaitu pembulian identiti di internet menyerlahkan satu lagi perkara yang mendukacitakan; demokrasi yang sangat tenat, dan peningkatan gejala autotarianisme dan fasisme agama.

Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.