
Harga petrol, terutama RON95, kini masalah rumit bagi kerajaan. Pada harga RM2.30 seliter hari ini, sebarang kenaikan harga minyak akan disifatkan sebagai melampau bagi rakyat biasa.
Berdepan dengan situasi ini, kerajaan kini dalam proses memperkenalkan harga siling kepada harga bahan api.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata harga siling bahan api akan diumumkan setiap minggu mulai bulan depan berbanding apa yang dilakukan sekarang iaitu sebulan sekali.
Strategi itu diambil oleh kerajaan untuk memastikan harga bahan bakar tidak melebihi harga yang sepatutnya di pasaran.
“Bila kita letak harga siling, terpulanglah kepada stesen minyak sama ada nak menurunkan harga atau bagaimana cara dia nak kempen supaya orang datang ke stesen minyak mereka termasuk menawarkan inisiatif,” katanya.
Malangnya, inisiatif kerajaan ini bukanlah jawapan yang diharapkan rakyat biasa.
Rakyat sebenarnya mengharapkan harga bahan api tidak akan naik lagi, dan bukannya sekadar harga bahan api tidak boleh melepasi harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Bagi rakyat, apa gunanya kalau ada harga siling jika harga minyak terus naik dan menjadi pemangkin kepada lonjaknya inflasi segala jenis barangan konsumer?
Bertarung harga?
Bukan itu sahaja, sudah sekian lama semua stesen minyak di Malaysia mengamalkan penjualan bahan api pada harga yang sama, susah dibayangkan ada stesen minyak yang sanggup menjual bahan api kurang daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Sekiranya stesen minyak sanggup saling bertarung harga, yang ruginya ialah mereka.
Umpamanya, sekiranya stesen Shell di kawasan rehat Temerloh sanggup menjual harga minyak pada paras lebih rendah, sudah pasti ini akan memaksa stesen Petronas di kawasan rehat Gambang dan Karak untuk menurunkan harga, yang mengakibatkan keuntungan mereka berkurangan sedangkan jumlah pengguna lebuhraya tersebut tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengisi minyak kereta mereka.
Menyedari hakikat ini, sudah pastinya stesen minyak akan mengekalkan harga yang sama mengikut harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Meskipun para pengusaha stesen minyak sanggup bertarung harga, rakyat tetap terbeban sekiranya harga bahan api seperti RON95 melebihi paras RM2.30 seperti yang ada hari ini.
Sistem hari ini
Sebenarnya kerajaan pening juga dalam pengumuman harga bahan api baru bulanan yang dibuat sekarang.
Apabila harga bahan api diumum akan naik, membuat pengumuman terlalu awal dikhuatiri akan menyebabkan adanya pengusaha stesen minyak sengaja mengurangkan jualan untuk menyimpan stok dan sebilangan pembekal minyak sengaja melewatkan hantaran menunggu harga baru yang lebih tinggi berkuat-kuasa.
Para pengguna pula akan berpusu-pusu ke stesen minyak sebelum waktu harga baru minyak berkuat kuasa sehingga kebanyakan stesen minyak habis bekalan. Ini boleh mewujudkan situasi di mana para pengusaha stesen minyak dituduh sengaja menyorok minyak.
Situasi sebaliknya pula berlaku apabila diumum lebih awal harga minyak diumum akan turun di mana pengusaha stesen yang telah membeli bekalan minyak pada harga yang sama (harga sebelum turun) daripada syarikat pembekal terpaksa berdepan risiko kerugian apabila pengguna sanggup menunggu untuk membeli minyak dengan harga lebih murah.
Cadangan untuk menyelaraskan harga bahan api secara mingguan dipercayai dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi para pengusaha stesen minyak.
Cuma, bagaimana pengumuman harga bahan api secara mingguan boleh membantu rakyat biasa yang sedang ditekan teruk dengan kesan daripada kenaikan harga bahan api?
Barangkali kerajaan terlupa, yang perlukan solusi ialah rakyat biasa bukannya para pengusaha stesen minyak.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.