SM Salim, kenangan saya

SM Salim, kenangan saya

Penulis berkongsi pengalaman beliau ketika mula meminati lagenda lagu klasik tanah air yang meninggal dunia baru-baru ini.

sm-salim

Oleh Syed Iskandar Syed Jaafar

Generasi hari ini mungkin mengenal Tan Sri SM Salim daripada lagunya yang disiarkan Radio Klasik dari masa ke semasa.

Lagu Justru Sang Bulan, Sri Banang, Cempakasari, Orang Berbudi Kita Berbahasa, Hidup Perlu Bekerja, Joget Penghibur, Pandang Pandang Jeling Jeling, Pasir Roboh, Cinta Dulu Cinta Sekarang, Joget Kasih bermula, Kahwin Paksa, Mohon Kasih, Bunga Ros dan banyak lagi lagu malar segar dendangan Allahyarham, yang mana senikata dipinda sendiri olehnya dengan begitu berkesan termasuklah lagu Sri Banang yang dipersembahkan olehnya dengan iringan orkestra penuh.

SM Salim dengan cara spontan dan santai menceritakan yang senikata lagu Joget Jambu Merah dipinda untuk disesuaikan dengan tugas tentera yang sentiasa berjauhan dengan isteri seperti di Sabah, Sarawak dan Congo ketika itu.

Ini diceritakannya di pentas ketika persembahan Konsert Perjalanan Anak Seni 2001 di Dewan Filharmonik Petronas, yang turut dihadiri perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persembahan 2 malam berkenaan juga dikhabarkan menarik minat Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang ingin mencemar duli berangkat jika tidak kerana sedang berada di luar negara.

Persembahan di dewan berprestij itu berjaya mendapat sambutan hangat, kesemua tiket habis dijual.

Saya diberitahu mereka yang terlibat secara langsung dengan persembahan malam berkenaan, yang pihak penganjur biasanya lebih mementingkan persembahan berkualiti dan akhirnya meluluskan persembahan konsert berkenaan setelah mendapat arahan tertinggi pentadbiran negara ketika itu.

Sekitar tahun 1975-1977 dahulu, TV Malaysia yang masih dalam format hitam putih pernah menayangkan sebuah filem terbitan Filem Negara Malaysa (Malayan Film Unit) pada 1964 yang berjudul “Mata Permata” lakonan hebat bintang bintang radio Malaya dengan watak utamanya di lakonkan SM Salim bersama arwah isterinya, Normah Salim.

Filem ini mengisahkan kehidupan 2 jiran yang mana salah satu daripada jiran yang walaupun kurang berada, isterinya sering mencemburi kemewahan material jiran sebelah sehingga sanggup meminjam barang kemas untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Watak SM Salim dalam filem berkenaan ialah penyanyi di majlis orang kahwin serta menjadi suami kepada wanita yang suka menunjuk-nunjuk itu. Lagu merdu dendangannya dalam filem berkenaan di setiap majlis perkahwinan adalah lagu yang sama, namun begitu indah didengar serta dihayati.

Kisah menjadi lebih dramatik bila barang kemas yang dipinjam untuk bergaya oleh isterinya hilang di lokasi majlis perkahwinan. Dapatlah kiranya filem 68 minit ini yang diadaptasikan daripada sebuah filem Perancis, “The Necklace”, disiar semula.

Dalam satu forum membincangkan filem “Mata Permata” sekitar tahun 2000 yang turut disertai SM Salim sebagai ahli panel, filem ini pernah diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris dengan judul The Eyes of Evil dan mendapat Anugerah Golden Harvest Film di Festival Filem Asia ke 11, kerana sumbangan kepada pembangunan pendidikan sosial.

Ketika penghujung era 70an, ayah saya mula memperkenalkan kepada saya keindahan lagu SM Salim dari album pertama, Joget Kasih Bermula. Lagu seperti Pasir Roboh, Patah Hati digubah dalam versi orkestra menjadikan status lagu tradisional berkenaan lebih indah dihayati dalam pelbagai versi termasuklah versi orkestra yang tentunya menaikkan lagi martabat lagu tradisional.

Allahyarham pernah turut terkenal dengan menjadi pelawak pentas bersama P Ramlee dan Pakcik Jamal dari siri radio popular Taman Kanak Kanak. Beliau memulakan kareer bersama Radio Malaya sebagai juruhebah program radio waktu subuh di Rumah Persekutuan yang kini menjadi pejabat tanah Wilayah Persekutuan berhampiran dengan Menara Dayabumi.

SM Salim turut menceritakan semasa konsert perjalanan anak seni pada 2001 di Dewan Filharmonik Petronas, yang beliau pernah menjual marjerin dari rumah ke rumah namun kerjaya yang paling di sukainya ialah bersama radio dan juga menjadi penyanyi.

Saya pernah menguruskan jualan khas album SM Salim di Kelab Darul Ehsan Ampang (KDE) selama sebulan, sepanjang bulan Ramadan. Album berkenaan habis dijual hingga ke malam raya. Namun tiada siapa dikalangan yang bertugas yang terlepas untuk berbuka dan bersolat kerana bergilir gilir di masjid.

Justeru, konsert SM Salim bukan sahaja “sold out” di Dewan Filharmonik, malah versi CD dan VCD konsert itu juga laris.

Pada 2013, SM Salim dinobatkan Biduan Negara dalam satu majlis gilang gemilang, disampaikan menteri ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Turut menerima anugerah pada malam itu ialah komposer Kassim Masdor yang menerima Seniman Tamu Negara. Kassim Masdor ialah klien saya dan pada malam berkenaan berpeluang beberapa kali untuk berbual dan berinteraksi dengan SM Salim ketika membantu Kassim pada malam berkenaan.

Kini kedua-dua lagenda seni negara pergi menghadap illahi. Insha Allah, roh mereka ditempatkan bersama orang beriman hendaknya.

* Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar seorang peguam.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.