Punca sebenar: kuasa mutlak

Punca sebenar: kuasa mutlak

Jika lebai atau ulama sekalipun, pasti kuasa jawatan perdana menteri Malaysia membutakannya, dan dia mungkin terlibat dengan rasuah dan kemudian menyalah guna kuasanya.

mahathir-politic

Oleh Yunus Tasim

Banyak diperkatakan mengenai masalah negara kita. Banyak dibahaskan betapa kita sedang menuju kehancuran. Tetapi kebanyakannya tentang simptom. Tak banyak yang membedah punca masalah.

Benar, rasuah adalah masalah besar. Semua tahu rasuah terjadi di peringkat tertinggi apatah lagi peringkat pertengahan.

Begitu juga salah guna kuasa di pelbagai peringkat masyarakat. Mungkin kuasa diselewengkan untuk meraih habuan. Mungkin juga kuasa disongsangkan kerana ingin menghalalkan rasuah.

Benarlah pepatah Inggeris yang dinukilkan Lord Acton, “Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely”. Kuasa selalu cenderung disalahgunakan, dan kuasa mutlak pasti disalahgunakan.

Satu lagi kata hikmah Inggeris: “Corruption is authority plus monopoly minus transparency”. Rasuah adalah adalah kuasa jika dimonopoli tanpa ketelusan (dan akauntabiliti).

Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang. Tidak usahlah kita menuding jari siapa yang bersalah. Mungkin yang bersalah itu sekarang sedar dan sedang berusaha sedaya upaya ingin membetulkan keadaan sebelum terlambat.

Dengan kuasa mutlak, siapa sahaja yang jadi perdana menteri pasti akan terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. Jika lebai atau ulama sekalipun, pasti kuasa jawatan perdana menteri Malaysia membutakannya, dan dia mungkin terlibat dengan rasuah dan kemudian menyalah guna kuasanya untuk menutup rasuahnya itu.

Cuma persoalannya, berapa besar rasuahnya, dan berapa parah salah guna kuasa yang dilakukannya?

Dan apakah rasuahnya untuk dirinya dan keluarganya, atau untuk menundukkan orang suruhannya mahupun musuh politiknya?

Bukan sahaja perdana menteri, siapa sahaja yang berkuasa di peringkat negeri, atau bahagian yang dapat “perlindungan” atau “sebulu” dengannya akan terlibat.

Ini semua kerana kuasa mutlak yang dimilikinya. Kuasa tanpa batas ini menyebabkan dia sewenangan terlibat dengan rasuah dan kemudian menyalah gunakan kuasa untuk menutup rasuah dan mengelakkan dirinya daripada didakwa.

Untuk memastikan Malaysia kembali ke landasan yang betul dan ke arah Malaysia yang lebih baik, kuasa perdana menteri harus ada timbang tara atau “check and balance” dan akauntabiliti.

Untuk menyelesaikan masalah rasuah dan salah guna kuasa, perdana menteri mestilah menjadi kuasa yang telus dan akauntabiliti kepada rakyat melalui Parlimen.

Justeru, badan yang menjamin ketelusan dan akauntabiliti mestilah benar-benar bebas dan berani yang diletakkan di bawah Yang Dipertuan Agong melalui Parlimen yang berdaulat.

Pasti orang Melayu tidak akan takut kerana Agong merupakan kuasa mutlak Melayu. Dan orang bukan Melayu yang berpegang teguh kepada perlembagaan dan Rukun Negara harusnya bersetuju dan gembira kerana penyalahgunaan kuasa dapat diminimakan kalaupun tidak dihapuskan sama sekali.

Kita berharap orang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedar kerosakan yang dimulakannya dulu, serta bekas timbalan perdana menteri, bekas menteri dan bekas penjawat tinggi seperti ketua Suruhanjaya Pilihan Raya dan peguam negara, menyatakan dengan jelas langkah reformasi mengurangkan kuasa perdana menteri.

Kita minta parti pembangkang untuk jadikan ini perkara utama yang akan diperjuangkan dan menjadi nombor satu dalam manifesto mereka.

Selagi ini tidak dibetulkan, selagi itu rasuah akan membarah dalam masyarakat dan selagi itu salah guna kuasa akan berleluasa dan rakyat terus diperbodohkan dan dizalimi.

Jadikan ini satu gerakan untuk semua rakyat Malaysia faham kepentingannya kerana kita yakin semua rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India yang cintakan negara ini mahukan Malaysia yang bersih daripada rasuah dan ditadbir urus dengan telus dan penuh integriti serta akauntabiliti.

Yunus Tasim seorang pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.