
Oleh Yunus Tasim
Rata-rata rakyat menyambut baik perkembangan terbaru dalam politik pembangkang. Kelmarin Presiden PKR, Setiausaha Agung DAP, Presiden Amanah dan Presiden PPBM mengambil ketetapan progresif dan menandatangani Perjanjian Bersama Kerangka Bersama.
Walaupun PPBM tidak menyertai Pakatan Harapan, tetapi kebersamaan dan komitmen terhadap satu tujuan murni ke arah Malaysia yang lebih baik memberi harapan yang tinggi kepada rakyat.
Perkara pertama yang dipersetujui membuktikan komitmen kepada Perlembagaan Malaysia 1957/63 meliputi Islam sebagai agama rasmi persekutuan, kebebasan mengamalkan agama dengan rasa hormat-menghormati, hak pribumi dan orang Melayu, mempertahankan Raja Berperlembagaan dan kedudukan bahasa Melayu.
Ini permulaan yang baik untuk menyahkan hasutan yang dilemparkan Presiden Umno ketika PAU 2016 yang baru berlalu. Orang Melayu yang berilmu dan waras sebenarnya tidak percaya dengan hasutan Presiden Umno itu. Ia hanya untuk menakutkan orang yang lemah jatidiri atau yang terlalu bergantung kepada tongkat terutamanya dalam kalangan pemimpin Umno itu sendiri.
Sebenarnya orang Melayu dan pribumi tidak perlu takut akan hasutan yang dianggap bebal itu. Apa tidaknya, DAP bertanding 40-50 kerusi pasti tidak boleh memerintah sendiri. Kalau mereka bergabung dengan MCA, Gerakan, SUPP dan parti-parti berasaskan Cina di Sabah dan Sarawak pun tidak mungkin dapat.
Sejak 60 tahun Malaysia merdeka, perdana menteri adalah Melayu, TPM Melayu, peguam negara Melayu, ketua hakim Melayu, ketua polis Melayu, ketua turus tentera Melayu, ketua audit negara Melayu, menteri ramai yang Melayu, KSU banyak yang Melayu, pegawai tinggi kerajaan banyak yang Melayu. Apa yang Melayu nak takutkan?
Malah Melayu harus bertanya pada diri sendiri; biarpun Melayu yang memimpin negara, biarpun Melayu yang menjadi ketua itu dan ketua ini, kenapa nasib Melayu masih ditangisi? Yang harus ditanya…”Wahai pemimpin-pemimpin Melayu Umno, apa sebenarnya kamu buat untuk orang Melayu, terutama pemimpin zaman Najib ini?”.
Pakatan Harapan dan PPBM tidak punya masa yang lama. Sosek-sosek yang boleh dipercayai PRU14 mungkin diadakan sekitar April atau September 2017. Itupun bergantung kepada dakwaan yang popular dalam kalangan ahli politik kononnya beberapa billion dapat disedut dari ‘Projek China’ untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.
Pembangkang harus bekerja keras mulai sekarang. Komunikasi dan perhubungan awam harus beroperasi 24/7 untuk meyakinkan rakyat bahawa tiada lagi pergeseran dan tikam belakang seperti yang terjadi ketika Pas menganggotai Pakatan Rakyat dahulu.
Inilah platform yang mesti digunakan DAP untuk membuktikan DAP bukan ‘trouble maker’ dalam pakatan dahulu jika semua menghormati prinsip kebersamaan. Jika perkara 7 diikuti secara holistik, pasti Umno/BN tiada modal untuk mengapi-apikan sesama ahli PH dan PPBM.
Mungkin ketika itu PH dan PPBM boleh tersenyum mengucapkan “good luck” kepada Umno dalam menghadapi karenah PAS.
Perkara terdekat yang mesti diselesaikan segera ialah logo yang akan digunakan oleh keempat-empat parti disamping terus menghalusi perkara 3 dan 4. Logo itu penting. Logo boleh mempengaruhi pengundi memilih pakatan parti pembangkang dan seterusnya menumbangkan Umno/BN dan Pas pada PRU14.
Semoga semua parti yang bersetuju kelmarin diberikan kewarasan dan ketajaman fikiran dalam menentukan logo yang hendak digunakan. Juga semoga tiada pemimpin yang begitu fanatik dengan logo masing-masing.
Jika logo DAP digunakan sebagai logo bersama, pasti Umno dan Pas ketawa besar kerana ia menguatkan tohmahan pakatan dikuasai DAP dan parti pembangkang hanya kuda DAP. Melayu yang tidak faham pasti tidak akan mengundi lambang DAP biarpun calonnya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Azmin Ali.
Jika logo PPBM digunakan, sudah pasti pengundi Cina dan India tidak akan memangkah walaupun di sebelah nama itu terpampang nama Lim Guan Eng. Kerana umum tahu PPBM serpihan Umno dengan sejarah sikap sebahagian pemimpinnya terutama terhadap bangsa Cina walaupun mereka sudah berubah.
Jika logo PKR digunakan, maka pengundi akan merasakan bahawa agenda pembangkang tiada lain melainkan Anwar Ibrahim. Walaupun tidak salah, tetapi kita perlukan satu imej dan persepsi yang segar di mata rakyat. Politik memang persepsi rakyat terhadap parti dan ahli politik sebenarnya.
Jika logo Amanah digunakan, sudah pasti ahli Pas tidak akan memilih walaupun yang bertanding adalah seorang lebai. Ini kerana ahli Pas marah kepada pemimpin Amanah dengan tuduhan Amanah ‘mencuri’ ahli Adun dan ahli Parlimen PAS walaupun sebenarmya mereka menang atas dasar Pakatan Rakyat yang bersatu.
Dengan itu, Pakatan tiada pilihan melainkan memilih logo yang baru, neutral dari keempat-empat parti tersebut. Yang penting, logo organisasi atau parti yang dipilih tidak mempunyai ‘baggages’ atau imej yang negatif di mata masyarakat.
Selamat maju jaya! Semoga ‘Ini Kali Lah’ menjadi!!!
Yunus Tasim ialah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.