Bila rakyat ingkar undang-undang

Bila rakyat ingkar undang-undang

Demi mempertahankan tanah adat, atau memastikan perut terus terisi.

court-judge

Kelmarin 160 Orang Asli sekitar Pos Simpur, Kelantan bertembung dengan gerombolan 30 ejen pembalak yang mahu membalak dalam kawasan tanah adat.

Tiga Orang Asli ditahan. Oleh orang yang mendakwa diri mereka polis. Seorang penduduk kakinya nyaris dipotong gergaji, ketika ejen mahu merobohkan penghalang jalan.

Secara teknikalnya, pembalak terbabit dilaporkan beroperasi secara sah kerana diberi lesen membalak oleh Jabatan Perhutanan Kelantan. Maka, cubaan menghalang kemaraan jentera seharusnya digagalkan.

Menurut Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, semua aduan orang kampung kepada kerajaan tak terjawab. Nampaknya tekad petang kelmarin itu seolah-olah suatu penyerahan.

Apalah sangat kudrat orang dari hutan berbanding mereka yang datang dengan lori, pacuan empat roda dan senapang.

Malangnya di Kelantan mereka dakwa diperintah mengikut arahan Tuhan.

Congaknya mudah: keadilan meletakkan sesuatu di tempat selayaknya. Sepastinya standard yang disandarkan kepada parti Islam lebih tinggi, kerana kepimpinan ulama tak terbanding.

Namun kita berdepan satu lagi kes penganiayaan. Di negeri yang obses dengan hukum dan pencegahan.

Sementara itu di Lembah Klang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkunjung ke sebuah gerai nasi lemak tepi jalan di Seksyen 7 Shah Alam. Beliau membawa bersamanya borang permohonan lesen untuk penjaja kecil-kecilan.

Nasi lemak anak dara, diusahakan graduan kejuruteraan elektronik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, viral selepas ia ditutup kerana disaman Majlis Bandaraya Shah Alam.

Siti Hajjar bernasib baik kisahnya mendapat perhatian menteri besar.

Jun tahun ini, seorang peniaga Bazar Ramadhan di Balakong tidak dapat menahan emosi lalu membakar gerai apabila penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang mengangkut peralatan gerainya.

Melalui pencarian di Google, Youtube dan Facebook, terdapat banyak kisah pertembungan antara peniaga kecil dan pihak berkuasa. Secara teknikalnya, penguatkuasa bertindak mengikut lunas undang-undang maka cubaan mengingkarinya seharusnya digagalkan.

Barangkali terhimpit atau dibuang kerja, dalam situasi ekonomi hari ini, makin ramai yang melakukan perniagaan kecil-kecilan, menjadi supir Uber dan Grab dan mungkin juga berdagang Forex dalam talian.

Penulis akui tidak faham matlamat pihak berkuasa dan penggubal undang-undang, yang mungkin bertujuan melindungi orang terbanyak daripada kesan perbuatan orang kecil ini.

Sambil mencari mesin pengisar ais tradisional (warna hijau dengan handle yang pusing-pusing tu) di belakang rumah, penulis merasakan kes peniaga kecil vs penguatkuasa, orang asli vs pembalak berkongsi satu ciri yang sama.

Mereka semua melanggar undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.