Hudud PAS – Realiti atau retorik?

Hudud PAS – Realiti atau retorik?

Adakah maslahat Islam itu hanya berkaitan soal hudud dan adakah ia keutamaan dalam keadaan kesejahteraan, kebajikan dan keadilan rakyat masih tidak stabil?

hudud_law_pas_600_1
Oleh Ilham Mohapad

Ketika artikel ini ditulis, masyarakat Malaysia kembali membincangkan secara serius mengenai persoalan hudud yang kembali dihangatkan sesetengah pihak dalam ruang politik Malaysia hari ini. Persoalan mengenai hudud sudah lama berlegar dalam ruang politik Malaysia sejak mula diperkenalkan PAS atau PMIP sejak awal penubuhannya pada 1955.

Sejak itu, hasrat PAS itu ditentang Umno/BN, namun kebelakangan ini Umno menunjukkan sokongannya terhadap hasrat PAS itu. Matlamat yang digariskan PAS adalah berkehendak menubuhkan negara Islam yang masyarakatnya ditadbir berpandukan kepada Al–Quran dan Sunah.

Namun, sejauh mana negara Islam dikehendaki dan bagaimana pula konsep negara Islam tersebut boleh menghadapi masyarakat bukan Islam yang mendiami dalam ruang negara, perkara itu tidak diperincikan secara jelas daripada pelbagai sudut dan hanya menyuarakan konsep negara Islam tersebut secara umum.

Perkara yang dibawa PAS untuk menjadikan negara ini negara Islam adalah dengan menawarkan kepada umum mengenai hukum hudud iaitu undang-undang syariah (Undang-undang Allah). PAS berpandangan undang-undang sedia ada di Malaysia pada hari ini bersifat sekular (ism) dan perlunya undang-undang Islam bagi menggantikannya. Namun apakah pengertian sekularisme yang difahami PAS?

Prosedur sekularisme

Kebiasaannya umum beranggapan sekularisme ini falsafah yang mencabar pandangan idealis dan keagamaan yang sifatnya jelas dan terang. Namun, pengertian itu tidaklah tepat kerana sekularisme ini mempunyai kepelbagaian pengertian yang tidak tertumpu kepada satu pengertian saja.

Sekularisme mula berkembang di Barat apabila berlaku perpecahan konsensus dalam gereja Katolik dan wujudnya Protestan iaitu pada kurun ke-16 dan 17, maka di situ berkembanglah sekularisasi yang berperanan sebagai penyelesaian prosedur, dan bukan sebagai falsafah atau teori kewujudan. Justeru, adakah sekularisme diperlukan dalam aspek prosedur? Sekiranya perlu, idea yang boleh diketengahkan ialah negara bersifat neutral terhadap agama.

Syariah yang benar?

Walau apa pun pengertian sekularisme yang difahami PAS tidak menghalangnya membawa hudud. Justeru, PAS meminda enakmen berkaitan hudud (Kelantan 2002) untuk ditawarkan kepada masyarakat Malaysia untuk dipaksa terima kepada orang ramai tanpa perlu dipertikaikan. Alasannya, ini undang-undang Allah (syariah) dan sesiapa (Muslim) yang mempertikaikan berdosa besar.

Syariah yang boleh disimpulkan iaitu perkara disyariatkan Allah sama ada dengan Al-Quran ataupun dengan sunnah Nabi ataupun yang dapat melengkapi semua dasar agama, akhlak, hubungan manusia dengan manusia, bahkan meliputi juga perkara yang menjadi tujuan hidup dan kehidupan manusia untuk keselamatan dunia dan akhirat.

Namun begitu adakah benar undang-undang dibawa PAS ini syariah? Sekiranya syariah bolehkah perkara ini boleh dipinda? Bagi PAS, golongan yang mempertikaikan ini berdosa maka apa pula status mereka yang meminda hukum Allah ini? Perkara ini harus difahami dengan jelas yang dipertikaikan itu hanya daripada segi pelaksanaan (maqasid syariah) yang dipinda PAS.

Berdasarkan daripada itu, hudud dilihat dipergunakan dalam memastikan survival politik PAS. Ini dirasakan dengan melihat kepada situasi yang sedang berlaku dalam proses politik di Malaysia pada hari ini.

Kompromi, kepentingan parti dan fitnah

Apabila PKR menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju dengan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Kelantan (hudud) berdasarkan kepada maqasid syariah, PAS dilihat masih boleh bekerjasama dengan parti tersebut namun presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat agak kecewa dan disebabkan itu memboikot dengan tidak hadir dan memberikan sokongan semasa PRK Permatang Pauh yang ditandingi Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 7 Mei 2015.

Namun, kerjasama antara PAS dan PKR masih lagi diteruskan dan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Berbeza pula pendiriannya dengan parti kawannya sebelum ini iaitu DAP yang menyatakan pendiriannya mengenai hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak bersetuju dengan perundangan tersebut. Maka disebabkan kelantangan DAP tidak bersetuju dengan perundangan tersebut PAS memutuskan hubungannya dengan parti itu semasa Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada 2015.

Dalam situasi ini dilihat terdapat sedikit kemusykilan dalam fikiran penulis mengapa PAS masih boleh berkompromi dengan PKR berbanding DAP dalam hal berkaitan pendirian mengenai hudud. Adakah PAS mempunyai kepentingan dengan PKR di Selangor yang membuatkan kompromi itu boleh dilakukan?

Tambahan lagi, PAS kini dilihat secara menerus menyerang DAP dengan memainkan propaganda DAP anti Melayu dan anti Islam, propaganda yang sama digunakan Umno/BN dan kini digunakan PAS juga.
Maka pelbagai isu direka untuk memerangkap persepsi yang buruk dalam kalangan masyarakat Malaysia mengenai DAP terutama mengenai kerajaan negeri Pulau Pinang. Bagaimana kelompok ini boleh menyatakan DAP anti Islam dan anti Melayu?

Sedangkan DAP menjuarai perkara berkaitan Melayu dan Islam di Pulau Pinang. Antaranya isu orang Melayu di Kampung Permatang Tok Subuh yang dibela kerajaan negeri apabila penduduk diberikan penempatan baru dan wang pampasan yang memadai apabila masyarakat Melayu di situ berdepan dengan isu pengusiran paksa.

Selain itu, memperuntukkan 3.49 ekar tanah untuk pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah yang bernilai RM36 juta di Jalan Batu Gantung/Jalan Scotland di daerah Timur Laut, kemudian membiayai pembinaan semula Masjid Umar Abdul Aziz di Batu Maung dengan jumlah peruntukan RM3 juta, tanpa bantuan kerajaan pusat.

Banyak lagi usaha dalam meningkatkan martabat orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang dilakukan. Adakah perkara yang dilakukan DAP ini menunjukkan parti ini anti Melayu dan anti Islam?

Kemusykilan penulis bertambah lagi apabila PAS yang begitu keras menyerang DAP berkenaan pendirian parti tersebut terhadap hudud namun bersikap sebaliknya kepada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan.

Bagaimana PAS boleh bertoleransi terhadap MCA dan Gerakan (tanpa mengeluarkan kata kesat dan memaki hamun) yang dilihat tidak bersetuju juga dengan idea pelaksanaan hudud dibawa mereka?
Presiden kedua–dua parti itu mengancam BN untuk meletak jawatan sekiranya hudud dilaksanakan di Malaysia. Ancaman peletakan jawatan presiden ini disuarakan setelah Rang Undang-undang Persendirian (RUU) dibentangkan bagi membuat pindaan terhadap Bidang Kuasa Jenayah 1965 di mahkamah syariah.

Namun, RUU itu bukanlah hudud namun dianggap hudud. Tetapi persoalannya di sini mengapa PAS bersikap berlainan terhadap parti ini yang tidak bersetuju dengan hudud. Apakah kepentingan yang berselindung di sebalik reaksi ini?

‘Asal ada modal ja’

Pendekatan PAS dalam mengetengahkan hudud dilihat sebagai ‘asal ada modal ja’. Masyarakat yang tidak jelas dan mahu penjelasan terperinci dihukum terus sebagai penolak agama. Sebagai mukmin yang beriman kepada rukun Islam dan rukun iman tidak menafikan wujudnya nas hudud dalam Al-Quran dan sunnah.

Namun perlunya ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat bagi memperincikan hudud ini tambahan berdepan suasana masyarakat berlainan malah kerencaman identiti pelbagai walaupun dalam masyarakat yang sama.

Sehubungan itu, penulis mahu meninggalkan persoalan untuk umum fikirkan iaitu adakah maslahat Islam itu hanya berkaitan soal hudud dan adakah hudud ini menjadi keutamaan dalam keadaan kesejahteraan, kebajikan dan keadilan rakyat masih tidak stabil?

Ilham Mohapad ialah pelajar ijazah sarjana sains politik universiti tempatan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.