Kenderaan berat dan tahap keselamatannya di jalan raya

Kenderaan berat dan tahap keselamatannya di jalan raya

Saban hari kita dikejutkan dengan berita kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan berat seperti lori, treler, dan juga bas.

jem
Oleh Nur Asyikin Aminuddin

Musim perayaan datang lagi. Rakyat Malaysia terutama umat Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang hanya berbaki kurang dua minggu lagi. Namun, ada juga keluarga yang terpaksa menyambut perayaan pada tahun ini tanpa orang yang tersayang kerana maut dalam tragedi kemalangan.

Saban hari kita dikejutkan dengan berita kemalangan yang menyayat hati dan lebih memedihkan hati apabila kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan berat seperti lori, treler, dan juga bas.

Masalah brek pada treler, kenderaan terbabas bukan lagi perkara baru bagi tahun ini sebagai contoh pada minggu lepas sebuah treler membawa muatan besi merempuh plaza tol Subang Jaya. Pada awal tahun lepas juga, sebuah lori yang dikatakan mempunyai masalah brek merempuh beberapa kereta di bahu jalan sehingga mengakibatkan seorang bayi maut dalam nahas tersebut.

Malah terdapat juga kes sebuah lori hantu yang kerosakan brek yang diparkir di kawasan sekolah merempuh beberapa motosikal dan kenderaan lain mengakibatkan ada pelajar maut.

Kes kemalangan paling terbaru di Lebuhraya PLUS, sebuah treler dikatakan terbabas dari lorong kanan merempuh beberapa kenderaan sehingga mengakibatkan seorang ibu dan bayinya meninggal dunia.

Persoalannya adakah treler itu menggunakan lorong paling kanan semasa kejadian itu berlaku? Sepanjang pemerhatian penulis yang kerap juga menggunakan Lebuhraya PLUS sememangnya terdapat beberapa kenderaan berat seperti treler, lori malah pengangkutan awam seperti bas yang menggunakan lorong paling kanan.

Perkara ini jelas menyalahi undang-undang jalan raya malah terdapat papan tanda melarang kenderaan berat memasuki lorong paling kanan. Namun begitu, masih terdapat segelintir pemandu kenderaan berat mementingkan diri sendiri dengan memasuki lorong yang tidak sepatutnya dibenarkan.

Jika masalah brek pada kenderaan berat masih tidak dibendung, tidak mustahil berlaku lagi siri rempuhan daripada kenderaan berat ini. Secara tidak langsung, kita sebagai pengguna jalan raya seolah-olah memperjudikan nyawa masing-masing terutama ketika bertemu dengan kenderaan berat di atas jalan raya. Impak rempuhan daripada kenderaan berat akan memberi kesan amat dahsyat kepada kenderaan yang dirempuhnya.

Bagaimanapun, agensi kerajaan yang berkaitan mengeluarkan kenyataan kenderaan berat dilarang masuk pada 2,3,9, dan 10 Julai kerana tarikh itu merupakan waktu kemuncak orang ramai pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan.

Diharap agensi kerajaan berkaitan turut membuat kajian melanjutkan tempoh pengecualian kenderaan berat ini pada waktu kemuncak ketika orang ramai berpusu-pusu keluar ke tempat kerja dan pulang ke rumah di jalan utama dan setiap lebuh raya utama di ibu negara yang sentiasa sesak terutama jika terdapat kenderaan berat rosak.

Australia mempunyai satu set undang-undang untuk kenderaan berat di bawah Undang-undang Kenderaan Berat Negara yang ditadbir Regulator Kenderaan Berat Negara. Salah satu usaha mereka ialah untuk memantau tahap keselamatan khusus untuk kenderaan berat.

Akhir kata, pemilik kenderaan berat perlu menggunakan masa yang ada sebaik mungkin dalam memastikan barangan yang perlu dihantar ke tempat sepatutnya tiba dalam waktu ditetapkan.

Majikan juga perlu memastikan pekerjanya yang memandu kenderaan berat mendapatkan rehat secukupnya supaya pemanduannya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya lain. Diharapkan pihak terlibat tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Kepada pemandu kenderaan ringan dan motosikal juga, diharap dapat memandu dengan penuh cermat dan berhemah dan ingatlah wajah orang tersayang di kampung halaman yang sedang menanti kepulangan anda.

Anda juga dinasihatkan supaya jangan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong kenderaan lain. Biar lambat, asalkan selamat!

Nur Asyikin Aminuddin daripada Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.