Pengangkutan awam: Lambat, meter lebih, cuba mencuri

Pengangkutan awam: Lambat, meter lebih, cuba mencuri

Daripada berjuang isu yang tidak kena-mengena, apa kata pihak politik dan pihak berkuasa berjuang pasal isu pengangkutan awam?

pengangkutan-awam

Dua rakan dalam dua muat naik berbeza di laman sosial Facebook tetapi berkaitan satu isu, pengangkutan awam.

Rakan A mengadu dia tiba di stesen KTM Kampung Raja Uda berdekatan rumahnya, pada pukul 11.30 pagi dan tren hanya sampai pada pukul 12.20 tengah hari.

“1 jam 10 minit untuk sampai Bank Negara dan sekarang 1.40 petang, perkhidmatan tren tergendala di KL Sentral.

“Kami keluar dari tren,” tulisnya.

Rakan B pula menceritakan pengalaman dia bersembang dengan seorang pelancong dari Australia dan betapa memalukan baginya apabila pelancong itu memberitahu kelemahan sistem teksi dan sikap pemandu itu sendiri.

“Sambil menunggu di lobi boraklah dengan pelancong dari Australia. Dia so kecewa dengan pemandu teksi Malaysia yang sudahlah tak ikut meter, charge mahal lepas tu cuba untuk mencuri duit dari handbag dia. So I cakaplah that’s why orang KL now prefer Grab Car and Uber. Walaupun I bukan pemandu teksi, tetapi tumpang malu dengan pengalaman buruk dia dgn taxi kat Malaysia. I suruh ja dia naik train pi jln TAR.”

Kedua-dua pengalaman secara langsung dan tidak langsung menggambarkan sedikit sebanyak realiti sistem pengangkutan awam di negara kita.

Memanglah dua pengalaman itu tidak mewakili sepenuhnya, malah tidak dinafikan dalam kebanyakan masa kita harus bersyukur dengan sistem yang ada dan bukan semua pemandu teksi seperti yang diceritakan.

Cuma bila pengalaman seperti ini dikongsi dan ramai pula yang mengakuinya benar, ia seolah-olah ‘mengiyakan’ betapa banyak yang perlu diperbetulkan.

Baru beberapa hari lalu, Perdana Menteri dalam satu perutusan di blognya menulis tentang perkara yang sama. Beliau tidak mengupas apa-apa isu, beliau cuma bercakap mengenainya.

Jadi, siapa pula daripada kalangan pihak perkuasa dan berpengaruh (orang politik) yang akan bercakap mengenai isu yang berkaitan dengannya?

Ikutkan, rakyat dan pengguna adalah kuasa paling terbaik. Kalau saya mengadu, kalau anda mengiyakan, kalau kita melapor, itu memang ‘ada power’. Namun sejauh mana ‘power’ ini boleh dibawa.

Semalam saya memandu ke Lapangan Terbang Skypark terminal di Subang Jaya. Jalan penuh dengan halangan pembinaan. Saya faham, semuanya demi memperbaiki dan mengemas kini sistem pengangkutan jalan.

Pembinaan MRT di sekitar kawasan itu mengorbankan keselesaan pemandu kenderaan jalan pensendirian. Tak mengapa, yang penting selepas bina, kita semua selesa, dari anak ke cucu cicit.

Namun apakah jaminan kerajaan dan pihak berkuasa bahawa masalah yang kita hadapi sekarang tidak akan berulang?

Kalau selepas bina MRT taraf lima bintang pun masih ada masalah kesesakan, trafik tidak lancar dan rungutan terhadap pengangkutan awam, saya pun tak tahu apa nak cakap. Buang duit sahaja alamatnya!

Saya harap dalam masa menyediakan MRT dan sistem tren yang lebih canggih dari segi teknikal, pihak berkuasa juga tampil ‘bertemu’ dengan pengguna awam seperti kami dan ‘troubleshoot’ dahulu masalah yang sedia ada.

Nak pergi Kuala Lumpur dari Shah Alam naik tren KTM janganlah sampai 2 jam setengah pulak (termasuk waktu menunggu). Minta ada pihak yang boleh ‘pasang mata dan telinga’. Ini saya belum cerita pasal bas dan pengangkutan lain.

Dalam pada itu seorang lagi rakan Syahril A. Kadir kebetulan berkongsi pengalamannya menaiki dan penggunakan perkhidmatan kelas ‘A’ pengangkutan awam di Melbourne Australia.

“Hari ni aku saja nak test betapa efficient dan sistematiknya sistem pengangkutan di Melbourne. Aku sengaja pilih kawasan luar bandar bernama Dandenong, kira-kira 50km dari pusat bandar.

“Aku sengaja tak nak google…aku anggap aku betul-betul anak kampung yg tak tau apa-apa…aku nk test boleh tk depa explain kat aku sampai aku betul-betul sampai di tempat tujuan.

“Bila aku sampai kat information counter kat stesen keretapi, aku hanya sebut TUJUH perkataan – I WANT TO GO TO DANDENONG MARKET.

“Dengan penuh senyuman, tak sampai dua minit, mat salleh di kaunter tu terus print sekeping kertas kat aku. Map pun depa tolong cetak sekali kat aku bro!

“Kat kertas tu nyatakan siap…aku perlu naik keretapi apa, platform mana, pukul berapa train sampai, berapa lama perjalanan. Tak cukup dgn itu, siap explain kalau jalan kaki nak gi market tu ikut lorong mana, kalau nak naik bas pula naik yg nombor berapa!

“Pendek kata, complete A sampai Z!

“Total perjalanan aku naik train dan berjalan kaki kalau ikut perkiraan mereka adalah 1 jam 6 minit. Nak tau aku amik masa berapa lama? Hanya lewat 5 minit! Itupun sebab aku dok sibuk selfie!

“Salute…mmg salute!” tulisnya.

Beliau yang juga bekas wartawan dan penulis buku Kriminal; Catatan seorang wartawan jenayah, juga memberitahu, sistem layanan perkhidmatan pelanggan yang diberikan juga sangat baik sehingga siapa sahaja yang melawat negara itu tidak akan tersesat.

Bukankah menarik jika pelancong kita juga bercakap sama mengenai sistem pengangkutan kita? Inikan, masalah kita sendiri pun tak terbela atau diselesaikan.

Jadi, pelancong asing, lagi-lagi dari negara Barat dan maju, hmm… jangan haraplah!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.