Terima kasih insan bernaluri ibu

Terima kasih insan bernaluri ibu

Hari Ibu bukan hanya untuk golongan yang bernasib baik membina keluarga, tetapi ia sambutan untuk setiap insan yang mempunyai naluri keibuan.

kasih-ibu

Setiap insan yang lahir di muka bumi ini berterima kasih kepada seorang wanita, dan wanita itu ialah ibunya.

Pada sambutan Hari Ibu tahun ini, saya mahu berterima kasih kepada semua wanita, termasuk yang belum menjadi ibu dan yang belum berkahwin.

Ini kerana saya sedar, kasih sayang bersifat keibuan tidak semestinya berpusat pada wanita yang melahirkan kita.

Di dunia ini, ramai wanita yang secara fizikal belum menjadi ibu namun tetap dikurniakan naluri keibuan kerana mereka insan terpilih yang direstui Yang Maha Esa.

Justeru, saya ingin menggunakan peluang ini untuk menyambut semua wanita yang mempunyai naluri seorang ibu, lebih daripada wanita yang mengandung dan melahirkan anak.

Satu hakikat yang perlu saya kongsi, ramai wanita yang sudah bertahun mendirikan rumah tangga sanggup membuat apa sahaja untuk mengandungkan anak. Sekali mereka melihat bayi atau kanak-kanak, mereka lupa diri dan sanggup lakukan apa sahaja, asalkan kanak-kanak itu bahagia.

Tetapi dalam masa yang sama kita juga didedahkan dengan kebenaran yang pahit tentang ibu-ibu kandung yang sanggup membuang, mencederakan atau mendera anak mereka. Biarpun sembilan bulan berkongsi tubuh yang sama, mereka masih tidak dapat membina sifat keibuan itu.

Ini membuktikan bukan semua orang boleh menjadi ibu.

Oleh itu, sekali lagi, saya ingin mendedikasikan Hari Ibu kali ini kepada mereka yang mempunyai naluri keibuan, tidak kira tak pernah melahirkan anak atau yang masih bujang !!!

Contoh paling unggul, dekat dan berpengaruh ialah Mother Teresa. Siapa tidak mengenal beliau, walaupun bukan secara mendalam tetapi semua orang tahu sebagai seorang biarawati beliau tidak pernah berkahwin tetapi menjadi ikon ‘ibu’ yang paling gah di dunia.

Buktinya, satu dunia menangisi pemergian wanita yang lahir di Macedonia tetapi mengorbankan seluruh hidupnya untuk kebajikan kanak-kanak di India. Ia bukti kehebatan seorang wanita yang mendukung nilai keibuan tidak terhingga kepada kanak-kanak tanpa mengira usia, bangsa, warna kulit dan agama walaupun hakikat sebenar, mendiang tidak pernah berkahwin dan melahirkan anak.

Di Malaysia juga kita mempunyai ikon seperti Mother Teresa. Beliau ialah Datin Paduka Mother A Mangalam yang mengorbankan hidupnya untuk kanak-kanak yatim dan tidak bernasib baik atau dari keluarga bermasalah. Beliau adalah salah seorang pengasas bersama dan pengetua rumah kebajikan, Pure Life Society (PLS) sejak 50 tahun yang lepas. Mother Mangalam banyak berjasa membesarkan kanak-kanak tanpa mengira latar belakang hingga mereka benar-benar berjaya dalam hidup, ramai daripada mereka kini berkerjaya tinggi. Dihargai dengan pelbagai anugerah, jasa wanita seperti beliau tidak boleh hanya diukur dalam aspek material semata-mata.

Kedua-dua mereka adalah ikon yang terkenal di seluruh dunia, ramai lagi insan seperti mereka yang memperoleh pendedahan dan perhatian dunia, tetapi saya pasti kita juga dikelilingi insan seperti mereka. Jiran anda, adik-beradik anda, makcik anda, orang tua di tempat anda, atau sesiapa sahaja!

Saya sendiri mengenali ramai orang termasuk dua orang mak cik saya yang menjadi ibu kedua dan ketiga kepada saya. Rakan saya yang terlalu sayangkan kanak-kanak hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka walaupun belum berpeluang melahirkan anak sendiri. Adik dan sepupu yang masih bujang tetapi menjadi orang yang paling boleh dipercayai untuk menjaga anak-anak saya…

Saya melihat naluri seorang ibu dalam diri mereka.

Tidak dilupakan penjaga dan mereka yang mendedikasikan diri mereka di rumah kebajikan, anak yatim dan kanak-kanak kelainan upaya. Pengalaman sendiri di sebuah rumah kebajikan OKU di Petaling Jaya, beberapa muda-mudi mendedikasikan setiap hujung minggu menjaga kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

Menyuap nasi, mengajar tusyen, mendidik moral, membantu pergerakan fizikal, membersihkan mereka, saya amat terharu melihat remaja yang usianya tidak sampai pertengahan 20-an. Bagi saya, mereka juga harus disambut pada Hari Ibu.

Jangan hanya kerana mereka tidak dikurniakan nikmat yang kita kecapi, kita mengecilkan atau mengabaikan naluri keibuan mereka.

Sekali lagi saya dedikasi Hari Ibu ini kepada golongan ini tidak kira siapa sekalipun mereka termasuk golongan transgender yang turut memiliki sifat keibuan seorang wanita!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.