Mari kita ikut logik Tian Chua

Mari kita ikut logik Tian Chua

Jika ikutkan logik pembangkang rakyat harus maafkan sahaja apa jua yang dilakukan oleh pembangkang dan sekutu rapat mereka tetapi hukumlah sekeras-kerasnya apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan.

tian-chua-mahathir

Oleh Edwin Michael

Izinkan saya untuk mengulas tentang kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam FMT baru-baru ini iaitu dosa dan kesalahan lampau yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mentadbir negara selama 22 tahun merupakan urusan beliau dengan Tuhan.

Dalam erti kata lain, kenyataan Tian Chua ini saya terjemahkan sebagai rakyat perlu memaafkan Mahathir, abaikan dosa liwat Anwar Ibrahim dan sokonglah Pakatan Harapan. Bak kata orang putih, “as simple as that!”.

Logik Tian Chua

Penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam skandal-skandal terbesar dinegara seperti skandal Forex pada awal 90-an yang melibatkan RM30 bilion, skandal The Perwaja Steel (RM10 bilion), skandal BMF (RM10 bilion) serta skandal Maminco (RM1.6 bilion) tidak boleh dinafikan. Malah skandal BMF merupakan antara skandal yang paling serius dalam industri perbankan dunia ketika itu. Mustahil seorang Perdana Menteri ketika itu tidak mengetahui langsung akan skandal ini. Cukup mustahil. Namun bak kata Tian Chua, itu antara Tun Dr. Mahathir dan Tuhan.

Bagaimana dengan Anwar Ibrahim dan kes-kes liwatnya serta kehilangan jam tangan rolexnya? Ikutkan logik Tian Chua, itu antara Anwar Ibrahim dan Tuhan.

Bagaimana pula dengan tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dan beramah mesra dengan Puteri Jacel H Kiram sambil memegang poster ‘Bebaskan Anwar Serta Merta’? Juga jika ikutkan logik Tian Chua, itu antara Nurul Izzah dan Tuhan.

Logik Rafizi Ramli dengan Langkah Kajangnya dan tuduhan fitnah terhadap Tabung Haji juga antara Rafizi Ramli dan Tuhan. Jangan lupa bagaimana bekas Menteri Besar Selangor ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim diaib dan difitnah oleh politikus-politikus PKR ini. Biarkan, itupun antara mereka dan Tuhan. Siapa kita untuk persoalkan semua ini.

Pembangkang dan Tuhan

Peranan ‘Tuhan’ oleh pembangkang yang memaafkan serta menghalalkan apa sahaja dosa-dosa yang pernah dilakukan dalam kalangan sesama mereka adalah amalan politik yang sangat berbahaya. Seolah-olah memberikan satu mesej yang jelas bahawa tidak kira betapa rendahnya moraliti seseorang individu tetapi sebaik sahaja bersetuju untuk ‘bersekedudukan’ dengan pembangkang maka dosa-dosa individu itu akan terhapus dengan sendirinya.

Dalam konteks yang lebih jelas lagi ialah apabila pegawai Kementerian Belia dan Sukan didedahkan dengan pembabitan rasuah dan penyelewengan kewangan hampir RM100 juta, Khairy Jamaluddin menggalas beban kesalahan itu dan serta merta melancarkan siasatan peringkat kementeriannya.

Tetapi apabila Ketua Menteri Pulau Pinang dikaitkan dengan skandal pembelian banglo dan penjualan tanah Taman Manggis serta persoalan tentang siapa Miss Phang Li Koon ini diungkitkan, lain pula nada jawapan pembangkang. Tiada seorang pun yang menggesa Lim Guan Eng untuk meletakkan jawatan mahupun menubuhan pasukan siasatan bebas untuk menyiasat kredibiliti kepimpinan Lim Guan Eng ini?

Malah tiada pula mana-mana politikus pembangkang yang cuba menjadi ‘Tuhan’ menghukum Ketua Menteri Pulau Pinang ini. Disinilah logik Tian Chua digunapakai. Sesungguhnya, ini antara Lim Guan Eng, Ms Phang Li Koon dan Tuhan.

Jika ikutkan logik saya pula, hanya pemakan dedak (sekadar meminjam kata-kata Khairuddin dan Anina) sahaja yang akan menerima pakai logik Tian Chua ini.

Dan realitinya, dalam politik pembangkang dinegara ini, Tuhan pun dipolitikkan! Alahai pembangkang.

Edwin Michael merupakan seorang Pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan serta Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang media dan politik di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Perak.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.