Saya baru sahaja saya baca muka depan surat khabar The Sun. Tajuk utamanya, catchy tetapi berita di dalamnya sangat dekat dengan diri saya.
‘Tip of the iceberg’, itu tajuk yang menghiasi dada akhbar itu, disusuli dengan tajuk kecil yang menerangkan intipatinya iaitu, ‘Jumlah kehilangan kerja lebih tinggi memandangkan VSS tidak termasuk’.
Benar, sangat benar. Saya sendiri melihat dan mengalaminya. Apabila kos sara hidup menekan kedua-dua suami dan isteri bekerja dengan menjana lebih daripada dua pendapatan, namun keadaan ekonomi dan sosio-politik pula bertindak sebaliknya.
Seperti saya, suami saya diberhentikan kerja sejak lima bulan yang lalu atas alasan seluruh ‘department’nya akan dipindahkan ke China. Sehingga ke hari ini, dia masih mencari kerja dan keluarga saya terpaksa bergantung kepada pendapatan saya seorang.
Keadaan ini sememangnya merumitkan, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua kami berkerjaya professional.
Samalah juga dengan kandungan dalam berita di akhbar percuma di negara ini. Menurut laporan itu, kira-kira 6,533 pekerja dari 114 syarikat kehilangan pekerjaan sejak bermulanya tahun ini dan angka ini dikatakan hanya ‘tip of the iceberg’ memandangkan lebih ramai pekerja yang diberikan persaraan sukarela (VSS) tidak dikira bersama.
Laporan sama menyatakan tindakan kerajaan melaksanakan gaji minima RM1,000 sebulan kepada pekerja di Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak sebagai punca utamanya.
“Majikan melihat pilihan memberhentikan pekerja sebagai cara mengurangkan kos. Malah, pemberhentian kerja ini dijangka mencapai kemuncak pada bulan Julai ini apabila gaji minima dilaksana sepenuhnya,” kata Datuk Shamsuddin Bardan daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Beliau juga menegaskan jumlah ini tidak menyertakan pekerja asing yang turut mengalami nasib yang sama. Ini bermakna, di sebalik diam-diam kita melihat warga asing membanjiri negara termasuk dibawa masuk secara segar, golongan ini juga turut terlibat dalam pemberhentian kerja yang akan menjadi parah selepas inisiatif gaji minima dilaksana.
Terfikir juga jika pelaksanaan gaji minima yang dilaung-laungkan oleh pelbagai pihak ini sebenarnya membawa kesan positif atau sebaliknya melihatkan kepada kesan sesi pra-pelaksanaanya yang sudah cukup mengerunkan. Terfikir juga, daripada memperoleh lebihan RM100 sebulan, adalah lebih baik jika kita mempunyai pekerjaan untuk survival diri dan keluarga.
Jangan kerana extra RM100 itu, ramai pula yang kehilangan kerja, menganggur, terpaksa berlapar termasuk dengan keluarga atau lebih buruk terjebak dalam aktiviti jalan pintas yang haram seperti mencuri, meragut dan sebagainya.
Tidak dilupai kisah seorang lelaki, bapa kepada tiga orang anak yang terpaksa mencuri demi anaknya selepas dia kehilangan kerja dan isterinya tidak sihat di hospital. Mujur dia diberi tawaran kerja, tetapi bagaimana pula dengan yang lain?
Saya merasakan semakin banyak kes-kes ragut, curi, rompak dan sebagainya berlaku akhir-akhir ini di Malaysia ada hubung-kaitnya dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sehingga menekan manusia mengambil apa sahaja langkah untuk ‘makan’ dan terus hidup.
Saya tidak mahu berdebat atau menafikan mahupun menolak pelaksanaan gaji minima sebagai satu langkah tidak baik atau tidak patut. Apa yang cuba saya sampaikan mungkin, mungkin ini bukan masanya selain pihak majikan dan kerajaan harus memikirkan mekanisme yang wajar supaya pelaksanaan gaji minima ini tidak menyebabkan ramai pekerja ‘hilang kerja’ dan menganggur. Kalau negara lain boleh beri gaji tinggi dan peluang pekerjaan yang tinggi, saya pasti Malaysia juga boleh berbuat demikian cuma kita perlukan kaedah pelaksanaan yang efektif.
Berbalik kepada situasi saya sendiri, walaupun berita di atas menekankan pekerja kolar biru saya juga percaya ramai pekerja kolar putih juga belum diambil kira dalam statistik ini dan tahap keparahan status mereka yang diberhentikan kerja jauh lebih buruk.
Jurutera, pegawai bank, juruteknik, pegawai IT, pakar komunikasi dan sebagainya yang terkesan diberhentikan kerja atas pelbagai sebab. Kepakaran mereka disia-siakan dalam tempoh masa ini dan saya seru supaya kerajaan juga mengambil langkah untuk menangani masalah kekecewaan ini.
Kita semua tahu, mereka adalah modal insan negara ini yang sepatutnya mempunyai kerjaya yang terjamin kerana mereka juga mampu menjana ekonomi negara. Malangnya, keadaan semasa telah menolak golongan ini termasuk graduan baharu untuk terus hidup tertekan selepas diberhentikan kerja dan tidak dapat mencari pekerjaan baharu.