Boleh buat jalan bertingkat di Lebuhraya Persekutuan?

Boleh buat jalan bertingkat di Lebuhraya Persekutuan?

Pembangunan di sepanjang Lebuhraya Persekutuan kelihatan menakjubkan tetapi jika kita tiada sistem pengangkutan yang baik, ia bakal memberi kesan tambahan kepada kesesakan jalan yang sudah sedia wujud.

federal hihway

Berita mengenai pembukaan persimpangan bertingkat Kajang Utama di Lebuh Raya Kajang SILK pada malam semalam (Khamis) sememangnya mengujakan. Walaupun saya tidak kena mengena dengan Kajang, saya berasa bersyukur demi pemandu di kawasan itu.

Persimpangan bertingkat itu dikatakan mampu memberi manfaat kepada 25,000 pengguna menikmati aliran trafik yang lebih lancar. Pemandu untuk ke Kajang Utama dari arah Kajang dan Putrajaya dijimatkan sehingga lima minit dengan pengurangan jarak perjalanan sebanyak 4 kilometer (km). Perjalanan dari Kajang Utama ke arah Semenyih dan Sungai Long pula, juga dapat dijimatkan tempoh perjalanan sehingga 8 minit.

Menarik bukan? Mengujakan? Bagaimana jika setiap kita juga dapat menikmati keselesaan yang sama? Lebuh raya bertingkat yang menjimatkan masa, tenaga dan petrol…

Saya dari Shah Alam dan perjalanan ke pejabat di Damansara mengambil masa kira-kira sejam. Waktu pulang pula boleh jadi lebih dari sejam. Bayangkan, setibanya di rumah, berapa banyak masa berkualiti yang dapat diluangkan bersama keluarga…

Saya sebagai pemandu dan pemaustatin di bandar raya yang dalam radius 30 kilometer dari Kuala Lumpur merasakan pembangunan aktif sebagai punca utama kesesakan jalan raya. Tiap kali ada bangunan baru dibina, saya gerun memikirkan impaknya ke atas jalan raya.

Bangunan-bangunan pencakar langit dan pembangunan fizikal yang lain di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, buatkan saya rasa sesak nafas. Tak usah pergi jauh, daripada Tol Sungai Rasah sempadan Klang-Shah Alam di i-City hinggalah ke Kuala Lumpur, lihat sahaja berapa banyak pembangunan giat dijalankan.

Perlukah bangunan ini didirikan betul-betul tepi highway dan sebaik siap dibina, diduduki atau beroperasi, bayangkan jumlah kenderaan yang akan keluar masuk ke bangunan ini, walhal menggunakan Lebuhraya Persekutuan?

Di tempat saya sendiri, Seksyen 22 Shah Alam, ketika saya beli rumah, lima tahun dahulu hanya terdapat empat bangunan pangsapuri, kini ia meningkat dua kali ganda dan semuanya berdensiti tinggi. Ini, tidak termasuk bangunan komersial dan pembangunan lain di sekitar kawasan perumahan saya.

Bertentangan dengan pangsapuri saya pula, menyeberangi Lebuhraya Persekutuan, iaitu di Seksyen 13, pembangunanya lebih aktif akhir-akhir ini di mana terdapat kediaman bertingkat, kolej, komersial dan terbaharu, sebuah pusat beli-belah yang boleh tahan besarnya.

Selepas ini, susur keluar dari rumah saya ke highway pun saya sudah kena bajet masa setengah jam! Dekat tol Batu Tiga, mesti bertengkek lagi kenderaan!

Betul-betul di hadapan tapak pembinaan stesen MRT di Subang Jaya sebuah bangunan komersial mega di bina, namun saya tidak pasti di mana jalan keluar masuk. Kalau dekat jalan menghala Lapangan Terbang Subang, kasihanlah mereka yang mengejar penerbangan. Sudahlah jalan itu juga sesak dengan pembangunan, selalu dalam pembinaan, saya tak dapat ramal masa depannya.

Tidak ketinggalan pembangunan tepi lebuhraya di sekitar Sunway, Petaling Jaya hinggalah ke Kuala Lumpur ada sahaja bangunan dibina.

Saya pasti ia bukan rungutan saya seorang tetapi berjuta orang pemandu Lebuhraya Perseketuan sepanjang masa. Mungkin pihak berkuasa, tidak kira dari kerajaan negeri atau Persekutuan perlu lakukan sesuatu kepada pemandu seperti saya yang makin hari makin bertambah, di sepanjang lebuhraya Persekutuan itu.

Kami tak mahu ambil masa 4 jam memandu ke Kuala Lumpur dan balik 4 jam lagi untuk balik…. tolonglah…

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.