
Cadangan itu yang bermula melalui hubungan dengan Hoki Australia Barat (HWA), menggariskan kerjasama berstruktur bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk memperkukuh sistem kejurulatihan, memperluas laluan pemain, dan mempersiapkan generasi mendatang bagi persaingan elit di peringkat antarabangsa.
Ia mula mendapat momentum dalam struktur kebangsaan sebelum pertukaran jurulatih baru-baru ini.
Kini, fasa seterusnya bergantung kepada sejauh mana MHC menyelaraskan kepimpinan dan keutamaan mereka dalam beberapa minggu akan datang.
Bekas penjaga gol Malaysia, James D’Cruz, yang kini menetap di Perth, memainkan peranan utama dalam membawa cadangan untuk diberi perhatian MHC.
Beliau berkata, usaha berkenaan tercetus daripada keinginan mahu menyumbang kepada masa depan jangka panjang hoki Malaysia, bukannya atas sebarang kepentingan peribadi.
“Saya melakukan ini demi cinta terhadap hoki Malaysia,” katanya. “Kita sentiasa mempunyai bakat, tetapi kita perlu membina satu sistem konsisten melahirkan pemain yang bersedia untuk tahap tertinggi.”
Cadangan tersebut sampai kepada Presiden MHC Subahan Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pembangunan Majid Manjit Abdullah, serta Sarjit, dan difahamkan diterima secara positif.

Rancangan berkenaan dijangka akan diteruskan melalui jawatankuasa kejurulatihan, sebelum kontrak Sarjit tidak disambung.
Naikkan standard, bukan hanya keputusan
Intipati utama cadangan itu adalah peralihan penekanan — daripada keputusan kejohanan jangka pendek kepada pembinaan sistem jangka panjang.
Pengurus Kanan HWA bagi Prestasi, Laluan Bakat, Libat Urus Asia, Tristram Woodhouse, berkata inisiatif tersebut menumpukan penerapan tatakelola dan standard yang menentukan persekitaran berprestasi tinggi.
“Objektifnya adalah untuk menyelaraskan jurulatih dan pemain demi matlamat jangka panjang bersama, mewujudkan laluan jelas prestasi, serta mewujudkan konsistensi latihan dan permainan,” katanya.
“Ia mengenai membina budaya di mana kebertangguingjawaban, pembelajaran, dan kecemerlangan menjadi sebahagian persekitaran harian, bukan sekadar jangkaan pada hari perlawanan.”
Komponen utama antaranya mengenai program pendidikan jurulatih berstruktur selama dua tahun dikendalikan secara bersama dengan
MHC.
Program itu memperkenalkan metodologi kejurulatihan moden, alat analisis prestasi, dan pendekatan berasaskan data untuk pembangunan serta pemilihan pemain.
Ia juga bertujuan menyatukan falsafah kejurulatihan merentasi pelbagai peringkat permainan, satu bidang yang sering dikenal pasti menjadi jurang dalam struktur semasa di Malaysia.

Melabur demi generasi baharu
Perkongsian berkenaan memberi penekanan khusus kepada kumpulan umur bawah 16 (B16) dan bawah 18 (B18), yang dianggap secara meluas sebagai peringkat paling kritikal dalam pembentukan atlet elit.
Pemain dalam kategori itu akan dibangunkan merentasi lima bidang teras: kemahiran teknikal, pemahaman taktikal, penyediaan fizikal, daya tahan mental, dan disiplin diri.
Bagi menyokong laluan ini, HWA mencadangkan siri berprestasi tinggi B18 Australasia, yang dirancang untuk mendedahkan pemain muda kepada intensiti perlawanan antarabangsa, sambil memberi platform kepada jurulatih untuk menerapkan prinsip moden secara masa nyata.
Siri berkenaan diunjurkan bermula tahun ini dengan penyertaan Malaysia dan Australia Barat, sebelum diperluas merangkumi pasukan dari negara seperti Korea dan Jepun.
Ia sekali gus boleh berkembang menjadi pertandingan serantau yang lebih luas yang mampu meningkatkan standard melalui pendedahan dan kerjasama yang berterusan.
Hala tuju didukung Sarjit
Sarjit menyifatkan cadangan terbabit satu langkah besar ke hadapan demi hoki Malaysia.
“Ini adalah program yang sangat baik, sesuatu yang berbeza dan sesuatu yang kita perlukan,” katanya. “Ia memberi tumpuan kepada pembinaan pemain melalui cara yang betul, bukan sekadar bersiap sedia untuk kejohanan seterusnya.”
Katanya, beliau telah bertemu dengan pegawai HWA dalam satu siri jelajah ke Perth baru-baru ini bagi meneroka bagaimana perkongsian tersebut dapat dibentuk.
“Kami membincangkannya secara terperinci, dan saya sememangnya berharap menjadi sebahagian daripadanya,” katanya. “Jika dilaksanakan dengan baik, ia mampu membawa hoki Malaysia ke satu tahap berbeza.”
Sarjit percaya kerjasama itu menawarkan peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh struktur pembangunannya secara
mampan.
“Kita memerlukan konsistensi dalam kaedah kita berlatih, cara kita mengenal pasti pemain, dan cara kita mempersiapkan mereka untuk hoki antarabangsa,” katanya. “Perkongsian seumpama ini dapat membantu kita membina asas itu.”
Beliau menambah, pendedahan kepada persekitaran berprestasi tinggi yang sudah mantap akan membantu merapatkan jurang dengan kuasa hoki dunia.
“Jika kita mahu bersaing dengan yang terbaik, kita perlu berlatih dan berfikir seperti mereka,” katanya.
Apa seterusnya
Cadangan dirangka kini kekal di atas meja. Perkembangannya terletak di bahu MHC dan bagaimana mereka memilih untuk melangkah ke hadapan di bawah struktur sedia ada.
Bagi hoki Malaysia, kepentingannya melangkaui sekadar satu program tunggal.
Ia mewakili satu rangka kerja sedia ada untuk memperkukuh pembangunan di setiap peringkat — daripada laluan bakat muda sehinggalah kepada standard kejurulatihan.
Sama ada rangka kerja itu diterima pakai, diubah suai mahupun ditangguh, ia akan menentukan sejauh mana sukan ini bertindak balas terhadap cabaran yang muncul sejak beberapa bulan kebelakangan ini.