Antara kawan, gusti dan politikus

Antara kawan, gusti dan politikus

Mahathir ibarat Hulk Hogan yang sudah tua tetapi masih mampu menggeletar 'naik syeikh' memukul lawan.

mahathir-najib,gusti

Oleh Ronasina

Saya masih ingat 80an adalah tahun kebangkitan sukan gusti. Ia seiring dengan popularnya alat pemain video VHS. Jadi, orang boleh menyewa pita video gusti dan menontonnya sehingga datang ketagihan.

Di rumah, warung kopi, restoran dan di mana sahaja video gusti dipasang. Kanak-kanak, orang tua, anak muda malah wanita pun meminatinya. Siapa tidak tonton gusti dianggap ketinggalan. Tidak kira waktu biasa, pada acara keramaian seperti kenduri kahwin sehinggalah mengunjungi rumah kawan di hari raya, gusti menjadi menu wajib.

Masalahnya ramai peminat gusti ini menyangka sukan hiburan itu benar lagi nyata. Mereka percaya sungguh yang penggusti anu itu baik, yang ini pula jahat. “Dia ini dulu kawan sekarang musuh, dulu Hulk Hogan musuh ketat Roddy Piper tapi sekarang bergabung hendak belasah Mr. Wonderful yang belot.” Sampai berdebat dan bertekak dengan kawan sendiri untuk membuktikan siapa lebih tahu tentang gusti.

Walhal masing-masing membawa watak yang diberi. Ada pendapat mengatakan Roddy Piper dibayar lebih mahal daripada Hulk Hogan kerana keberkesanan peranan jahat yang dibawanya sehingga tiket laris dijual. Penonton memenuhi stadium kerana sangat ingin melihat Roddy Piper dilanyak oleh Hulk Hogan.

Begitulah juga dengan dunia politik. Seperti gusti. Ada memegang watak baik, jahat, ganas, bodoh-bodoh alang, pondan, talam dua muka dan macam-macam lagi. Ketika Perang Teluk 1990, muncul pula watak wira Amerika melawan Orang Arab. Kesempatan menebarkan agenda mungkin atau juga parodi.

Ada adegan pukul curi, cabar-mencabar bertekak menunjukkan skil menggunakan mikrofon, Ada babak bekerjasama dengan musuh, ada babak pembelotan. Paling tak tahan ada situasi seorang penggusti kesukaan dibelasah musuh lebih dari seorang sementara pengadil boleh tidak nampak kerana sibuk mengawal pihak lain. Di bilik persalinan semua penggusti ini berkumpul, minum bir, cucuk ubat penahan sakit sambil menghitung gaji.

Dan kita di kerusi penonton bergaduh. Sesama kawan atau keluarga. Suami isteri bercerai kerana berbeza parti, kawan sekampung yang rapat sejak kecil terus tidak bertegur kerana seorang penyokong Haji Hadi dan seorang lagi pemuja Mat Sabu. Pinangan sang jejaka ditolak oleh bapa si dara kerana bapa si dara penyokong Najib sementara bapa si uda orang kuat Mahathir.

Persahabatan, persaudaraan mereka yang lama bertaut, lama mengenal hati budi masing-masing terkoyak langsung demi mempertahankan sosok politikus yang mereka sungguh-sungguh percaya walaupun seumur hidup hanya melihat sosok pujaan mereka ini di pentas ceramah atau di media.

Janji-janji yang disogokkan oleh politikus pujaan mereka lebih bernilai dari persaudaraan dan ikatan kekeluargaan. Alamak! Tiba-tiba politikus pujaan Pak Long bekerjasama dengan musuh politiknya yang menjadi pujaan Pak Ngah. Kerana menyokong pujaan masing-masing itulah mereka adik-beradik bermasam muka. Mahathir dan Mat Sabu bersalam, Pak Long dan Pak Ngah jeling-jeling malu-malu alah.

Dipendekkan tulisan ini, tidak payahlah sampai bergaduh besar, bercerai-berai untuk mempertahankan politikus. Itu memang sudah profesion mereka. Samalah seperti penggusti. Mahathir ibarat Hulk Hogan yang sudah tua tetapi masih mampu menggeletar ‘naik syeikh’ memukul lawan. Najib adalah pemegang talipinggang kejuaraan Gusti Hiburan Malaysia (MWE). Dahulu keduanya beregu (tag team) tapi sudah berpisah. Mat Sabu, Hadi Awang, Nazri Aziz, Azalina adalah Undertaker, Iron Sheik, Junkyard Dog dan Chyna. Ada yang menjadi adiwira, ada yang menjadi penjahat.

Mereka bila-bila masa sahaja boleh bermusuh dan berkawan. Kita sesama kita silap-silap bermusuh sampai mati, kenduri kita dipulaukan, jenazah kita diboikot. Diesel bergaduh dengan Razor Ramon hebat di gelanggang. Sesudah itu di bilik hotel mereka sama-sama menyuntik steroid. Sebab esok kena bergusti di bandar lain pula dalam siri jelajah rakyat. Itu sudah dijadualkan.

Kita bersorak dan menumbuk meja melihat pertarungan Mahathir, Najib, Mat Sabu, Azmin atau Ku Nan. Di bilik persalinan mereka sama-sama menyuntik ubat kalis kutukan dan berdengung meneguk bir kekuasaan.

Pejuang makin miskin, kata orang agama. Yang makin kaya bukan pejuang, itu politikus. Penggusti pun, duit habis banyak untuk beli dadah penahan sakit. Sama ‘stone’ sama khayal berdengung.

@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.