Titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengenai perangai netizens cuba menjadi ‘ustaz dan mufti negeri’ di Facebook dan laman sosial lain sepatutnya membuka mata rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan umat Islam.
Titah itu dikeluarkan selepas ada netizens ‘menghentam’ tindakan Tunku Ismail bersalaman dengan isteri pemain bola sepak negeri itu yang dikatakan haram bersentuhan kerana bukan muhrim.
Tidak cukup dengan itu, pemain bola sepak berkenaan dikatakan netizens sebagai ‘dayus’ pula kerana membiarkan isterinya bersentuhan dengan Tunku Ismail.
Mentaliti apa yang ditunjukkan netizens terhadap Tunku Ismail? Terus terang kita katakan yang netizens sebegini tiada akhlak dan tiada adab sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi ia terhadap Tunku Mahkota Johor.
Semalam juga seorang wanita ditahan polis atas dakwaan menghina ayahanda Tunku Ismail, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Melihat kepada catatan pada akaun Facebook wanita terbabit yang niatnya mungkin untuk menegur tetapi bahasanya, masyaAllah sangatlah tidak wajar, apatah lagi ia didakwa dituju kepada Tuanku Sultan Johor.
Rakyat Malaysia wajib tahu bahawa bukan begitu caranya kita menegur Sultan Johor atau Tunku Mahkota Johor. Ada adab, tata cara dan kaedahnya meskipun perkara yang ingin ditegur itu berkaitan hukum Allah SWT.
Yang kita hairan, berbanding semua kaum, rupanya orang Melayu-Islam negara ini yang berlebih-lebihan dalam menegur itu dan ini berkaitan hukum Allah SWT apabila ia membabitkan Sultan Johor dan Tunku Ismail.
Kita sebagai umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak boleh buat teguran secara terbuka terhadap Sultan Johor dan Tunku Ismail. Kerana apa? Kerana ia mendatangkan aib kepada kepada keluarga Diraja Johor dan lebih teruk lagi akan membuka pintu fitnah terhadap institusi Raja Johor. Kena ingat yang Sultan Johor dan Tunku Ismail adalah pemerintah Johor dan mungkin bakal Ketua Utama bagi Persekutuan Malaysia.
Sudah banyak hadis dan pesan ulama berkaitan bab menegur Raja yang semua boleh baca. Banyak hadis sebut Rasulullah SAW bersama sahabatnya menyampaikan kepada kita asal hukum menegur pemerintah itu adalah secara tertutup. Ia adalah amar ma’aruf nahi mungkar. Perkara sama juga tertakluk kepada kita jika mahu menegur Sultan Johor dan Tunku Ismail. Jaga aib Raja-raja dan elak buka pintu fitnah.
Teguran terhadap pemerintah atau Raja-raja perlu dibuat dengan berhati-hati. Ini kerana implikasinya sangat banyak dan berat termasuk fitnah yang kita cakap tadi. Kena ingat, pembunuhan Khalifah Uthman Affan dan Khalifah Ali Abi Talib terjadi 1,400 tahun lalu kerana sikap segelintir umat Islam waktu itu yang membuat teguran secara terbuka, rasa dirinya sahaja yang betul dalam melaksanakan hukum Allah SWT sehingga ia menimbulkan fitnah dan seterusnya perang saudara antara sahabat Rasulullah SAW.
Lagi satu, kita hairan sungguh dengan netizens yang berlebih-lebihan menegur Sultan Johor dan Tunku Ismail seolah-olah menghukum. Kenapa mesti perangai macam itu? Tidak bolehkah kita bersederhana dalam berdakwah, apatah lagi jika berhadapan dengan Raja-raja? Sedangkan ulama pun bersederhana dan menyusun tutur kata dengan Raja-raja, kenapa netizens ini berlebih-lebihan dalam berdakwah sehingga mengalahkan ulama?
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor. Maafkanlah rakyat Malaysia yang berlebih-lebihan dalam berbicara dengan Tuanku dan Tunku. Semoga kita semua akan peroleh pengajaran daripada titah Tunku Mahkota Johor.
