Ideologi Daesh berkait Hari Kiamat, sukar dipatahkan

Ideologi Daesh berkait Hari Kiamat, sukar dipatahkan

Kumpulan militan Sunni itu mengaitkan perjuangan dengan tanda berlakunya Hari Kiamat yang juga satu daripada Rukun Iman.

Islamic State

Islamic State atau Daulah Islamiyyah Iraq dan as Sham (Daesh) menjadi tajuk utama berita seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kumpulan militan Sunni itu memupuk rasa takut dan pada masa sama menimbulkan kehairanan bagaimana ramai orang iaitu Muslim sanggup bersabung nyawa meninggalkan keluarga dan negara menuju ke wilayah yang dikuasainya.

Apa yang menjadikan ada golongan Muslim sanggup bermati-matian kerana Daesh? Setakat pembacaan kita ialah ideologi yang dibawa mereka.

Ideologi Daesh sangat berkait rapat dengan gerakan Salafi, fahaman Syed Qutb dan yang paling penting ialah kumpulan hadis mengenai kedatangan Hari Kiamat.

Mereka percaya bahawa mereka adalah tentera yang dimaksudkan dalam hadis iaitu tentera panji hitam dari Timur dan akan menjadi tentera Imam Mahdi.

Mereka juga percaya bahawa mereka adalah askar terbaik dalam sejarah kewujudan manusia, yang mana ditakdirkan berperang di Dabiq, iaitu sebuah bandar kecil di Syria yang menjadi medan pertempuran yang maha dahsyat dan maha besar sebelum kemunculan Imam Mahdi mengikut catatan hadis.

Anggota dan pengikut Daesh yakin bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka seperti yang dijanjikan Allah SWT dan sangat berpegang teguh kepada hadis yang meriwayatkan siri peperangan dan pembunuhan sebelum Hari Kiamat.

Ideologi yang berkaitan dengan kedatangan Hari Kiamat inilah yang dipegang, diperjuangkan dan dijadikan matlamat Daesh, di mana kita rasa memang sangat tidak mudah untuk mematahkannya.

Ini kerana, Hari Kiamat adalah salah satu daripada Rukun Iman yang wajib bagi setiap umat Islam di seluruh dunia percaya dan mengimaninya.

Sebagai Islam, sejak kecil kita diajar akan peristiwa berkaitan tanda-tanda kiamat yang banyak disebut dalam hadis di sekolah agama, kuliah agama, ceramah agamawan dan sirah Nabawiyyah. Cuma ada hadis itu sahih dan kuat, ada hadis sahih tetapi lemah dan ada juga hadis palsu.

Daesh menggunakan kumpulan hadis mengenai tanda kiamat ini untuk perjuangan mereka. Malah, mereka mahu mempercepatkan dan merealisasikan hadis itu, sama seperti Sultan Mehmet daripada Empayar Turki Uthmaniyyah yang berjaya merealisasikan hadis Rasulullah SAW berhubung penaklukan Constantinople atau Istanbul pada tahun 1453.

Bagaimana untuk mengekang ideologi Daesh? Kerajaan boleh katakan saja hadis berkaitan kiamat itu palsu atau tak sahih. Tapi bagaimana jika hadis berkaitan peristiwa sebelum Hari Kiamat itu sahih dan cuma lemah sahaja? Memang terlalu sukar sebenarnya dan itulah hakikat yang pahit untuk ditelan.

Sekali pun Daesh itu berjaya ditumpaskan, ideologi yang dibawa Daesh tetap kekal kerana ia bersangkut paut dengan keimanan umat Islam, disiplin ilmu hadis, sirah Nabawiyyah dan tafsir Al Quran.

Lagipun ideologi Daesh bukan baharu dan dipegang juga oleh kumpulan gerakan politik Islam lain yang ada di muka bumi ini. Beza mereka hanya pada kepemimpinan dan kaedah gerakan.

Yang pasti, usaha pihak berkuasa kita untuk mengekang dan memerangi Daesh sangat tidak mudah kerana ideologi yang dipegang mereka memang berkait dengan keimanan umat Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.