Datuk Vida pondankan sifat gedebe lelaki

Datuk Vida pondankan sifat gedebe lelaki

Pengusaha produk kecantikan itu wajar diangkat sebagai simbol gerakan feminisme negara kerana kebijaksanaan dan kehebatannya membentuk empayar perniagaan.

Vida

Kita mula mengenali Datuk Seri Dr Hasmiza Osman atau Datuk Vida apabila beliau menaja program hiburan anjuran sebuah stesen televisyen swasta di negara ini, tidak lama dahulu.

Ketika itu, kita memang ketawa terbahak-bahak apabila melihat kaedah penjenamaan yang dibawa Datuk Vida menerusi program hiburan berkenaan.

Habis semua lelaki yang mengacara program hiburan itu dipondankan oleh Datuk Vida melalui syarat penajaan program itu.

Semua orang sekeliling kita mengutuk Datuk Vida yang dirasakan tidak tahu malu, muncul dengan tiara dan pakaian yang sarat rekaannya setiap kali iklan komersial muncul.

Itu cerita dahulu, kini Datuk Vida dengan cara yang sama, sudah memondankan keseluruhan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersama ketuanya, Tan Sri Annuar Musa.

Kita tepuk dahi ketika melihat Annuar berpakaian warna merah jambu, berkaca mata hitam, melakukan isyarat dua jari di pipi untuk sesi fotografi.

Pondan habis Annuar yang kita kenal sebagai antara pemimpin UMNO yang cukup gedebe, ego, dan penuh maskulin. Begitu juga dengan pemain bola sepak Kelantan. Kita tahu yang pemain bola sepak memang pantang kena ‘tackle’, mesti bergaduh punya. Sekelip mata mereka ini dipondankan Datuk Vida.

Melihat kepada perkembangan ini, kita terus tabik dan hormat kepada Datuk Vida. Bukan mudah seorang wanita menundukkan sifat gedebe lelaki terutama individu macam Annuar.

Tunduk tidak apa lagi, ini Datuk Vida pondankan terus mereka. Malah ada antara rakan lelaki kita yang memang terkenal dengan sikap ego melampau terhadap perempuan, bercakap yang mereka sanggup buat-buat jadi pondan kalau Datuk Vida tabur mereka duit.

Betul, ada hujah yang cakap kalau ada duit semua boleh beli. Tapi dalam kes Datuk Vida, bukan mudah beliau memondankan orang macam Annuar kalau tiada kemahiran dan keberanian melakukan rundingan perniagaan. Kena tegas dan berani letak syarat dan lelaki yang beliau kena berhadapan dan letak syarat itu adalah lelaki macam Annuar yang memang terkenal lantang, berani dan gedebe.

Kita ingin sekali mengangkat Datuk Vida sebagai hero gerakan feminisme di Malaysia terutama dalam kalangan wanita Melayu.

Keteguhan dan keberanian beliau berhadapan dengan ramai lelaki dan kemudiannya memondankan sifat gedebe lelaki ketika meluaskan empayar perniagaan sebenarnya mengingatkan kita kepada kisah Cik Siti Wan Kembang, Raja-Raja Perempuan Pattani, Tok Temong, Cut Nya Thien, dan lain-lain wanita perkasa Alam Melayu.

Kepada sekumpulan wanita yang beria-ia perjuangkan feminisme dan menguar-uarkan kononnya perempuan ditindas, lihat sahaja Datuk Vida dan jadikan beliau contoh dan simbol perjuangan kaum wanita negara ini.

Manakala, kaum lelaki yang ego tak tentu fasal terhadap kaum wanita, ingatlah perempuan macam Datuk Vida. Kalau terjumpa wanita macam itu, habis pondan merah jambu kita yang lelaki ini nanti!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.