Oleh Abdul Muein Abadi
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) seringkali dilabel sebagai mekanisme Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan hegemoninya di rantau Pasifik. Hal ini tidak menghairankan dan bukan lagi rahsia berdasarkan kenyataan peringatan Obama tentang kepentingan TPPA untuk mencegah kebangkitan China pada Oktober 2015 di samping kenyataan Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter pada April 2015 yang menyifatkan TPPA ibarat “kapal induk pesawat udara” (aircraft carrier) buat AS di Asia Pasifik.
Oleh hal yang demikian, dalam menilai TPPA yang bakal dibahaskan di Parlimen hujung bulan ini, rakyat Malaysia juga perlu untuk menilai persoalan-persoalan yang berkaitan dengan aspek geopolitik dari kaca mata kepentingan Malaysia. Demi memberi gambaran yang komprehensif tentang TPPA dari lensa geopolitik Malaysia, sebanyak 23 persoalan dilontarkan di bawah.
1) Adakah TPPA ialah perjanjian pakatan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS)?
Tidak, ia merupakan perjanjian perdagangan 12 negara.
2) Adakah TPPA menjadikan Malaysia anggota pakatan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bawah AS?
Tidak, Malaysia kekal negara berkecuali yang memiliki pelbagai hubungan bilateral dan multilateral yang signifikan dengan negara-negara lain.
3) Adakah TPPA memburukkan hubungan Malaysia dengan China?
Tidak, sebaliknya hubungan Malaysia-China diperkukuhkan dengan penyertaan dalam RCEP dan AIIB disamping pelbagai kerja sama pertahanan dan kebudayaan bilateral.
4) Adakah TPPA memburukkan hubungan Malaysia dengan Jepun?
Tidak, bahkan Jepun yang merupakan ekonomi ketiga terbesar dun iaitu juga menyertai TPPA.
5) Adakah TPPA memburukkan hubungan Malaysia dengan Rusia?
Tidak, Malaysia memiliki hubungan politik, ekonomi, pendidikan, dan ketenteraan yang baik dengan Rusia. Pesawat Sukhoi SU-30MKM milik Malaysia buatan Rusia memerlukan penyelenggaraan di Rusia.
6) Adakah TPPA memaksa Malaysia menghentikan rundingan perjanjian perdagangan RCEP yang melibatkan China dan India?
Tidak, Malaysia bahkan komited untuk menandatangani RCEP tahun ini juga.
7) Adakah TPPA memaksa Malaysia keluar dari menganggotai Bank Pembangunan Infrastruktur Asia (AIIB) tajaan China?
Tidak, bahkan Malaysia kekal negara anggota AIIB.
8) Adakah TPPA memaksa Malaysia menghentikan Perjanjian Strategik Komprehensif ketenteraan dengan China sejak 2013?
Tidak, Malaysia dan Tentera China kekal laksana latihan ketenteraan Bilateral.
9) Adakah TPPA memaksa Malaysia keluar dari East Asia Summit (EAS)?
Tidak, bahkan Malaysia kekal negara tonggak EAS.
10) Adakah TPPA memaksa Malaysia menyerahkan kedaulatan Selat Melaka kepada AS?
Tidak, Malaysia kekal bersama Singapura dan Indonesia mengawasi selat terpenting di dunia itu.
11) Adakah TPPA memaksa Malaysia mematuhi syarat pihak luar dalam pemerolehan peralatan persenjataan ketenteraan?
Tidak, Malaysia bebas menentukan pemerolehan persenjataan dan pertahanannya sendiri.
12) Adakah TPPA sama dengan penyesuaian struktur (structural adjustment) IMF dan Bank Dunia?
Tidak, Malaysia dan Bank Negara Malaysia kekal kedaulatan kewangan dan modal.
13) Adakah TPPA memaksa Malaysia keluar dari Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM)?
Tidak, Malaysia kekal anggota NAM.
14) Adakah TPPA mengancam wilayah Laut China Selatan yang dimiliki Malaysia?
Tidak, sebaliknya China menuntut wilayah berkenaan (Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai).
15) Adakah TPPA bertentangan dengan tuntutan Malaysia di Laut China Selatan yang berasaskan Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS)?
Tidak, sebaliknya tuntutan China keatas wilayah Malaysia bertentangan dengan UNCLOS.
16) Adakah TPPA menyediakan peluang untuk Malaysia kukuhkan hubungan keselamatan multilateral bagi mencegah kemungkinan perampasan wilayah milik Malaysia di Laut China Selatan?
Ya, TPPA merangkumi AS dan Australia yang boleh dimanfaatkan bagi memberi isyarat untuk mencegah kegiatan agresif Tentera Laut Rakyat China di wilayah perairan Malaysia.
17) Adakah TPPA memaksa Malaysia putuskan hubungan dengan kuasa-kuasa besar lain selain AS seperti dengan BRICS?
Tidak, Malaysia masih kekal hubungan dengan negara-negara kuasa besar lain termasuklah memiliki komitmen perdagangan dan pelaburan di negara-negara BRICS tanpa perlu menyertai mana-mana blok.
18) Adakah TPPA mengancam posisi Malaysia dalam ASEAN?
Tidak, Malaysia agresif mengukuhkan kerjasama Komuniti Politik, Ekonomi, dan Sosio-Budaya ASEAN, bahkan sesetengah negara ASEAN memohon bantuan Malaysia untuk turut serta dalam TPPA.
19) Adakah TPPA memberi manfaat kepada posisi Malaysia dalam ASEAN?
Ya, Malaysia tidak akan ketinggalan dari segi pertumbuhan berbanding Singapura dan Vietnam yang sudahpun melihat manfaat TPPA keatas pertumbuhan mereka.
20) Adakah TPPA mengancam posisi ketenteraan Malaysia dalam Mesyuarat Pertahanan ASEAN (ADMM)?
Tidak, sebaliknya Malaysia terus memanfaatkan ADMM-Plus yang turut disertai China, Rusia, dan Amerika Syarikat demi dialog keselamatan berterusan.
21) Adakah TPPA mengancam posisi Malaysia dalam Forum Serantau ASEAN (ARF)?
Tidak, bahkan penyertaan Malaysia dalam RCEP yang turut dianggotai China, India, dan semua negara ASEAN membuktikan komitmen multilateral Malaysia.
22) Adakah TPPA menjejaskan posisi Malaysia dalam pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)?
Tidak, bahkan TPPA menjadi rujukan contoh kepada APEC tentang penyesuaian keupayaan ekonomi sesebuah negara anggota.
23) Adakah TPPA menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA)?
Tidak, sebaliknya tiga anggota FPDA yang lain juga menyertai TPPA kecuali Britain.
Abdul Muein Abadi merupakan Pensyarah Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
