
Bercakap kepada FMT, James berkata, Salleh yangmenjadi ahli Umno lebih 20 tahun, sering menyebabkan perbalahan berlaku dalam kalangan ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) di Beluran.
“Saya bersyukur beliau dan rakan-rakannya akhirnya keluar parti kerana semua orang tahu mereka sememangnya liabiliti kepada BN. Kami di Sugut gembira mereka keluar parti.”
Beliau menepis dakwaan mengatakan tindakan Salleh itu, yang mempunyai ramai pengikut kerana jawatannya dalam parti itu, akan menjejaskan kekuatan Umno di Sugut.
Sebaliknya, beliau berkata, Umno akan bertambah kuat kerana Salleh dan kroninya menjadi sasaran pelbagai tuduhan sejak sekian lama.
James berkata, beliau sebenarnya mewujudkan jawatan pengerusi tetap Umno Beluran untuk Salleh yang meminta diberikan jawatan dalam bahagian itu.
“Bagaimanapun, Warisan kelihatan aktif mengutip mereka yang keluar daripada Umno dan orang tidak dikehendaki dari parti politik lain.
“Apapun, rakyat di Sugut dan Beluran secara umumnya gembira hari inni dengan berita ini.”
Katanya, lebih baik untuk orang seperti itu keluar parti sekarang, sebelum pilihan raya umum supaya mereka tidak boleh mensabotaj parti dari dalam.
Salleh bersama beberapa individu lain mengumumkan keputusan menyertai Warisan dalam satu acara yang dihadiri kira-kira 1,500 orang di Beluran, semalam.
Sementara itu, Parti Harapan Rakyat Sabah menafikan dakwaan ahli Warisan, Rapahi Edris, yang mendakwa dirinya ialah ahli parti itu.
Rapahi juga menyertai Warisan yang diketuai bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.
Bercakap kepada FMT, Setiausaha Agung Harapan Rakyat, Abdin Darus berkata, dakwaan itu hanyalah gimik politik untuk memperoleh publisiti murahan.
“Selepas penelitian dan pemeriksaan ke atas rekod keahlian di peringkat bahagian dan penyelaras kawasan negeri, bahagian dan ibu pejabat parti, saya boleh sahkan Rapahi tidak pernah menjadi ahli parti kami.
“Kami tidak jumpa sebarang bukti beliau pernah mengisi borang permohonan untuk menjadi ahli Harapan Rakyat.”
Rapahi mengumumkan beliau menyertai Warisan pada satu majlis parti itu di Sipitang, dekat sini, Sabtu lalu.
Abdin menggesa penyokong parti itu, terutamanya di Sipitang tidak terpengaruh dengan taktik digunakan parti politik tertentu.
“Taktik ini sudah lapuk dan tidak patut digunakan ahli politik berpengalaman,” katanya dipercayai merujuk kepada Shafie.
Menurut sumber parti, walaupun Rapahi tidak pernah menjadi ahli Harapan Rakyat, beliau pernah dilihat bersama presiden parti itu, Datuk Seri Lajim Ukin beberapa kali.
“Beliau sedang melobi untuk menjadi calon parti itu di Sipitang. Tetapi, parti itu sudah ada calon sesuai.
“Jadi, beliau tidak gembira dan membuat keputusan mencuba tuahnya di tempat lain,” katanya.